Sunday, May 24, 2009

AF7 Dewasakan Akim

Oleh Izwan Mohamad

BIARPUN di tangga ketiga, Afiq Hakim Ahmad akui melalui transformasi tersendiri dalam hidupnya. Akademi Fantasia (AF) 7 mematangkan dirinya walaupun sedar, ia sebenarnya adalah langkah awal sebelum berlari pantas di pentas seni.
Daripada seorang pelajar yang dianggap `underdog', anak muda yang mesra disapa Akim ini menunjukkan taringnya pada minggu-minggu terakhir sehingga ramai meramalkannya mampu menggugat kedudukan juara AF7, Mohd Hafiz Mohd Suip yang konsisten sejak minggu pertama.
Malah persembahan Akim di konsert akhir menerusi lagu Bencinta dan Bengang, mendapat komen positif daripada pengkritik tetap - Edrie Hashim, Datuk Khatijah Ibrahim dan Adlin Aman Ramlie.
Rezeki semakin terbuka apabila Akim terus dibawa `terbang' ke Jakarta bersama naib juara AF7, Khairil Azam Pilus (Aril) untuk penggambaran awal drama usaha sama Astro dan sebuah produksi di Indonesia.
Ternyata ini satu lakaran sejarah AF kerana buat julung kalinya pelajar ke luar negara untuk menyambung urusan kerjaya seawal minggu pertama tamat rancangan paling berpengaruh itu.
Walaupun hanya sempat melepaskan lelah selama sehari kerana mereka berlepas ke Jakarta awal pagi Isnin lalu, inilah pengorbanan yang dituntut apabila bergelar anak seni.
"Saya rasa ini satu penghormatan buat saya dan AF," kata Akim.
Sama sekali dia tidak menyangka kehadirannya di AF7 menarik perhatian pihak produksi berkenaan untuk bekerjasama, apatah lagi dia sedar kekurangannya khususnya dalam bidang lakonan.
"Walaupun saya tidak pernah berlakon secara serius, pengalaman yang ditimba sepanjang menyertai AF7 akan saya gunakan sebaik mungkin.
"Inilah kelainan yang ditonjolkan menerusi AF yang bukan saja melahirkan penyanyi, tetapi penghibur serba boleh dan saya bersyukur mendapat peluang itu," katanya.
Menyentuh kegagalannya menggenggam trofi juara, anak kelahiran Johor Bahru ini ternyata tidak mengeluh, sebaliknya menyifatkan itu adalah kejayaan terbesarnya dalam hidup walaupun baru berusia 18 tahun.
Walaupun mulanya dikatakan `main-main' seperti yang disiarkan melalui Diari AF7, anak ketiga daripada empat beradik ini mengaku bekerja keras.
"Apalah yang dapat penonton saksikan selama sejam menerusi Diari AF7 berbanding apa yang sebenarnya berlaku dalam akademi memandangkan kami belajar bukan saja ketika waktu kamera beroperasi, malah lebih daripada itu.
"Saya sendiri berlatih vokal ketika pulang ke asrama termasuk ketika di bilik mandi," katanya yang pernah menyertai One In A Million musim ketiga.
Sepanjang perjalanannya di AF7, banyak liku dilaluinya apatah lagi tidak berbekal sebarang pengalaman menyanyi di hadapan ribuan penonton dan disiarkan secara langsung melalui televisyen.
Tunjuk ajar daripada tenaga fakulti yang diketuai pengetua, Datin Seri Tiara Jacquelina berjaya memberi transformasi kepada Akim sehingga berjaya membuka mata ramai mengenai bakat yang dimilikinya selama ini.
"Saya pernah melalui saat getir khususnya apabila menerima tugasan lagu yang tidak pernah saya dengar seumur hidup, apatah lagi irama yang kurang kena dengan jiwa saya menyebabkan ada kalanya saya tertekan.
"Namun saya berazam meningkatkan prestasi dan belajar bersikap profesional selain melawan rasa malu dan mendalami sesuatu lagu sebaik mungkin," ujarnya.
Sehingga pada saat-saat akhir iaitu pada konsert minggu ke-9, ramai mula menyedari perubahan dilakukan anak pegawai pos ini menerusi lagu I'm Yours (Jason Mraz) dan Larut (Dewa 19).
"Ketika itu saya benar-benar puas hati kerana inilah persembahan yang saya inginkan sejak awal," katanya.
Bercerita mengenai pembabitannya dalam lakonan, dia berasakan ia membantunya menjadi penghibur yang lebih baik. Selain menyanyi katanya, sebagai penghibur harus mengetahui teknik penguasaan kamera selain teknik tarian bagi menyempurnakan sesuatu persembahan seperti yang diterapkan dalam akademi.
"Ini penting bagi saya mempelbagaikan teknik dalam setiap persembahan agar peminat lebih menghargai seseorang penyanyi.
"Walaupun saya memulakan kerjaya selepas AF menerusi lakonan, cinta saya terhadap dunia nyanyian tetap kuat dan saya harap dapat melahirkan beberapa lagu selepas Bengang iaitu single pertama saya," kata Akim.
Bapa Akim, Ahmad Suleiman yang ditemui turut melahirkan kegembiraan dengan perkembangan kerjaya seni anaknya. Dilahirkan dalam keluarga yang bergiat serius dalam dunia seni, beliau sedar anaknya bakal melalui laluan sukar bergelar selebriti, apatah lagi bintang AF selalu dikaitkan dengan isu `kejutan budaya'.
"Saya sedar kecenderungan Akim dalam muzik, sebab itulah saya memberi sokongan penuh memandangkan AF adalah rancangan bercorak akademik dan dia perlu belajar untuk masa depan.
"Dia mendapat temuduga daripada Universiti Teknologi Mara dalam jurusan muzik ketika dia berada di AF7 tetapi terpaksa dilepaskan demi menghabiskan dulu pembelajarannya di akademi," kata Ahmad.
Pendapat sama dikongsi ibu Akim, Aminah yang berasakan Akim cukup bersedia melalui alam dewasa selepas melalui proses pembelajaran di AF7 yang memperlihatkan anaknya mula menunjukkan rasa bertanggungjawab.
Namun, sebagai ibu bapa mereka akan terus memantau perjalanan Akim meskipun `melepaskan' sedikit kebebasan agar anak muda itu dapat mempelajari sesuatu daripada pengalaman yang bakal dilaluinya.
"Saya percaya Akim mampu membuat keputusan dengan bijak memandangkan
kematangannya sangat ketara selepas tamat AF7," kata Aminah.

Profil

NAMA PENUH: Afiq Hakim Ahmad
NAMA KOMERSIAL: Akim
LAHIR: 18 Januari 1991 di Johor Bahru
TINGGI/BERAT: 179 sentimeter / 72 kilogram
ADIK-BERADIK: Anak ketiga daripada empat beradik
PENDIDIKAN: Sijil Pelajaran Malaysia
PENCAPAIAN: Tempat ketiga Akademi Fantasia 7
HOBI: Bermain bola sepak

