Sunday, April 26, 2009

Digilai Pemuzik Indie

Oleh Izwan Mohamad

SELEBRITI selalu dikaitkan dengan fesyen, tidak kiralah jenama mewah mahu pun sederhana, mengikut kemampuan dan imej yang dibawa seseorang artis supaya kelihatan berketrampilan.
Selebriti juga sering menjadi tumpuan dan ikon masyarakat, malah tidak kurang juga ada orang ramai selalu meniru gaya artis kerana percaya golongan itu berfesyen seiring arah aliran terkini.
Bukan saja jenama mewah menjadi pilihan, kini golongan yang sering dikaitkan dengan imej `selekeh' boleh menolak tanggapan negatif itu kerana ada jenama yang sesuai dengan penampilan muzik mereka, khususnya pemuzik indie dan rock.
Ketepikan baju compang camping yang selalu dikaitkan dengan kegiatan tidak bermoral, kini mereka boleh tampil hebat dengan rekaan pakaian selaras dengan muzik yang dibawa, walaupun tidak perlu mengeluarkan belanja terlalu mahal.
Badger, jenama terbaru yang melebarkan sayap ke Malaysia dari Bandung dan menjadi pilihan banyak penggiat muzik Malaysia, kini membuka cawangan di sini selepas mendapat sambutan pemuzik di sana.
Jika selama ini ramai peminat Badger terpaksa ke Bandung atau menempah melalui Internet, kini mereka tidak perlu bersusah payah lagi dengan pelancaran cawangan sulung jenama itu di Damansara Utama, Selangor.
"Ramai selebriti tempatan seperti kumpulan Estranged dan Meet Uncle Hussein meminati jenama ini. Jika sebelum ini kami menjalankan perniagaan secara bazar maya di Internet, kini peminat Badger boleh mendapatkannya di butik kami," kata Pengurus Operasi dan Pemasaran Ecletique Fusion, Onnie Rahman, yang juga pengedar tunggal Badger di Malaysia.
Menurutnya, rekaan Badger bercirikan muzik dan sangat rapat dengan komuniti pemuzik, khususnya penyokong kumpulan indie, menyebabkan jenama ini tidak asing lagi.
Harga pakaian yang berpatutan selain kualiti fabrik dan rekaan menarik menjadi tarikan utama pembeli, sehingga ramai sanggup ke Bandung semata-mata untuk mendapatkan pakaian keluaran mereka.
"Harga ditawarkan sangat berbaloi, paling mahal pakaian yang dijual hanya RM110 iaitu yang menggunakan fabrik jeans. Kemeja-T beraneka corak pula ada yang dijual kurang daripada RM50," kata Onnie yang menganggap Badger lebih kepada menawarkan semangat persahabatan antara penggiat fesyen dan muzik.
Wakil pengarah Badger Indonesia, Yopik Sukamana, yang turut hadir dalam pelancaran butik itu, turut bersetuju bahawa hubungan pemuzik yang kebanyakannya golongan muda begitu rapat dengan penampilan beraneka namun kemas.
"Kami di Bandung sudah lama bekerjasama dengan band seperti Peterpan, Nidji, D'Massive dan Cokelat, malah hubungan jenama Badger dengan mereka bagaikan bersaudara kerana saling membantu satu sama lain," kata Yopik.
Tambahnya, jenama Badger yang masuk tahun ke-10 beroperasi sering berbincang dengan peminat muzik mengenai penampilan dan imej yang perlu dibawa, tidak kira sewaktu mengadakan persembahan mahu pun ketika santai.
"Keluaran Badger senang dipakai dalam apa jua keadaan, kerana itu ramai rakyat Malaysia yang mendapatkan pakaian kami di Bandung sering bertanya bila mahu buka cawangan di sini.
"Oleh kerana selera dan idealisme antara pemuzik Indonesia dan Malaysia sama, akhirnya sampai jodoh Badger dengan Malaysia," kata Yopik.
Badger mempunyai dua lagi label di bawahnya, iaitu Anti-Beauty adalah rangkaian pakaian wanita yang menyerlahkan pemakaian fesyen berunsur keriangan, manakala Voltra berunsur keganasan yang mempamer corak tatu, papan luncur dan grafiti.
Di Malaysia, Badger turut menyokong dan menaja beberapa penggiat kumpulan indie tanah air seperti Hanafi daripada kumpulan Estranged, Fizul (They Will Kill Us) dan penyanyi solo indie popular, Yuna.

