Sunday, May 3, 2009

6ixth Sense Bangkit

Oleh Izwan Mohamad

DALAM kemerosotan pasaran muzik Malaysia, tidak ramai menyedari ada penggiat muzik tanah air masih memiliki kekuatan dalam usaha memartabatkannya walaupun berdepan kesukaran.
Situasi ini tidak mematahkan semangat lima anak muda yang mula dikenali dengan lagu rakaman semula Hari Ini dan Semalam (nyanyian asal J Mizan) menerusi album sulung mereka, Hari Ini terbitan 2006.
Impian 6ixth Sense menjadi kenyataan apabila lagu itu pantas diterima peminat muzik, sekali gus meletakkan mereka sebaris dengan band senior seperti Pretty Ugly, Spider, Sofaz, Pop Shuvit dan Nitrus.
Selepas muncul sekali lagi dengan album kedua pada 2007, kumpulan yang menampilkan Adi sebagai vokalis, Gjie (gitar utama), Athan (gitar kedua), Ayoy (bass) dan Wan (dram), meneruskan populariti mereka dengan lagu Tak Bisa Memilihmu dan Tanpa.
Kumpulan yang baru saja menerima anugerah Lagu Paling Popular Peringkat Akhir Hits 1 menerusi lagu Tanpa ini kini tampil dengan single terbaru, Khatimah Cinta, selepas kali terakhir muncul dengan lagu Cinta Yang Sempurna menampilkan Noe daripada kumpulan Indonesia, Letto.
Bukan asing apabila senario penerbitan single mula mengatasi album, sementelah penjualan album yang perlahan berikutan teknologi muat turun yang memudahkan peminat muzik mendapatkan lagu secara percuma.
"Selepas Cinta Yang Sempurna, kami tiada karya terbaru untuk dikongsikan. Jadi kami mengambil keputusan merakam single terbaru ini sebagai hadiah kepada peminat yang selama ini tak henti-henti menyokong," kata Athan.
Bukan sekadar itu, kumpulan yang berasal dari Bangsar, Kuala Lumpur selain Adi dari Jember, Indonesia ini menjalani penggambaran klip video lagu Khatimah Cinta yang dilakukan di Victoria Institution dan Galeri Tangsi, Kuala Lumpur.
Bercerita mengenai klip video yang diarahkan oleh Iqmal dan Misyon, jalan cerita berlatar belakang kisah hidup seorang pelukis yang meninggal dunia sebelum sempat menyerahkan sebuah lukisan potret kekasihnya.
Oleh kerana itu, semua anggota 6ixth Sense dikehendaki membawa watak 'hantu' bagi menggambarkan pencinta yang ingin menyampaikan rasa hati yang dibawa ke mati.
Sesuatu yang menarik, penggambaran ini dijalankan pada waktu malam untuk mendapatkan suasana kegelapan berlatar belakang bangunan lama dan mengambil masa hanya satu hari.
"Klip video ini berbeza dengan yang pernah kami terbitkan kerana teknologi digunakan lebih maju selain penggunaan teknik 'super-imposed' dalam beberapa babak.
"Malah syarikat pengurusan kami, Rumpun Records sanggup berbelanja lebih bagi mendapatkan khidmat pakar untuk mewujudkan suasana hujan," kata Ayoy.
Mungkin ada yang tertanya-tanya mengapa 6ixth Sense berani mengambil risiko menerbitkan klip video walaupun lagu ciptaan mereka belum popular.
Penerbitan klip video bertujuan memperkenalkan lagu ini apabila mula ditayangkan di TV selain membantu meluaskan promosinya.
"Ini juga bagaikan satu arah aliran terkini dalam menguatkan lagi satu-satu karya kerana peminat sekarang lebih gemar mendengar muzik dengan menggabungkan elemen visual," menurut Adi yang menganggap lagu ini sebagai permulaan terbaik tahun 2009.
6ixth Sense juga mengorak langkah lebih jauh apabila menerbitkan lagu untuk penyanyi popular termasuk Jaclyn Victor, lagu duet Alif dan Ika, serta penyanyi baru dari Singapura, Noriez.
"Kami sekadar mencuba berkongsi keupayaan kami mencipta dan menerbit lagu untuk penyanyi lain kerana sebelum ini kami jarang menggunakan khidmat komposer luar, termasuk dalam dua album sebelum ini.
"Sampai waktunya kami menyumbangkan sesuatu untuk industri muzik tanah air, apatah lagi melihat kebangkitan band tempatan yang semakin diterima peminat walaupun sebelum ini banyak isu mengenai kebanjiran lagu dari luar.
"Jika ada mana-mana penyanyi mahu khidmat kami, 6ixth Sense sedia bekerjasama demi menaikkan semula industri hiburan tanah air," kata Gjie.

No comments:

Post a Comment