Protege Julfekar

Oleh Izwan Mohamad

KERJA gila? Pasti itu yang terlintas pada fikiran sesiapa saja, khususnya mereka yang terbabit di dalam industri muzik tanah air, jika melihat pelan perancangan yang dilakukan komposer dan penulis lirik, Julfekar Ahmad.
Sinonim dengan artis seperti Azharina Azhar dan Farawahida, ternyata pembabitannya dalam dunia seni bukan main-main kerana berjaya menaikkan nama dua penyanyi itu ke tahap membanggakan.
Malah, kejayaannya memasarkan album Farawahida '09 ke Indonesia tatkala industri di sana sukar menerima hasil kerja penggiat Malaysia adalah pencapaian yang harus dipuji.
Namun dalam kemanisan yang dikecapi, terpalit pula rasa pahit dengan kontroversi anak didiknya melanda apabila hubungan peribadinya dengan penyanyi itu mula melalui jalan berliku, seterusnya menuju kehancuran.
Keretakan hubungan itu secara tidak langsung mempengaruhi usaha kedua-duanya, namun atas dasar profesionalisme usaha itu diteruskan walaupun perbincangan masih menemui jalan buntu.
Tanpa menoleh ke belakang, Julfekar, 44, tidak mahu mengenang kesedihan, sebaliknya berusaha menerbitkan 11 album untuk pasaran tahun ini, termasuk dua kumpulan, Akasia dan Santekee.
"Saya mengakui kesilapan saya kerana membabitkan urusan peribadi dengan kerjaya sebelum ini, jadi saya berazam untuk lebih berhati-hati dan menjalankan tanggung jawab secara profesional.
"Mungkin benar jika ada yang berpendapat tindakan saya menerbitkan banyak album dalam tahun ini `tidak betul' setelah melalui kisah sedih, namun ini yang terbaik yang saya boleh lakukan, sekali gus membantu menaikkan semula industri muzik Malaysia," katanya.
Selain dua kumpulan itu, Julfekar menerbitkan album beberapa pendatang baru, termasuk Juara Sinaran TV3 2000, Rahayudean Rahmat dan peserta Konsert Prelude Akademi Fantasia 4, Leez. Single kepada pemenang utama Bintang Idola ABPBH juga dalam perancangannya.
"Saya membelanjakan wang sendiri untuk menerbitkan album ini atas dasar mahu mengetengahkan penyanyi baru dan menunjukkan kepada masyarakat bahawa industri kita belum ketandusan bakat yang bagus.
"Namun saya akan lebih berwaspada, lebih-lebih lagi soal kontrak, supaya tidak timbul masalah pada masa depan seperti yang berlaku sebelum ini," katanya.
Tambahnya, dia sedar penjualan album sangat perlahan dan kadangkala merugikan, namun dengan adanya teknologi, wujud sumber pendapatan lebih efektif seperti penjualan nada dering selain sumber kewangan menerusi jemputan persembahan.
Oleh itu, dia memastikan semua lagu yang dicipta untuk artis naungannya mesti berkualiti dan mudah diterima masyarakat, jauh sekali menyiapkan album dengan memasukkan lagu secara `tangkap muat'.
"Penciptaan lagu mesti dikemaskini dan mengikut perkembangan semasa serta kemampuan artis itu supaya mereka tampil dengan sebaik mungkin.
"Peminat muzik semakin bijak, sampai bila kita hendak buat lagu 'syok sendiri' tanpa memikirkan soal pemasaran dan kemahuan pendengar, jadi saya mengkaji setiap aspek seperti usia dan penampilan penyanyi supaya bersesuaian dengannya," katanya.
Memandangkan artis di bawah syarikatnya, Milleniumart Sdn Bhd semakin bertambah, dia turut mengambil keputusan melantik pembantu bagi melancarkan pengurusannya.
Malah, syarikat ini turut mempunyai wakil pengurusan di Indonesia bagi memudahkan kerja-kerja pemasaran di sana memandangkan perlu ada `jambatan' untuk memudahkannya membawa produk baru ke sana.
"Saya berharap usaha saya kali ini berhasil dan mampu membantu perkembangan industri hiburan tanah air," kata Julfekar.

Din Terus Riuh

Oleh Izwan Mohamad

AWAL tahun ini ramai mencebik bibir apabila dikhabarkan nama ini bakal menduduki kerusi penyampai di stesen radio nombor satu Malaysia, Era, digandingkan dengan Aznil Nawawi.
Namun melalui Riuh Pagi Era, Din Beramboi `mengekang' sangkalan negatif terhadapnya selama ini dan slot itu juga mengangkat semula namanya sebagai penyampai radio selepas `bersara' hampir tujuh tahun.
Din atau nama sebenarnya Mior Ahmad Fuad Mior Badri, 42, berjaya menarik ramai pendengar stesen berkenaan setelah memperkenalkan beberapa segmen, khususnya dari jam 6 sehingga 10 pagi seperti Drama Sebabak dan Berita Cara Kami yang sungguh kelakar.
Bagaimanapun, ramai juga tidak tahu Din tidak pernah bercita-cita untuk kembali ke konti radio kerana berasakan tiada kesesuaian baginya melakukan kerja sedemikian, tambah pula format stesen radio yang semakin berubah.
"Saya pernah berangan-angan menjadi penyampai Era selepas selalu mendengar penyampai baru bersiaran setiap hari kerana ada saja idea terdetik dalam fikiran, mengapa mereka tidak membuat itu dan ini.
"Tak sangka juga menjadi kenyataan apabila pengurus stesen ini, Nazri Noran menghubungi saya untuk mengisi kekosongan dalam slot pagi di Era," kata Din.
Menurutnya, semangatnya berkobar-kobar, apatah lagi pasangannya, Aznil setuju untuk bergandingan memandangkan mereka pernah bersama-sama merakam album komedi, `Sawancara' pada 1990-an.
Pengalaman bersama itu jugalah yang melahirkan idea Drama Sebabak yang semakin popular kerana sebelum ini mereka lebih banyak melakukan format seperti itu secara rakaman.
"Sememangnya saya ada keserasian dengan Aznil kerana dia mengetahui `loyar buruk' saya, jadi setiap kali bersiaran kami sudah tahu hendak membalas kata-kata antara satu sama lain.
"Aznil kreatif, kadangkala ada masa idea saya juga tersekat dan Aznil tahu bagaimana hendak mengawal keadaan dengan menyambung idea saya, membuatkan kami bertambah mudah bekerjasama," kata bapa kepada tiga anak ini.
Menyentuh kedudukan slot Riuh Pagi Era yang kini memanjat tempat ketiga
di belakang Sinar FM dan Hot FM bagi slot pagi dalam banci radio
baru-baru ini, bagi Din itu bukan matlamat utamanya.
Walaupun tidak menafikan kehadirannya mengukuhkan lagi nama Era sebagai radio nombor satu negara, paling penting pendengar terhibur setiap kali mereka bersiaran.
"Bukan mudah sebenarnya untuk membuat orang ketawa, apatah lagi apabila tidak nampak wajah pendengar, tetapi kita kena yakin yang mereka boleh terhibur dan idea kita tak boleh digunakan banyak kali.
"Dengan segmen itu kami juga perlu pantas, khususnya dalam kawalan masa, kerana kalau dibuat dalam situasi sambil lewa, pasti tak sama dengan apa yang pendengar nikmati sekarang," kata Din yang menganggap itu cabaran besar setiap kali ada di konti.
Menyentuh sikap beberapa penyampai radio yang gemar `lompat stesen' seperti yang berlaku beberapa kali sebelum ini, Din berpendapat senario itu berlaku kerana kebanyakan mereka lebih dikawal emosi berbanding sikap profesional.
Katanya, sebagai penyampai radio, mereka harus menganggap kerjaya itu sebagai satu perniagaan yang menjual suara mereka tanpa memikirkan soal populariti atau siapa perlu jadi `nombor satu'.
"Kami sebagai orang lama pun tak berani nak buat perkara seperti itu, malah jika diberi peluang, seharusnya kami gunakan sebaik mungkin dan melakukannya dengan baik tanpa banyak soal.
"Itulah cara untuk menjadi penyampai radio yang baik," kata bekas penyampai Time Highway Radio ini.