Sammy Masih Mencari

Oleh Izwan Mohamad

TIADA wanita yang tidak akan menoleh dua kali apabila terpandang jejaka bertubuh sasa ini, apatah lagi karisma dimilikinya membuatkan ramai ingin berdampingan dengannya.
Namanya mula meledak dalam industri hiburan menerusi filem Eiffel I'm In Love bersama Shandy Aulia, sekali gus mempopularkan dirinya sehingga ditawar berlakon dalam filem Malaysia, Sayang You Can Dance bersama Sharifah Amani dan Dafi.
Mempunyai ketinggian 183 sentimeter dan berwajah eksotik hasil kacukan darah Padang, Ambon dan Menado, pasti jolokan playboy mudah `melekat' pada bekas pemain bola keranjang junior Indonesia ini.
Pun begitu, dalam usia yang bakal mencecah 29 tahun November ini, Samuel Rizal (Sammy) masih bersendirian.
"Benar, saya belum ada kekasih," kata Sammy apabila ditanya berkenaan hubungan cinta.
Menurut pelakon yang mula menempa nama menerusi filem Tusuk Jelangkung ini, dia masih mencari pasangan sesuai sejak terputus hubungan dengan seorang gadis setahun lalu.
Malah, dia kini lebih mementingkan kerjaya dan merancang memperluaskan lagi bakat dimilikinya daripada memikirkan soal cinta, apatah lagi kontrak lima tahunnya dengan Soraya Intercine Film bakal tamat penghujung 2009.
Mengakui cerewet dalam memilih teman hidup, anak pasangan Boetje S Arifin dan Wunoy Rolandy Luntungan ini turut menafikan calon pilihannya mesti memiliki minat sama sepertinya seperti bermain bola keranjang, suka menyelam, aktif dalam bidang automotif dan menceburi bidang lakonan.
"Untuk menjadi kekasih saya tidak semestinya mempunyai minat sama, saya cuma menantikan orang yang boleh menarik minat saya tatkala pertama kali bertemu.
"Yang penting ada keserasian antara kami, itu sudah cukup," kata Sammy.
Apabila ditanya mengenai godaan kaum sejenis yang mungkin dihadapi golongan sepertinya, pemenang kategori Pelakon Paling Popular dalam Anugerah MTV Filem Indonesia (MIMA) 2004 ini tidak kisah jika digemari lelaki.
"Perkara ini lumrah. Sebagai artis, saya faham keadaan ini, tetapi usahlah keterlaluan dan melampaui batas," kata Sammy.
Bercerita mengenai pengalamannya berlakon dalam produksi Malaysia, dia mengakui mengalami kesukaran pada awalnya, terutama daripada segi pertuturan yang berbeza.
Berkat usahanya serta bantuan rakan, khususnya Amani dan Fatimah Abu Bakar, dia yang membawa watak penari dalam filem itu akhirnya dapat mengatasi masalah itu dengan mudah.
"Nani (Amani) dan Auntie Fati (Fatimah) memang satu keluarga yang baik dan saya betul-betul selesa bekerjasama dengan mereka kerana saya langsung tidak rasa terasing.
"Nani selalu membantu saya mengolah skrip untuk memudahkan saya menuturkannya, secara tidak langsung perjalanan penggambaran menjadi lancar," kata Sammy yang turut memuji tahap profesionalisme pelakon muda itu.
Selepas kejayaan menempatkan diri dalam barisan pelakon di Malaysia, Sammy turut ditanya sama ada dia akan terus mencari peluang berlakon di sini.
Malah, namanya mula meniti bibir penerbit dan pengusaha filem dan drama tempatan setelah melihatnya beraksi menerusi filem berkenaan.
"Sehingga kini saya belum menerima lamaran daripada mana-mana pihak di sini, malah sebelum ini saya pun tidak terfikir filem saya berjaya menarik minat penonton di Malaysia.
"Saya percaya peluang itu pasti ada berdasarkan impak daripada karya sebelum ini, jadi kalau ada rezeki mungkin peluang itu akan datang sendiri," katanya.
Sammy hadir ke Malaysia sempena majlis meraikan setiausaha di Hotel Istana, Kuala Lumpur, Rabu lalu, bersama 20 selebriti lelaki popular, menampilkan artis Indonesia Rio Febrian, Delon, Irwansyah, Didi Riyadi dan Ariffin Putra.

Sunday, April 19, 2009

Dua Beradik Berentap

Oleh Izwan Mohamad

UMUM mengetahui dua program realiti TV, Akademi Fantasia (AF) dan One In A Million (OIAM) kini bersaing untuk melahirkan bakat baru sebagai pelapis kepada industri muzik tanah air sejak Mac lalu menerusi saluran Astro Ria dan 8TV.
Malah, ramai maklum pertembungan ini bukan saja antara dua stesen televisyen swasta itu, tetapi juga membabitkan persaingan antara dua beradik.
Shah Indrawan Ismail atau lebih dikenali sebagai Tomok gah di One In A Million musim ketiga, manakala kakak sulungnya, Ismaliza Ismail atau Isma sering mendapat undian tertinggi di AF7.
Sesuatu yang menerujakan melihat dua beradik ini berjaya menarik perhatian peminat dengan gaya tersendiri sehingga mereka masih kekal dalam rancangan yang menggabungkan elemen bakat dan populariti itu, berdasarkan format undian SMS penonton.
Sehingga hari ini, undian masih berpihak kepada mereka sehingga ada lemparan kata-kata kurang enak seperti keluarga mereka ditaja dan sebagainya.
Ini semua kerana ramai berasa pelik dengan graf undian kedua-duanya yang sentiasa tinggi meninggalkan jauh peserta lain dalam rancangan masing-masing.
Namun pendapat itu dinafikan Tomok yang juga vokalis kumpulan New Boyz yang pernah meledak dalam industri muzik tanah air pada penghujung 1990-an.
Katanya, tidak timbul soal tajaan atau berhabis wang ringgit semata-mata mengundi untuk memastikan dia dan kakaknya kekal di program masing-masing.
"Keluarga saya bukan kaya, sederhana saja dan tidak mampu berbelanja besar demi melihat kami berdua meneruskan cabaran dalam AF7 dan OIAM.
"Malah, saya ada beritahu keluarga, usah mengundi secara keterlaluan kerana biar orang ramai dan peminat menentukan hala tuju kami," kata Tomok.
Menurutnya, dia yakin peminat sekarang lebih bijak dalam menilai bakat dan sebagai penghibur, dia perlu melakukan persembahan terbaik minggu demi minggu untuk memastikan terus kekal, sekali gus berpeluang menjejakkan kaki ke peringkat akhir jika rezeki menyebelahinya.
"Bagi saya, kalau menang sekali pun, jika undian yang banyak itu hanya datang daripada keluarga dan rakan, sudah tentu kita sebagai penyanyi tidak akan ke mana-mana juga.
"Malah tanpa peminat sebenar, kita pasti terkapai-kapai nanti," katanya yang berpengalaman lebih 10 tahun dalam industri seni.
Bercerita mengenai Isma, kakaknya yang juga isteri bekas vokalis kumpulan 2 By 2 dan Pengurus A&R Suria Records, Zulkifli Majid, memang sudah lama menceburi bidang nyanyian dan pernah ditawarkan peluang merakam album.
"Sebenarnya saya tidak menyangka kakak berjaya menyertai AF, apatah lagi statusnya yang beranak lima. Saya sungguh bangga dengan pencapaiannya kerana baru sekarang dia dapat menebus kembali keinginannya satu ketika dulu.
"Malah, saya selalu menonton persembahannya di TV. Saya harap dia berjaya," katanya.
Menyentuh pembabitannya dalam OIAM, ramai yang mula membuat spekulasi mengatakan Tomok bakal meninggalkan New Boyz seterusnya bergerak solo memandangkan persembahannya semakin baik berbanding sebelum ini. Tiada lagi suara `sengau' yang selalu dikaitkan dengan anak muda berasal dari Cheras ini.
"Memang betul, banyak yang saya pelajari sejak menjejakkan kaki ke OIAM. Kalau diikutkan, ketika uji bakat lagi saya dikritik hebat, kalau tidak betul-betul kuat, mungkin saya hilang semangat.
"Maklumlah, 10 tahun saya menyanyi dengan cara sendiri dan New Boyz, kini saya bergerak solo di sini.
"Di OIAM, saya bekerja dengan mereka yang `gred A' seperti Aubrey Suwito yang banyak membantu saya melakukan susunan muzik mengikut cara saya.
"Pelajaran ini saya akan gunakan apabila tamat rancangan ini nanti, bukan saja untuk saya tetapi juga New Boyz," katanya.
Seperti dinyatakan sebelum ini, Tomok bercadang tampil dengan dua karakter berbeza iaitu solo dan berkumpulan. Dia tidak sama sekali membuang New Boyz daripada kamus hidupnya kerana banyak suka duka bersama kumpulan itu.
"Sepuluh tahun kami bersama, hubungan kami seperti adik-beradik. Saya masih sayangkan New Boyz," kata Tomok yang berjanji melakukan kejutan setiap minggu demi peminat.