Pelawak Bagai Novelis

Oleh Izwan Mohamad

MASIH ingatkah anda dengan pelakon dan pelawak yang popular sekitar 1980-an dengan siri kanak-kanak Cumi dan Ciki, menggunakan boneka sebagai watak utama?
Kemahiran sebagai `ventriloquist' atau penghibur yang berkebolehan mengeluarkan pelbagai suara tanpa menggerakkan bibir itulah yang membuka rezeki kepada Wazata Zain atau nama sebenarnya Mohd Wazata Mohd Zin, yang menimba pengalaman sebagai penghibur sedemikian daripada Profesor Hyes Sydney, di George Street, Australia pada 1980.
Kursus diikutinya itu atas tajaan biasiswa Colombo Plan yang diberi kepada pelajar pelbagai negara, sekali gus menyebabkan Wazata berkebolehan menutur tujuh suara berbeza tanpa menggerakkan bibir.
Bekas guru sebuah sekolah di Klang, Selangor, ini turut popular dalam program Ahmad Daud Show bersama-sama Lim Goh Poh dan Ayappan sebelum muncul dalam sitkom berbentuk satira, Hang Setia.
Bekas pegawai di Kementerian Pendidikan yang pernah aktif menulis skrip ini juga pernah membintangi filem Perawan Malam pada 1988 sebelum berhenti berlakon dan menjadi ventriloquist selepas pulang daripada mengerjakan haji pada 1990.
Kini berusia 70 tahun, Wazata kembali ke layar perak menerusi filem terbaru arahan Ahmad Idham, Syurga Cinta setelah `bersara' hampir 19 tahun.
Memegang watak orang alim dalam filem itu, Pengerusi Biro Agama dan Dakwah, Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) ini mengakui dia kekok berlakon.
"Mujur saya perlu menjadi diri sendiri dalam filem ini, yang mana saya tidak perlu disolek dan membawa watak yang bersesuaian dengan usia saya.
"Idham juga sabar menjalankan kerja mengarah," kata Wazata.
Menurutnya, tawaran berlakon diterima apabila penerbit, David Teo dan Ahmad Idham sering melihatnya membaca doa dalam setiap majlis yang dianjur Seniman, sebelum dihubungi mereka untuk memegang watak di samping pelakon utama, Awal Ashaari, Heliza AF5 dan Hadziq.
Bapa kepada tujuh anak selain memiliki 13 cucu ini ternyata sihat, mengakui masih memandu kereta sendiri selain mengusahakan sebuah stesen minyak di Rawang, Selangor bersama anaknya.
Katanya, keadaannya masih kuat kerana mengamalkan minum air suam setiap kali sebelum tidur dan sebelum solat Subuh setiap hari, dan diamalkannya selama 35 tahun sehingga sekarang.
Sebagai orang lama, Wazata turut melontarkan pendapat mengenai perkembangan sihat dunia lawak tempatan, khususnya selepas muncul program mengetengahkan golongan itu seperti Raja Lawak Astro.
Menurutnya, perkembangan persembahan berbentuk jenaka kini dipengaruhi perubahan global dan selera penonton kini yang menjurus kepada jenaka lebih intelektual.
"Pelawak sebenarnya bagai penulis novel, mereka perlu kreatif dan jenaka mereka perlu ada kualiti.
"Bukan senang buat orang ketawa, jadi saya gembira dengan kewujudan program seperti ini yang membimbing bakat baru sebagai pelapis pelawak," kata Wazata.
Apabila ditanya mengenai sesetengah pelawak yang mungkin melampaui batas serta tidak menjaga tutur kata apabila membuat persembahan di khalayak, Wazata berpendapat kesalahan itu tidak semestinya diletakkan atas bahu pelawak itu sepenuhnya.
"Pihak penganjur kadangkala terlupa untuk bertanya apa kandungan persembahan itu, bukan meminta skrip, sebaliknya memberi panduan sepatutnya memandangkan kebanyakan mereka masih muda.
"Usah lepaskan mereka seperti `kumbang', mereka mungkin `tersengat' orang jika tidak beritahu," katanya.
Menurutnya, pelawak veteran sepertinya dulu banyak mempelajari ilmu mengawal khalayak seperti psikologi penonton dan mengawal `drammatical pause'.
"Saya banyak membaca buku berkenaan teknik membuat persembahan jenaka yang ketika itu banyak ditemui di Perpustakaan British Council.
"Berlawak memerlukan perancangan, saya suka menonton persembahan bakat muda seperti kumpulan Sepah kerana mereka sering membuat perancangan sebelum membuat persembahan," katanya.
Menyentuh mengenai golongan pelawak yang sering berasa terhina kerana menjadi bahan tawa, dia berpendapat telahan itu salah kerana pelawak turut memberi sumbangan kepada industri hiburan, selain bertanggungjawab menyebar maklumat dalam humor.
"Pelawak juga adalah sasterawan, jadi berbanggalah," katanya.

Getar Bob, Sarah

Oleh Izwan Mohamad

UMUM mengetahui dua penyanyi muda bersuara hebat bakal membawa cabaran negara ke World Championship Of Performing Arts (WCOPA) di Los Angeles (LA), Amerika Syarikat, dari 11 hingga 19 Julai depan. Tahun lalu Malaysia berjaya membawa pulang 27 pingat emas, sembilan perak dan dua gangsa.
Jika sebelum ini Syafinaz Selamat, Deja Moss, Noryn Aziz, Iqwal dan Dina pernah mengharumkan nama negara, kini giliran Yusrizan Usop (Bob) dan Siti Sarah Raisuddin menggalas tanggungjawab itu.
Mereka sekali gus disandarkan untuk mengulangi kejayaan Noryn Aziz dan Iqwal apabila terpilih bertanding dalam kategori vokal selepas berjaya melalui program Worldstars Road To Hollywood (WRTH) peringkat akhir yang berlangsung di Panggung Sari, Istana Budaya, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Memang tidak dapat dinafikan, kelunakan vokal mereka memukau selain memiliki aura tersendiri ketika di pentas. Itu antara kriteria yang diperlukan sebagai 'senjata' dalam pertarungan yang bakal menyaksikan penyertaan daripada 66 negara.
Bagi lelaki kelahiran Limbang, Sarawak itu, peluang ini digunakan sepenuhnya memandangkan sebelum ini dia jarang menyertai apa-apa pertandingan selepas menduduki tempat kelima dalam Akademi Fantasia musim kedua yang memperkenalkannya ke dunia hiburan tanah air.
"Kalau tahun lepas hanya 41 negara bertanding, kali ini saya terpaksa berdepan peserta dari 66 negara, jadi saya perlu tingkatkan usaha kerana cabarannya lebih besar," kata Bob.
Dia yang masih dalam proses menyunting dan memilih lagu bakal bertanding dalam lima kategori iaitu terbuka, kontemporari, world music, pop dan R&B jazz sebagai taruhan.
"Kita tidak tahu nasib di sana, jadi sekurang-kurangnya kita akan ada lebih banyak peluang untuk mara ke peringkat akhir.
"Sekarang saya giat berlatih vokal dan mencari keunikan tersendiri memandangkan itu yang bakal memberi kelainan dalam persembahan kita," katanya.
Bob dijangka menyanyikan single popularnya Cinta Terhalang serta lagu My Baby You dan The Prayer, selain dua lagi lagu yang masih dalam proses pemilihan.
Semua peserta dijangka terbang ke LA 10 Julai nanti, namun seperkara merisaukan Bob adalah pengurusnya yang mungkin tidak dapat bersamanya memandangkan tiada peruntukan diberi kepada pengurus artis.
"Saya risau kerana selama ini saya sering diurus Syuib Ismail, yang tahu selok-belok penampilan dan cara saya bekerja.
"Dengan adanya Syuib, saya dapat lebih fokus kepada pertandingan, jadi saya berharap ada pihak sudi menaja pihak pengurusan untuk ke sana," katanya.
Sarah yang bakal meneruskan cabaran bersama Bob kini mula terasa debaran yang semakin memuncak memandangkan tarikh ke sana semakin hampir.
"Saya teruja, tetapi dalam masa sama risau memikirkan saya membawa nama negara dalam pertandingan berprestij itu.
"Kerana itu saya membuat pelbagai persediaan asas seperti bersenam, berlatih vokal dan tarian serta memastikan stamina dalam keadaan baik," kata Sarah.
Ini untuk mengelak badan kurang sihat berulang, sama seperti terjadi pada peringkat akhir WRTH yang menyebabkan kualiti vokalnya menurun, namun dia bernasib baik kerana diterima juri untuk ke LA.
"Segalanya harus dijaga, baik waktu makan dan tidur, setiap sudut mendapat perhatian saya," kata Sarah.
Mengenai persediaan lagu, Sarah mengakui mendapatkan nasihat daripada bapanya, Raisuddin Hamzah yang lebih arif dengan kekuatan vokalnya.
Dia juga mendapatkan pandangan mereka yang berpengalaman ke WCOPA seperti Noryn, Deja dan Dina, khususnya berkenaan corak persaingan yang bakal dihadapinya.
"Kata mereka, saya harus fokus dan bekerja keras kerana macam-macam boleh berlaku di sana.
"Saya juga bertanding dalam kategori sama seperti Bob kecuali kontemporari kerana saya memilih untuk menyertai kategori broadway.
"Bukan mudah membawa lagu broadway, tetapi saya meminatinya dan tidak berpeluang melakukannya di sini. Apapun, doakan kejayaan kami di sana kerana kami bukan saja bertanding untuk diri sendiri, tetapi rakyat Malaysia," katanya.