Tekad Yuna

Oleh Izwan Mohamad

PERTAMA kali melihatnya membuat persembahan di depan mata, ramai terpaku dengan gadis ini yang mula berjinak-jinak dalam dunia nyanyian. Apatah lagi tampil dengan petikan gitar akustik, membuat ramai tertanya-tanya siapakah dia.
Berbekalkan suara merdu dan imej yang berbeza dengan penyanyi wanita sedia ada membuatkan penonton berbisik sesama sendiri, mengapakah kita lambat melahirkan bakat sebagusnya tatkala keadaan industri muzik negara ketandusan penyanyi hebat.
Malah, ramai yang baru mendengar namanya ketika lagu ciptaannya, Dan Sebenarnya, terpilih untuk didendang Aishah, pelajar Akademi Fantasia 7 dari Kuching, Sarawak, ketika konsert mingguan pertama, baru-baru ini.
Yuna, 23, atau nama sebenarnya Yunalis Zarai, tidak menafikan pemilihan lagu itu sedikit sebanyak membantu mempromosi dan memperkenalkan dirinya kepada peminat, khususnya mereka yang kurang terdedah kepada muzik indie tempatan.
Gadis manis yang juga pelajar tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Undang-undang, Universiti Teknologi Mara (UiTM) ini juga bersyukur kerana pihak produksi Astro memberi peluang kepada Aishah memilih lagu itu sebagai tugasan.
"Pada mulanya saya juga terkejut kerana sebagai pendatang baru, jarang sekali lagu baru seperti ini diberi peluang, apatah lagi lagu ini tidaklah sepopular mana," kata Yuna merendah diri.
Anak tunggal dalam keluarga ini yang mula bermain piano dan menyanyi seawal usia enam tahun turut memuji persembahan Aishah membawakan lagu itu yang juga taruhannya untuk memperkenalkan diri dalam dunia hiburan.
Mula dikenali menerusi laman komuniti Myspace di Internet, tujuan asalnya mencipta lagu dan mendendangkannya sekadar untuk berkongsi muzik tanpa menyangka sambutan yang diterima begitu hangat.
Siapa sangka, gadis bertudung ini akhirnya menjadi sebutan ramai kerana caranya berbeza, selain rentak lagunya mudah diikuti ramai, seolah-olah dia sungguh berpengalaman.
"Saya faham ramai terkejut dengan penampilan saya, tetapi saya tidak buat perkara salah. Saya hanya mahu berkongsi muzik saya dengan khalayak. Saya selesa begini dan saya juga gadis biasa yang ingin melakukan sesuatu kepada industri muzik negara.
"Saya ingin menghasilkan karya sebagai sumbangan kepada khazanah muzik negara," kata Yuna yang baru pulang daripada menyertai Festival Muzik Antarabangsa di Singapura, baru-baru ini.
Selain Yuna, festival itu disertai beberapa band indie tempatan seperti Couple, Mia Palencia dan Fourty Winks.
Bercerita mengenai langkahnya menempatkan diri dalam arena seni suara, anak kelahiran Subang, Selangor yang membawakan irama pop rock ini baru menyiapkan album EP yang mengandungi lima lagu termasuk Dan Sebenarnya, selain empat lagu Inggeris berjudul Backpacking Around Europe, After Midnight, Blue Sands dan Deeper Conversation.
"Saya berharap dapat mengembangkan muzik saya ke arena antarabangsa. Kalau boleh, saya mahu tembusi pasaran United Kingdom dan Eropah. Saya mahu bawa nama Malaysia ke mata dunia," kata Yuna yang ditemui selepas persembahannya pada pelancaran cawangan sulung butik pakaian Badger, jenama dari Bandung, Indonesia yang menggabungkan muzik dan fesyen di Damansara Utama, Selangor baru-baru ini.
Turut membuat persembahan adalah kumpulan Indie Dischord, They Will Kiss Us All dan Ninja dan dihadiri beberapa kumpulan indie terkenal seperti Estranged dan Meet Uncle Hussain.

Profil

NAMA SEBENAR: Yunalis Zarai
NAMA KOMERSIAL: Yuna
USIA: 22 tahun
LAHIR: 14 November 1986 di Alor Star, Kedah
HOBI: Menonton filem
IDOLA: Fiona Apple (penyanyi luar negara yang popular pada 1990)
PENDIDIKAN: Masih menuntut dalam tahun akhir di UiTM Shah Alam dalam ijazah Undang-Undang
E-MEL: yunaroomrecords@gmail.com

Sunday, April 12, 2009

Perang Ida, Adlin?

Oleh Izwan Mohamad

DALAM kemeriahan Akademi Fantasia ke-7 (AF7) yang masuk minggu kelima, pasti ada pahit manis yang menjadi rencah dalam program realiti popular ini.
Terbaru, isu tenaga pengajar yang dikatakan mula `mengkritik' pengkritik tetap dan jemputan sewaktu konsert mingguan keempat baru-baru ini menimbulkan kemarahan ramai, termasuk peminat dan warga industri hiburan.
Apa tidaknya, buat julung kalinya pihak produksi membenarkan tenaga pengajar `menjawab' secara langsung sehingga menimbulkan cakap-cakap yang tenaga pengajar tidak menghormati majlis.
Perkara itu turut menyebabkan pengkritik tetap, Adlin Aman Ramlie, kurang senang dengan kejadian itu yang dirasakannya tidak perlu, mewujudkan spekulasi mengatakan Adlin yang juga pengarah dan pelakon mula berperang dengan tenaga pengajar.
Namun pendapat itu disangkal Guru Seni Persembahan AF7, pelakon Ida Nerina yang berasakan itu jalan terbaik bagi tenaga pengajar memberitahu penonton mengenai perkara sebenar bagi mengelak kekeliruan.
"Kami bukan tidak bersetuju dengan kritikan yang dilemparkan kepada pelajar, sebaliknya kami ingin memberitahu penonton keadaan pelajar yang masih mentah dan tidak adil jika kita hendak lihat perubahan itu dengan sekelip mata," kata Ida.
Tambahnya, pihak fakulti juga bersetuju dengan pendapat pengkritik, khususnya Adlin yang sentiasa memberi kritikan bernas terhadap persembahan pelajar setiap minggu.
"Kalau anda perasan, kami sering mengangguk apabila mendengar kritikan Adlin. Walaupun banyak mengkritik `bahagian' saya, saya tahu dia juga mempunyai matlamat sama dengan kami iaitu mempertingkatkan persembahan pelajar.
"Pengkritik ada hak untuk mengkritik, kami pula ingin melahirkan bintang yang mampu mewarnai dunia seni tempatan, jadi soal perang antara kami tidak timbul," katanya.
Tambahnya, dia memahami kehendak Adlin sebagai pengkritik yang mahu melihat pelajar turut menunjukkan transformasi seiring misi AF7 yang inginkan perubahan dari semasa ke semasa, khususnya daripada segi persembahan yang memerlukan kemahiran lakonan dan penghayatan dalam nyanyian.
Kritikan bukan pematah semangat bagi tenaga pengajar untuk terus bekerja keras memahirkan pelajar dengan teknik persembahan, malah peningkatan ditunjukkan pelajar setiap minggu bagaikan kayu bakar semangat perjuangan mereka.
"Kita kena faham, kebanyakan pelajar AF7 masih mentah dan kami perlu menyesuaikan diri mereka dengan keadaan sekitar dan tugasan diberi supaya mereka tidak terkejut lalu gagal membuat yang terbaik.