Sunday, May 17, 2009

Peluang Terbuka

Oleh Izwan Mohamad

BUKAN mudah memahat nama dalam industri hiburan tanah air, apatah lagi jika tidak mengetahui saluran betul mengejar impian sebagai model, pelakon, pengacara atau penyanyi.
Selain bakat semula jadi yang menjadi senjata utama bergelar anak seni, kini bagaikan menjadi arah aliran rupa dan fizikal menarik menjadi kriteria utama sebagai tarikan dan tiket menuju populariti.
Bagaimanapun, lima jejaka yang dicungkil bakat mereka menerusi Pencarian Kacak Bergaya yang berlangsung di Saloma Bistro, Kuala Lumpur, minggu lalu, merasakan hanya bakat yang boleh membawa mereka lebih jauh dalam bidang yang mereka pilih.
Juaranya, Syed Khairul Syed Abdullah, yang ingin dikenali sebagai Roy Daniel, 28, berazam menggunakan tapak yang disediakan sepenuhnya dan tidak mempersiakan bakat dimilikinya.
Berpengalaman sembilan tahun dalam dunia peragaan, dia yang pernah muncul sebagai pelakon pembantu dalam siri Jangan Main Belakang dan telefilem Cinta Untuk Nabila mahu menggunakan usia mudanya dengan mencuba semua cabang seni.
"Saya tahu saya berbakat dalam peragaan dan lakonan, jadi saya berharap kemenangan ini memberi saya ruang lebih luas," kata Roy yang bertugas sebagai pembantu peribadi.
Kegembiraan Roy turut dikongsi pemenang kedua pertandingan tajaan produk tradisional Jamu Mak Dara itu, Mohd Khairi Mansor, 24, yang mengakui pernah didekati penerbit drama, namun atas sebab tiada pengalaman, dia menolak.
"Saya tidak pernah berlakon, jadi saya perlu belajar selain memikirkan watak sesuai memandangkan saya hanya berpengalaman dalam tarian tradisional dan aktif dalam kesenian semasa di universiti dulu," katanya yang juga penganalisis perniagaan berasal dari Kluang, Johor.
Berbeza pula pemenang ketiga, Hairul Azreen Idris yang pernah muncul dalam pelbagai drama bersiri popular seperti Puaka Niyang Rapik, Rona Roni Makaroni, Cinta Khilaf, Ponti Anak Remaja dan Merah Puteh.
Diperkenalkan oleh pelakon Fauzi Nawawi, dia bermula sebagai pelakon lagak ngeri dalam Bio-Nik sebelum menerima banyak tawaran, khususnya dalam aksi lasak, memandangkan dia pernah mewakili negara dan menyertai Sukan Malaysia (Sukma) dalam seni mempertahankan diri, taekwondo.
"Impian saya ingin menjadi pelakon aksi memandangkan Malaysia masih tiada ikon seperti itu.
"Jika di Hong Kong ada Jackie Chan dan di Thailand pula ada Tony Jaa, saya ingin menjadi seperti mereka di Malaysia," katanya.
Bagi finalis bertubuh sasa yang berasal dari Temerloh, Pahang, Mazlan Mokhtar, 27, peluangnya menyertai pertandingan sebegini membuka jalannya untuk memperkenalkan dirinya sebagai pelakon memandangkan dia aktif dalam pementasan teater.
"Sudah lama saya berhasrat mengembangkan bakat tetapi belum berjumpa ruang yang sesuai hinggalah saya menyertai pertandingan ini.
"Saya sudah bersedia untuk aktif dalam bidang ini, dan filem pertama saya Momok The Movie akan ditayangkan pada Oktober nanti," kata ahli bina badan yang pernah menjuarai Mr Pahang 2006 selain naib juara Mr Wonderful Pahang 2007.
Seorang lagi finalis yang aktif dalam sukan bina badan, Nur Iz Hirzi Izhar, 22, ingin menggunakan peluang sebaik mungkin dengan menyertai pertandingan yang julung kali diadakan itu.
Anak kelahiran Perlis yang dikenali sebagai Jie ini mengakui tidak mempertaruhkan rupa semata-mata, sebaliknya ingin menguji bakat semula jadi kerana tidak pernah diberi peluang.
"Saya harap selepas ini lebih banyak peluang memandangkan saya masih baru dan kurang berpengalaman dalam selok-belok bidang seni.
"Masyarakat sekarang tidak menilai melalui rupa dan fizikal, sebaliknya mereka lebih bijak menilai," kata pereka grafik ini.

Bukan Cinta Biasa

Ulasan Izwan Mohamad

BUKAN cinta biasa! Ini yang dapat disimpulkan daripada filem komedi romantik arahan Ahmad Idham ini. Walaupun jalan ceritanya agak klise kerana mengetengahkan watak anak orang kaya sebagai pendukung utama, namun ada sedikit perbezaan kerana hero dan heroinnya hadir daripada latar belakang keluarga yang berada.
Cuma, perbezaan amalan gaya hidup antara kedua-duanya membuatkan filem ini istimewa berbanding filem cinta yang sering menyogokkan kisah putus cinta kerana orang ketiga, atau tidak mendapat restu keluarga.
Mengisahkan Irham (Awal Ashaari), anak hartawan berwajah tampan yang dibesarkan di luar negara sejak kecil dan mengamalkan cara hidup Barat, menerima cabaran daripada dua kawannya Alex (Shaheizy Sam) dan Zainal (Fizz Fairuz) supaya memikat gadis bertudung yang selama ini dipandang rendah oleh mereka.
Syuhada (Heliza) yang dibesarkan datuknya (Hisham Ahmad Tajuddin) tidak menyedari niat sebenar Irham yang cuba merapatinya dengan bantuan adik Irham, Ikmal (Hadziq) yang juga pelajar di sekolah tempat Syuhada mengajar.
Melihat usaha Irham untuk mendalami ilmu agama, Syuhada banyak membantu sehingga menimbulkan perasaan kasih antara kedua-duanya.
Irham juga tidak menyedari dia melaksanakan tanggung jawab sebagai Islam tanpa lalai dan mula selesa dengan kehidupan barunya, namun dia terpaksa menunaikan janji kepada Alex dan Zainal lalu memberitahu niat sebenarnya kepada Syuhada.
Ketika itu timbul konflik antara pasangan ini dan Irham terpaksa menghadapi situasi itu kerana hatinya juga terpaut dengan gadis berkenaan.
Filem ini bagus untuk tontonan, khususnya remaja, kerana diselitkan mesej berunsur keagamaan walaupun dipenuhi gelak tawa dan suasana romantik, menjadikannya satu gubahan hampir sempurna.
Pujian harus diberi kepada skor muzik yang membantu menimbulkan rasa dalam perjalanan cerita ini, di samping sinematografi yang dirumus cantik, khususnya elemen pencahayaan.
Begitu juga lakonan Awal yang bersahaja sehingga penonton boleh merasai kesedihannya melalui titisan air mata yang langsung tidak dibuat-buat, selain keletah Hadziq yang sentiasa menghiburkan.
Cuma, ada beberapa bahagian yang membabitkan suntingan kurang dijana dengan kemas sehingga ada beberapa babak kelihatan `kelakar', seperti pelakon tambahan yang terpinga-pinga seolah-olah baru mendapat arahan, namun itu tidak mencacatkan jalan cerita keseluruhannya.

* Data

FILEM: Syurga Cinta
PENGARAH: Ahmad Idham
PELAKON: Awal Ashaari, Heliza AF5, Hadziq, Mustapha Kamal, Dian P Ramlee, Hisham Ahmad Tajuddin, Fizz Fairuz, Shaheizy Sam dan Wazata Zain
GENRE: Komedi romantik
TAYANGAN: 21 Mei 2009