"Fakulti berganding tenaga menggabungkan kepakaran dalam setiap aspek supaya tiada kekurangan dalam persembahan pelajar. Alhamdulillah, walaupun ramai tidak nampak peningkatan mereka, kami nampak," katanya.
Bercakap mengenai pemilihan pelajar cemerlang yang selalu bercanggah dengan pilihan pengkritik dan peminat, Ida menegaskan, anugerah itu berdasarkan matlamat setiap pelajar yang berjaya dicapai setiap minggu.
Ini bermakna pemilihan itu bukan sekadar melihat kecemerlangan pelajar membuat persembahan pada malam konsert semata-mata, sebaliknya mengambil kira transformasi yang dilakukan pelajar itu sendiri.
"Anugerah pelajar cemerlang sebenarnya diberi kepada pelajar yang mampu menyelesaikan masalah dan berjaya membuang tabiat buruk yang sebati dalam persembahan mereka sehingga perubahan itu dapat dilihat semua.
"Sebagai contoh, kita melihat Aril yang lincah di pentas berjaya mengurangkan pergerakannya untuk lagu berentak perlahan, sedangkan kita tidak percaya dia mampu melakukannya kerana sepanjang mengenalinya, dia sukar duduk diam.
"Begitu juga pemilihan Akim baru-baru ini yang menyaksikan dia berjaya melakukan persembahan dengan baik, walaupun menghadapi kesukaran dengan pergerakannya," katanya.
Ida turut menambah, walaupun ada yang mempertikaikan mengapa pelajar dari Kuching, Mohd Hafiz Mohd Suip yang menunjukkan persembahan konsisten tidak diberi anugerah sama, ini tidak bermakna fakulti tidak adil kerana tidak timbul soal pilih kasih.
Adlin yang ditanya mengenai perkara itu turut menafikan kejadian itu sebagai satu peperangan antara pengkritik dan tenaga pengajar, sebaliknya menganggap kritikannya tidak bersifat peribadi atau berkaitan dengan sesiapa dalam fakulti.
"Saya sekadar melontarkan buah fikiran mengenai apa yang saya nampak di atas pentas, tetapi orang nampak saya banyak menyentuh soal penghayatan dan lakonan dalam nyanyian kerana pengkritik lain selalunya lebih banyak menyentuh vokal dan nyanyian.
"Saya juga selalu menyentuh mengenai hala tuju persembahan, kreativiti dalam pergerakan dan koreografi, bermakna saya memberi kritikan secara menyeluruh dan tidak timbul soal saya cuba mensasarkan mana-mana individu," katanya.
Adlin turut menyatakan rasa bangga kerana melihat bakat baru yang berpotensi di AF7 mampu menjadi pelapis kepada penghibur tempatan yang semakin pupus.
Malah dia turut teruja dengan perubahan pelajar setiap minggu walaupun ada antara mereka menunjukkan peningkatan perlahan.
"Kalau saya jadi tenaga pengajar, tentu saya akan menyentuh kelemahan pelajar secara menyeluruh tanpa melihat satu elemen saja, namun saya tidak tahu berapa lama setiap pelajar di AF7 berlatih dan membuat persiapan kerana saya tidak ada di ruang itu," kata Adlin.