Manifesto Aroma Bau

Oleh Izwan Mohamad

ZAMAN kebangkitan muzik Malaysia kini dapat dirasakan semula dengan kemunculan pemuzik tempatan yang tidak kurang hebatnya kerana sebelum ini ramai penggiat muzik tanah air terlalu risau dengan kebanjiran band seberang yang dianggap menjatuhkan industri tempatan.
Namun, ada pihak kurang gemar menuding jari menyalahkan senario itu, sebaliknya menghasilkan karya bagus seperti yang dapat kita dengar di radio akhir-akhir ini.
Kemunculan band indie selain kebangkitan band sedia ada kembali mewarnai dunia muzik, menyebabkan stesen radio tempatan yang sebelum ini seolah-olah berpaksikan lagu dari Indonesia, kembali memutar lagu hasil usaha anak watan.
Jika sebelum ini kita disogokkan muzik Sheila On 7, Padi, Dewa 19, Samsons, Kerispatih dan banyak lagi, kini nama seperti Hujan, Meet Uncle Hussain, Bunkface dan Pesawat mula meniti bibir peminat muzik tempatan.
Selain Exists yang tampil dengan single terbaru mereka, kumpulan Bau yang pernah dikenali pada 2004 menerusi album Wajah Kita terbitan Glass Records kini bangkit semula.
Bau yang sebelum ini kehilangan dua anggota lama sekarang tampil dengan tiga ahli baru bagi memantapkan perjalanan seni mereka.
Mereka juga tidak lagi bernaung di bawah mana-mana syarikat rakaman, sebaliknya selesa berdikari dan mempunyai kebebasan berkarya.
Bau yang dianggotai Muhammad Iskandar Dahalan atau Iss sebagai vokalis, Mohd Khairul Annuar Md Salleh (An - dram), Tengku Shafiz-Rullah Tengku Mohd Shahid (Ash - keyboard), Mohd Hizaruddin Mohd Rafee (Dino - gitar utama), Tengku Daud Shah Tengku Adnan (D- gitar kedua) dan Nazrul Ahmad (Nas - bass) terpaksa melepaskan ahli lama iaitu Chot dan Audi Azfar
kerana masalah komitmen.
Tanpa menoleh ke belakang, Bau yang pernah popular menerusi lagu seperti Nafas, Potret dan Wawa kini kembali dengan lagu seperti Demokratik Republik, Manifesto dan Anggun.
Lebih menarik, semua lagu ciptaan sendiri ini turut dimuatkan dalam beberapa drama tempatan sebagai runut bunyi seperti drama bersiri Ponti Anak Remaja, Anggun dan Merah Puteh, membuatkan lagu mereka lebih dikenali peminat.
Menurut Ash yang juga ketua kumpulan Bau, peminat kini lebih memahami kandungan lagu yang disampaikan dengan bantuan visual, menyebabkan mereka mengambil peluang untuk lebih serius bekerjasama dengan mana-mana produksi.
"Kebanyakan muzik kami sesuai digabungkan dengan elemen visual seperti yang kami lakukan dengan kerjasama pihak produksi.
"Bukan semua pendengar muzik dapat memahami mesej yang cuba kita sampaikan menerusi lagu, jadi dengan adanya bantuan visual seperti yang terpapar dalam drama, lebih mudah mereka memahaminya," kata Ash.
Menurutnya, ada lagu mereka yang diterima sebagai runut bunyi selepas lagu siap sepenuhnya, selain lagu yang dicipta khas untuk drama seperti yang dinginkan pihak produksi.
"Sebagai contoh, lagu Anggun dicipta setelah drama siap dan untuk menyesuaikannya, saya bekerjasama dengan Isma Yusoff (pengarah Merah Puteh) menerusi penyusunan lirik lagu itu.
"Ini satu perkembangan sihat apabila pemuzik seperti kami dan penggiat drama dapat bergabung dan berkongsi fikiran, sekali gus membantu antara satu sama lain memantapkan industri hiburan tempatan," katanya.
Malah, mereka kini lebih mudah menjalankan kerja rakaman setelah memiliki studio rakaman sendiri, Bonang Studio yang terletak di Bandar Baru Bangi, Selangor.
Peminat berpeluang mendengar lagu Bau menerusi laman web Myspace secara percuma, selain berpeluang mendapatkan karya mereka dengan menghubungi mereka secara terus.
Ini untuk memberi peluang kepada pendengar muzik tanah air memahami konsep Bau secara mudah tanpa mengeluarkan belanja banyak, sekali gus mempromosi Bau kepada peminat, khususnya golongan muda.

David Mula Yakin

Oleh Izwan Mohamad

MENJADI sebahagian daripada tanggungjawab penggiat filem 'melantik' hasil seni sebagai medium berpengaruh untuk membantu membetulkan minda masyarakat sambil mengimbangi karya yang sebelum ini dilihat mampu memesong akidah dan minda remaja.
Kebimbangan terhadap gejala sosial ternyata menjadi satu daripada agenda penting negara dalam usaha menanganinya, dan kini ada pengusaha filem cuba memainkan sedikit peranan dalam usaha itu.
Produk terbaru Metrowealth Movies Production (MMP), Syurga Cinta, turut mengupas pertembungan gaya hidup golongan yang dipengaruhi kebaratan dan mereka yang teguh kepada agama.
Arahan Ahmad Idham yang menampilkan Awal Ashaari, Heliza AF5, Mustapha Kamal, Dian P Ramlee, Hisham Ahmad Tajuddin, Fizz Fairuz, Shaheizy Sam, Wazata Zain dan adik Hadziq ini mengupas kehidupan dua keluarga Melayu beragama Islam tetapi berbeza cara hidup.
Filem komedi romantik berunsur keagamaan ini begitu ringan, tetapi sarat mesej dan mampu membuatkan penonton berfikir betapa golongan muda kini mudah terpesong dengan budaya yang tidak menjanjikan kebahagiaan dunia dan akhirat.
Keadaan tidak terkawal, khususnya membabitkan anak muda zaman kini, mendorong penerbitnya, David Teo, meneruskan usaha menerbitkan filem bercorak keagamaan walaupun pernah gagal dalam filem pertamanya, Syukur 21, pada 2000.
"Saya mengambil masa sembilan tahun untuk membuat keputusan menerbitkan filem sebegini, namun saya yakin kerana pendekatannya tidak berat dan mudah diterima," kata David yang tidak mahu filem ini dilabel sebagai filem keagamaan sepenuhnya.
Beliau tidak mahu penonton membuat tanggapan mudah dan berpendapat filem ini terlalu berat dan mengurangkan minat penonton, khususnya golongan muda, menontonnya.
"Sebab itu kita gabungkan elemen komedi dan cinta sebelum diselitkan dengan mesej berguna sebagai membantu memperbaiki gejala sosial masyarakat," katanya.
Tidak menafikan bakal berdepan risiko dengan menerbitkan filem bercorak keagamaan, David nampak lebih yakin dengan filem ini kerana genre sama dari Indonesia seperti Kiamat Sudah Dekat dan Ayat-Ayat Cinta mudah diterima penonton kerana menerapkan unsur komersial seperti komedi dan cinta.
"Namun, filem keluaran kita lebih mencerminkan budaya tempatan memandangkan Islam adalah agama rasmi negara ini, jadi kita perlu lebih sensitif.
"Kita mendapatkan pandangan pakar dalam Islam untuk mendapatkan nasihat dan idea, kemudian disesuaikan dengan skrip yang ditulis panel dalaman kami," kata David.
Penerbit yang popular dengan terbitan filem bercorak komedi, seram dan aksi ini turut menafikan menggunakan nilai keagamaan sebagai `pelaris' filem atau cara mendapat keuntungan.
Ini kerana tanggungjawab sebagai penerbit bukan saja mengembalikan kegemilangan industri filem Malaysia, malah mampu menjadi pemberi nasihat kepada masyarakat supaya tidak leka dan lalai dalam urusan kehidupan seharian.
"Jika saya tidak menerbitkan filem seperti ini sekalipun, saya mampu mendapat keuntungan berlipat kali ganda menerusi filem seram atau komedi yang terbukti `boleh jual'.
"Sebagai peniaga, mestilah saya mahu buat produk yang boleh balik modal, tetapi inilah tanggungjawab saya untuk memberi sumbangan kepada masyarakat," katanya.
Bermodalkan RM1.5 juta untuk kos penerbitan filem ini, beliau berharap dapat membuat kutipan sebanyak RM2.5 juta menerusi Syurga Cinta dan berazam meneruskan filem berunsur serupa jika mendapat sambutan menggalakkan.
Filem ini bakal menemui penonton di pawagam tanah air bermula 21 Mei ini.

Farisha Kembali

Oleh Izwan Mohamad

APABILA menyebut nama wanita ini, golongan remaja mungkin tertanya-tanya siapa gerangan di sebalik nama Farisha Irwayu. Namun bagi penggemar drama sekitar 1990-an, namanya bukan asing.
Apatah lagi pelakon yang sering menghiasi kaca TV ini pernah popular menerusi drama seperti Ros Anita yang turut dibintangi Fauziah Ahmad Daud dan Rashdan Baba satu ketika dulu.
Ketika zaman penerbitan telefilem dalam bentuk video cakera padat (VCD) penghujung 1990-an, ibu kepada dua anak ini juga pernah muncul dalam Neurose Dwi yang menggandingkannya bersama nama besar seperti Badrul Muhayat, Zamarul Hisham, Datuk Jalaluddin Hassan dan Dian P Ramlee.
Muncul kali pertama pada 1992 menerusi drama Cinta Untuk Disewa bersama Ary Malik di bawah arahan pengarah dan pelakon Roslan Hussin, dia tidak menoleh ke belakang lagi dan meneruskan kehidupannya sebagai anak seni.
Kini, ibu tunggal ini masih aktif berlakon walaupun kehadirannya tidak berapa disedari kerana kurang publisiti dan jarang muncul di media.
"Saya masih aktif berlakon, malah saya bakal muncul dalam drama Zati dan Si Mawas bersama Excellent Pictures di bawah arahan Ahmad Idham bersama pelakon seperti Liyana Jasmay, Sharifah Shahora, Kamal Adlil dan Dian P Ramlee.
"Kali terakhir saya muncul di kaca TV menerusi drama 26 espisod Amanah Karmilla yang ditayangkan menerusi TV2," katanya.
Bercerita mengenai kehidupan peribadinya, dia yang pernah berkahwin pada 1998 dan bercerai pada 2002 masih bersendirian sehingga saat ini walaupun ada pihak cuba merapati.
Baginya, yang penting saat ini adalah kerjayanya sebagai pelakon kerana sebagai ibu tunggal, dunia lakonan menjadi sumber mencari sesuap nasi.
"Bukan tiada yang ingin menjadi pengganti, cuma keserasian itu sukar ditemui dan saya tidak mencari, apatah lagi memikirkan mengenainya.
"Saya juga tidak risau atau fobia untuk berkahwin, kalau sudah sampai jodoh, adalah," katanya yang tidak lokek bercerita mengenai kehidupannya.
Baginya, berkongsi cerita peribadi dengan peminat bukan perkara luar biasa kerana sebagai artis, itulah asam garam yang perlu dilalui memandangkan artis sering dilabel sebagai hak masyarakat.
"Kadangkala, kontroversi dan berita sensasi yang membuatkan orang lebih mengenali kita," katanya.
Bercakap mengenai dunia lakonan yang semakin sempit dengan kehadiran ramai bakat baru yang muncul tahun demi tahun, Farisha tidak pernah menganggap kehadiran pelakon baru sebagai penutup rezeki.
Malah, tanpa pelakon lama, tidak adalah pelakon baru yang bakal mewarnai industri hiburan tanah air, walaupun pelakon sezamannya sukar mendapat peluang ketika mula-mula menjejakkan kaki ke dalam bidang lakonan dulu.
"Sekarang semuanya mudah, malah ada program pencarian pelakon untuk mencari bakat baru sebagai pelapis.
"Cuma saya kesal kerana gejala kronisme dalam produksi masih wujud sehingga menutup rezeki ramai pelakon sedia ada kerana lebih ramai penerbit lebih suka mengambil ahli keluarga atau kawan rapat untuk berlakon dalam produksi mereka.
"Namun ini yang perlu dihadapi golongan pelakon seperti kami, tetapi saya percaya hanya bakat yang dapat membezakan," kata Farisha.

Sunday, May 10, 2009

Dominasi Filem Seram

Oleh Izwan Mohamad

MENGIKUT sejarah filem Melayu, genre seram pertama diterbitkan ialah Pontianak pada 1957 arahan BN Rao, menampilkan primadona Datuk Maria Menado dan mendapat sambutan di luar jangkaan hingga menjadikannya sebuah filem boxoffice Asia selain pernah menyertai Anugerah Festival Filem Asia Pasifik di Tokyo, Jepun pada tahun sama.
Namun, sekian lama pula industri perfileman Malaysia ketandusan filem genre seram selepas terpaksa berdepan Lembaga Penapisan Filem (LPF) satu ketika dulu, khususnya filem Fantasia arahan Aziz M Osman yang diharamkan LPF dengan alasan filem itu mengandungi unsur tahyul dan boleh memesongkan akidah.
Hal itu mengakibatkan ramai pengusaha filem tidak berani menerbitkan filem berbentuk seram kerana tidak mahu kerugian besar, apatah lagi membayangkan kemungkinan genre ini tidak dapat ditayangkan jika terlanggar syarat ditetapkan.
Bagaimanapun setelah sekian lama kaki wayang di Malaysia disajikan filem seram dari Thailand, Jepun, Korea, Hong Kong dan Barat, pengusaha filem tempatan kembali `berani' apabila kelonggaran mula diberikan sehingga terbitnya filem Mistik terbitan Metrowealth Movies Production Sdn Bhd (MMP) pada 2003.
Filem yang berjaya mendapat kutipan RM2.02 juta itu membuktikan filem seram yang berkait rapat dengan hantu dan alam ghaib menjadi satu budaya dalam kehidupan masyarakat tempatan yang rata-rata suka menonton atau mendengar cerita hantu.
Minat terhadap filem berunsur seram turut membuahkan idea kepada penggiat filem tempatan untuk menghasilkan filem sedemikian, walaupun masih lagi terikat dengan garis panduan.
Namun, kerjasama LPF dalam melaksanakan tugas dengan melakukan pemantauan bersama penerbit dan pengarah memudahkan pengusaha filem melakukan perubahan berdasarkan persetujuan kedua-dua pihak supaya pemotongan babak filem dilakukan sebaik mungkin dan tidak mencacatkan jalan cerita.
Sejak itu, penghasilan filem genre seram makin berkembang bermula tahun 2004 dengan lima filem iaitu I Know What You Did Last Raya, Tujuh Perhentian, Makar, Pontianak Harum Sundal Malam (PHSM) dan Di Ambang Misteri yang mengutip RM7.85 juta secara keseluruhan.
Kecemerlangan itu diteruskan dalam tahun seterusnya yang menyaksikan 22 filem seram diterbitkan sehingga awal 2009, menghasilkan jumlah kutipan kasar RM37.4 juta, sekali gus menunjukkan genre seram ini menjadi pilihan utama peminat filem tempatan.
"Selama 35 tahun industri perfileman kita tidak menerbitkan filem seram, inilah masanya kita kembalikan kegemilangan filem seram seperti yang pernah kita capai pada 1950-an keluaran Cathay Keris dan Malay Film Production dulu," kata Ketua Pengarah Finas, Mohd Mahyidin Mustakim.
Beliau berkata sedemikian ketika majlis pelancaran Pameran Filem Seram 2009 di Galeri Perfileman Finas baru-baru ini yang dibangunkan sebagai lambang kegemilangan era emas filem Melayu sejak 1960-an.
Pameran yang dibuka secara percuma sehingga hujung bulan ini turut memaparkan koleksi kostum dan set yang digunakan dalam pembikinan filem seram seperti pameran daripada filem Toyol terbitan tahun 1981, Orang Minyak dan Sumpah Orang Minyak.
Turut dipamerkan ialah filem seram era moden seperti PHSM, Kala Malam Bulan Mengambang dan Chermin.
Menurut Mahyidin, kejayaan Mistik yang diteruskan PHSM yang meraih kutipan RM3.2 juta pada 2004 menjadi pembuka tirai kepada penerbit lain bagi mengeluarkan filem bertema seram.
"Sehingga kini lebih 50 filem seram diterbitkan sejak 1950-an dan kutipan tertinggi direkodkan Finas ialah Jangan Pandang belakang terbitan MMP sebanyak RM5.7 juta.
"Tahun 2009 pula menyaksikan 12 filem menemui penonton di pawagam dengan empat filem ditayangkan sehingga April 2009 iaitu Maut, Rasukan Ablasa, Jin Hutan dan Jangan Tegur.
"Lapan lagi filem iaitu Skrip 7707, Misteri Dendam Balan-Balan, Eee... Hantu, Gentayangan, Serem, Jin Notti, Momok The Movie dan Jangan Pandang Belakang Congkak bakal ditayangkan, sekali gus memperlihatkan kepentingan dan peranan besar filem seram dalam industri perfileman tempatan," katanya.
Menyentuh mengenai usul beberapa pihak yang mencadangkan diadakan anugerah khas bagi pengusaha filem seram dalam Festival Filem Malaysia, Mahyidin berpendapat perbincangan bersama jawatankuasa berkaitan perlu diadakan memandangkan anugerah khas bagi filem komedi sudah diperkenalkan.
"Filem seram tempatan mampu pergi jauh, apatah lagi penonton kita lebih terbuka dan tidak mudah terpesong.
"Jika ada cadangan untuk anugerah khas, tidak salah jika pengusaha filem dan persatuan berkaitan duduk berbincang bagi menarik minat pengusaha filem mengeluarkan filem sebegini," katanya.

SENARAI KUTIPAN FILEM SERAM 2003-2009
(sehingga April 2009)

Jangan Tegur - RM1.03 juta
Jin Hutan - RM0.23 juta
Rasukan Ablasa - RM0.82 juta
Maut - RM1.60 juta
Histeria - RM2.76 juta
Antoo Fighter - RM2.01 juta
Susuk - RM2.07 juta
Congkak - RM3.8 juta
Kala Malam Bulan Mengambang - RM0.55 juta
Misteri Orang Minyak - RM0.64 juta
Waris Jari Hantu - RM1.74 juta
Jangan Pandang Belakang - RM5.78 juta
Chermin - RM0.76 juta
Puaka Tebing Biru - RM1.03 juta
Syaitan - RM0.49 juta
Seed Of Darkness - RM0.25 juta
Possessed - RM0.4 juta
Gong - RM0.65 juta
Pontianak Harum Sundal Malam 2 - RM2.75 juta
Pontianak Menjerit - RM0.9 juta
Potret Mistik - RM0.95 juta
I Know What You Did Last Raya - RM1.5 juta
Tujuh Perhentian - RM2.27 juta
Makar - RM0.5 juta
Pontianak Harum Sundal Malam - RM3.2 juta
Di Ambang Misteri - RM0.38 juta
Mistik - RM2.02 juta

Ujian Sudah Bermula

Oleh Izwan Mohamad

SELEPAS dua musim Mentor menemui penonton bermula tahun 2005, program realiti ini sekali lagi menyajikan pembukaan dengan gaya baru dan tersendiri.
Masih terlalu awal untuk mencongak siapa bakal dijulang juara baru walaupun penonton mula menilai bakat peserta berdasarkan persembahan sulung dalam konsert pengenalan Ahad lalu.
Malam ini, semua protege yang mendapat tunjuk ajar daripada enam mentor iaitu Jaclyn Victor, Mas Idayu, Lah Ahmad, Adibah Nor, Ajai dan Awie bakal berentap untuk mara ke peringkat seterusnya.
Mereka memiliki kriteria tersendiri daripada segi bakat, vokal dan pakej. Peserta kali ini - pasangan duo, Khairul Najmuddin Abu Samah dan Halhusani Razmi iaitu protege Jaclyn, Tahiruddin Sain (Adibah), Hanifah Md Hanafiah (Mas Idayu), Camellus De'lelli Anam (Ajai), Suriana Abdul Wahab (Awie) dan Hunanis Zafira Huzaini (Lah).
Menurut Penerbit dan Pengarah Mentor 3, Mohamad Sufian Isa, pihaknya teruja dengan penganjuran Mentor musim ini yang menyaksikan bagaimana protege 'diajar' oleh mentor profesional.
"Musim ini menyaksikan hasil kreativiti dan persembahan protege bimbingan artis terkenal yang datang daripada pelbagai genre muzik seperti Awie (rock), Mas Idayu (dangdut) dan Jac (pop). Di sini kita dapat saksikan gabungan kreativiti mentor dan protege," katanya.
Musim ini juga memperkenalkan format pemarkahan baru iaitu markah diberi kepada tiga bahagian iaitu 50 peratus daripada juri profesional, 30 peratus SMS dan 20 peratus daripada juri awam (pelajar muzik, wartawan dan golongan semi-profesional).
Setiap protege diberi peluang melakukan persembahan tiga kali mengikut kumpulan masing-masing pada konsert yang diadakan secara berselang antara kumpulan A dan B.
Markah daripada ketiga-tiga persembahan itu digabungkan bagi menentukan dua peserta yang mendapat markah tertinggi daripada setiap kumpulan untuk ke peringkat separuh akhir.
Peringkat separuh akhir pula menyaksikan dua protege daripada setiap kumpulan digabung semula untuk berentap dan seorang protege disingkir setiap minggu bagi mencari dua peserta ke peringkat akhir.
Jaclyn turut teruja apabila menerima pelawaan TV3 sebagai mentor musim ini sehingga mengambil risiko menggabungkan dua peserta menjadi duo yang ingin dikenali sebagai Evo.
"Kedua-dua protege saya memiliki kekuatan vokal dan keunikan berbeza hinggakan saya susah untuk memilih seorang antara mereka sebagai anak didik, jadi saya mengambil keputusan menggabungkan mereka walaupun bebanan itu lebih berat berbanding peserta solo.
"Soal kalah atau menang bukan perkara pokok, sebaliknya kita cuba mencipta produk baru dalam bidang seni suara yang mempunyai versatiliti dan berbeza dengan penyanyi sedia ada," kata Juara Malaysia Idol musim pertama ini.
Bagi Awie yang 'menghalau' calon lelaki kerana inginkan protege wanita, anak didiknya, Keena memiliki keistimewaannya tersendiri kerana memiliki aura bintang rock.
"Kita kekurangan penyanyi rock wanita, apatah lagi hanya tinggal Ella yang mempertahankan irama kesukaan ramai ini, sekali gus membuktikan kita ketandusan penyanyi sepertinya.
"Saya tidak memasang strategi, apatah lagi memikirkan soal kemenangan, cuma saya menggunakan pendekatan tersendiri supaya protege lebih yakin dengan kemampuan saya dan kalau boleh biar penonton juga dapat belajar sesuatu daripada apa yang dipaparkan," kata Awie.
Mentor 3 juga memiliki kelainan tersendiri apabila Mas Idayu mengambil risiko dengan memilih bekas pemain bola sepak sebagai protege, dianggap 'berbeza' berbanding peserta program realiti yang sering mengetengahkan individu yang lengkap dengan pakej rupa bagi memancing undian.
"Saya akui protege saya tidak kacak, tetapi Black (Hanafiah) mempunyai bakat nyanyian mengatasi fizikalnya kerana mempunyai 'range' vokal seperti penyanyi wanita.
"Saya tidak teragak-agak memilihnya memandangkan bakatnya besar walaupun kurang berkeyakinan akibat terlalu rendah diri dengan kekurangannya", kata Mas Idayu yang berpengalaman 17 tahun dalam bidang seni suara.
Bekas anggota kumpulan VE, Lah turut yakin dengan protegenya, Fira, yang memiliki keupayaan vokal seperti penyanyi era 1980-an seperti Shima, Francisca Peters dan Zaiton Sameon.
"Kekuatan vokal yang Fira miliki berbeza dengan kebanyakan penyanyi sedia ada memandangkan versatilitinya dalam menyanyikan lagu pelbagai genre, selain memiliki 'range' vokal agak besar.
"Dia turut menunjukkan minat untuk belajar kerana sering bertanya, tetapi saya tidak akan memanjakannya untuk dia lebih berdikari," kata Lah.
Ada satu tarikan lain dalam mentor musim ini apabila turut menampilkan abang kepada bintang realiti, Stacy iaitu Camellus De'lelli Anam (Chaq) yang pernah sekumpulan dengan adiknya dalam Gangstarz, Evoke.
"Pada mulanya, kami juga tidak perasan protege kami abang kepada Stacy hinggalah ternampak persamaan pada namanya.
"Kami memilihnya bukan kerana dia abang kepada Stacy, sebaliknya keupayaannya menari dan menyanyi dengan bagus," kata Liza Ilias yang juga pengurus kepada Ajai.
Adibah Nor pula 'terpikat' dengan keupayaan protegenya, Tahiruddin Sain atau Thye yang juga bekas artis budaya Selangor.
Mentor 3 juga memperkenalkan pelakon Ellie Suriaty Omar sebagai penasihat motivasi selain Azmeer dan Sazlan untuk juri vokal dan tarian.
Selain konsert mingguan, Jurnal Protege ditayangkan pada setiap Ahad jam 5.30 hingga 6 petang, menyorot persediaan serta aktiviti protege bersama mentor dan diari harian protege yang ditayangkan setiap Isnin hingga Jumaat jam 7.28 malam.

Tari Aril

Oleh Izwan Mohamad

KEHADIRAN jejaka ini di Akademi Fantasia 7 (AF7) memberi impak besar kepada rancangan realiti TV paling popular itu dek personalitinya yang ceria selain memiliki pakej yang digilai ramai.
Namun, penyingkirannya pada konsert mingguan ketujuh di Dewan Sri Putra, Bukit Jalil baru-baru ini memeranjatkan ramai hinggakan ada pihak sanggup membuat petisyen di Internet untuk mengembalikannya ke AF7, selain mengharapkan pihak produksi mengadakan undian AFMASUK seperti pernah dilakukan beberapa musim sebelum ini.
Ramai pemerhati seni, termasuk penyanyi Datuk Khatijah Ibrahim dan Adibah Nor menyelar pengundi yang dianggap 'kurang bijak' dalam membuat keputusan tidak mengundi jejaka berasal dari Ampang, Selangor ini sehingga menyebabkannya tersingkir.
Hari ini mungkin peminat dapat melihatnya kembali menerusi kaca TV kerana peminatnya boleh menebus semula kesilapan dan berpeluang melihat Aril atau nama sebenarnya Khairil Azam Pilus, 23, beraksi di peringkat akhir AF7.
Peluang terbuka apabila Pengetua AF7, Datin Seri Tiara Jacquelina mengumumkan talian AFMASUK dibuka pada konsert mingguan kelapan, baru-baru ini.
Bagaimanapun, ada pihak membantah keputusan itu kerana berpendapat pihak produksi 'sengaja' mengadakan AFMASUK bagi membenarkan Aril melangkah ke final AF7 walaupun tersingkir.
Ini terbukti selepas beberapa hari waktu undian dibuka sejak Isnin lalu, kedudukan Aril pada tahap tertinggi berbanding bekas peserta lain seperti Aishah, Claudia dan Zizi yang disebut-sebut sebagai pesaing terdekatnya.
"Bercakap mengenai AFMASUK, saya langsung tidak terfikir sama ada bersetuju atau tidak dalam perkara ini kerana semua keputusan bergantung kepada pihak produksi dan terpulang kepada mereka untuk membuat keputusan," kata adik kepada penyanyi Izwan Pilus ini.
Malah, dia tidak menaruh harapan tinggi memandangkan peluang sama rata diberi kepada peminat setiap pelajar yang tersingkir sebelum ini, apatah lagi rakannya bukan penyanyi yang calang-calang.
"Saya setuju jari menjadi juri dalam pertandingan ini, jadi saya serahkan sepenuhnya kepada pengundi di luar sana untuk membuat keputusan, dan saya berterima kasih dengan sokongan yang diberi kepada saya," katanya.
Ketika penyingkirannya, ramai terkena tempias kemarahan peminat yang kecewa melihatnya menarik beg turun dari pentas transformasi AF7, termasuk bintang AF3, Marsha Milan Londoh yang dikatakan punca peminat tidak mengundi jejaka berkulit cerah itu.
"Tidak perlu kecewa dengan penyingkiran saya. Memang saya kesal kerana apabila saya sudah tiada di AF7 baru ada yang menyatakan rasa terkilan dan sebagainya, walaupun saya percaya rezeki ada di mana-mana.
"Usah salahkan Marsha kerana tidak adil untuk menghukumnya, sedangkan dia langsung tidak bersalah dalam hal ini," katanya.
Bercerita mengenai pembabitannya dalam dunia seni nyanyian, tarian dan pengacaraan, anak ketiga daripada empat beradik ini berjaya mengembangkan bakatnya sebagai pengacara rancangan Trendy yang memfokus kepada isu remaja selain memaparkan gaya hidup, fesyen dan muzik.
"Saya ditawar menjadi pengacara selepas mengikut abang (Izwan) ke sebuah rakaman di RTM, dan penerbit berminat dengan sifat saya lalu memanggil saya ke uji bakat.
"Tidak sangka juga saya ditawarkan tanggungjawab itu, dan saya mengacara rancangan itu selama tiga musim," katanya.
Menyentuh pembabitannya dalam seni tari, Aril mengakui pernah memenangi Festival Tarian Antarabangsa di Kuala Lumpur pada 2007 dan aktif dalam tarian 'shuffle' sehingga dia dan rakan menubuhkan komuniti penari 'shuffle' dinamakan Hardstyle Republic yang mendapat sambutan hangat daripada golongan muda.
"Saya mengagumi AC Mizal kerana dia boleh buat semua seperti mengacara, berlakon, menari dan menyanyi.
"Saya juga hendak jadi seperti itu dan mahu membuktikan kepada pengetua dan tenaga pengajar yang saya boleh menjadi ikon serba boleh yang mereka cari," kata Aril yang cemerlang menerusi persembahan lagu Yang Pernah daripada Estranged dan Nakal nyanyian asal Gigi ketika persembahan mingguan.

Sunday, May 3, 2009

6ixth Sense Bangkit

Oleh Izwan Mohamad

DALAM kemerosotan pasaran muzik Malaysia, tidak ramai menyedari ada penggiat muzik tanah air masih memiliki kekuatan dalam usaha memartabatkannya walaupun berdepan kesukaran.
Situasi ini tidak mematahkan semangat lima anak muda yang mula dikenali dengan lagu rakaman semula Hari Ini dan Semalam (nyanyian asal J Mizan) menerusi album sulung mereka, Hari Ini terbitan 2006.
Impian 6ixth Sense menjadi kenyataan apabila lagu itu pantas diterima peminat muzik, sekali gus meletakkan mereka sebaris dengan band senior seperti Pretty Ugly, Spider, Sofaz, Pop Shuvit dan Nitrus.
Selepas muncul sekali lagi dengan album kedua pada 2007, kumpulan yang menampilkan Adi sebagai vokalis, Gjie (gitar utama), Athan (gitar kedua), Ayoy (bass) dan Wan (dram), meneruskan populariti mereka dengan lagu Tak Bisa Memilihmu dan Tanpa.
Kumpulan yang baru saja menerima anugerah Lagu Paling Popular Peringkat Akhir Hits 1 menerusi lagu Tanpa ini kini tampil dengan single terbaru, Khatimah Cinta, selepas kali terakhir muncul dengan lagu Cinta Yang Sempurna menampilkan Noe daripada kumpulan Indonesia, Letto.
Bukan asing apabila senario penerbitan single mula mengatasi album, sementelah penjualan album yang perlahan berikutan teknologi muat turun yang memudahkan peminat muzik mendapatkan lagu secara percuma.
"Selepas Cinta Yang Sempurna, kami tiada karya terbaru untuk dikongsikan. Jadi kami mengambil keputusan merakam single terbaru ini sebagai hadiah kepada peminat yang selama ini tak henti-henti menyokong," kata Athan.
Bukan sekadar itu, kumpulan yang berasal dari Bangsar, Kuala Lumpur selain Adi dari Jember, Indonesia ini menjalani penggambaran klip video lagu Khatimah Cinta yang dilakukan di Victoria Institution dan Galeri Tangsi, Kuala Lumpur.
Bercerita mengenai klip video yang diarahkan oleh Iqmal dan Misyon, jalan cerita berlatar belakang kisah hidup seorang pelukis yang meninggal dunia sebelum sempat menyerahkan sebuah lukisan potret kekasihnya.
Oleh kerana itu, semua anggota 6ixth Sense dikehendaki membawa watak 'hantu' bagi menggambarkan pencinta yang ingin menyampaikan rasa hati yang dibawa ke mati.
Sesuatu yang menarik, penggambaran ini dijalankan pada waktu malam untuk mendapatkan suasana kegelapan berlatar belakang bangunan lama dan mengambil masa hanya satu hari.
"Klip video ini berbeza dengan yang pernah kami terbitkan kerana teknologi digunakan lebih maju selain penggunaan teknik 'super-imposed' dalam beberapa babak.
"Malah syarikat pengurusan kami, Rumpun Records sanggup berbelanja lebih bagi mendapatkan khidmat pakar untuk mewujudkan suasana hujan," kata Ayoy.
Mungkin ada yang tertanya-tanya mengapa 6ixth Sense berani mengambil risiko menerbitkan klip video walaupun lagu ciptaan mereka belum popular.
Penerbitan klip video bertujuan memperkenalkan lagu ini apabila mula ditayangkan di TV selain membantu meluaskan promosinya.
"Ini juga bagaikan satu arah aliran terkini dalam menguatkan lagi satu-satu karya kerana peminat sekarang lebih gemar mendengar muzik dengan menggabungkan elemen visual," menurut Adi yang menganggap lagu ini sebagai permulaan terbaik tahun 2009.
6ixth Sense juga mengorak langkah lebih jauh apabila menerbitkan lagu untuk penyanyi popular termasuk Jaclyn Victor, lagu duet Alif dan Ika, serta penyanyi baru dari Singapura, Noriez.
"Kami sekadar mencuba berkongsi keupayaan kami mencipta dan menerbit lagu untuk penyanyi lain kerana sebelum ini kami jarang menggunakan khidmat komposer luar, termasuk dalam dua album sebelum ini.
"Sampai waktunya kami menyumbangkan sesuatu untuk industri muzik tanah air, apatah lagi melihat kebangkitan band tempatan yang semakin diterima peminat walaupun sebelum ini banyak isu mengenai kebanjiran lagu dari luar.
"Jika ada mana-mana penyanyi mahu khidmat kami, 6ixth Sense sedia bekerjasama demi menaikkan semula industri hiburan tanah air," kata Gjie.