Sunday, July 19, 2009

Cinta 3R

Oleh Izwan Mohamad

SELEPAS diperkenalkan kira-kira sembilan tahun lalu, siapa sangka program yang mengenengahkan isu remaja perempuan ini mampu bertahan sehingga hari ini dan masih mempunyai pengikut setia.
Malah penyampaiannya dilihat semakin matang memandangkan tenaga kerjanya juga menunjukkan peningkatan dari segi idea, penyampaian serta pengisian yang selari dengan isu terkini.
Musim terbaru yang mengandungi 13 episod ini masih mengekalkan tiga pengacaranya yang turut memainkan peranan besar dalam merealisasikan impian mereka untuk membawa rancangan ini pergi lebih jauh dan relevan dengan arah aliran terkini.
Rafidah Abdullah, Celina Khor dan Kartini Ariffin (Tini) - tiga gandingan hebat ini melebarkan lagi fungsi mereka dengan memberi sumbangan pelbagai segi termasuk kerja-kerja penulisan skrip dan pengarahan.
Musim ini turut menampilkan bekas pengacara 3R, Azah menerusi segmen khas yang lebih berupa sebagai kaunselor dalam menyelesaikan masalah penonton, menjadikannya satu kelainan berbanding musim lalu.
“Kalau diikutkan, memang kami mahu Azah kembali menjadi pengacara bersama, namun kerana konsep rancangan ini memang menampilkan tiga pengacara saja, kita ambil jalan lain untuk membawa Azah turut serta.
“Azah juga memang bijak dalam penyelesaian masalah khususnya remaja, jadi keputusan meletakkan Azah menerusi segmen itu memang tepat,” ujar Rafidah yang turut bertindak sebagai penulis skrip.
Menurutnya lagi, musim ini turut meluaskan fokus sesuatu isu memandangkan 3R hari ini menyajikan tontonan kepada wanita berusia 18 hingga 30 tahun, termasuk mereka yang sudah berumahtangga.
Malah pengisiannya turut diperluaskan kepada semua bangsa memandangkan pelbagai isu berkaitan bukan saja membabitkan bangsa tertentu, malah turut dipengaruhi kehidupan berbilang kaum di Malaysia.
“Jika sebelum ini kita lebih fokus kepada masalah remaja Melayu, sekarang kita merasakan sudah sampai masanya isu dikaitkan dengan wanita bawah 30-an yang selalunya terbabit dengan pelbagai masalah dan kekurangan pengetahuan dalam menjalani kehidupan.
“Ini termasuk masalah membabitkan hubungan sesama rakan dan masyarakat berbilang bangsa, serta mengenali adat resam yang nyata berbeza yang kadangkala menimbulkan rasa kurang sensitif, jadi kali ini kita paparkan langkah mengatasinya,” menurut Tini yang juga mengarah dan menulis skrip dalam beberapa episod 3R.
Selain itu, 3R turut memaparkan personaliti wanita yang mampu memberi inspirasi dalam bidang masing-masing, khususnya yang menunjukkan kejayaan dan mampu menjadi ikon dan contoh kepada penonton.
Ini termasuk penyanyi yang mula bertapak dalam dunia indie, Yuna, yang dirasakan sesuai bagi dijadikan contoh khususnya kepada remaja yang ingin menceburi bidang seni yang penuh liku.
“Tidak dinafikan, kita juga masih memaparkan isu sama kerana selalunya isu berkenaan wanita agak sama walaupun perjalanan waktu menyebabkan perubahan, jadi kita ambil inisiatif untuk menyentuhnya dari arah berbeza.
“Sebagai contoh, kita masih mengekalkan segmen mengenai penjagaan kecantikan yang tidak terlalu tipikal, selain masalah mengenai rumah tangga dan kerjaya yang selalu menghantui golongan remaja dan wanita muda,” kata Celina.
Kejayaan program ini sebenarnya mendapat perhatian ramai pihak, termasuklah golongan lelaki yang mahukan rancangan seperti ini dibuat dalam versi lelaki, namun ada pula yang berpendapat pendekatannya mungkin berbeza memandangkan 3R lebih sinonim dengan wanita.
Namun, ketiga-tiga pengacara ini tidak menolak, malah mengalu-alukan jika ada cadangan untuk menerbitkan 3R versi lelaki walaupun mungkin ada pihak yang merasakannya tidak sesuai
“Sebenarnya kami pernah terfikir untuk menerbitkan 3R versi lelaki, tetapi setakat ini kami perlu meneliti apakah jalan paling sesuai bagi menarik minat lelaki menontonnya memandangkan sifat lelaki dan wanita ternyata berbeza.
“Justeru, penelitian harus dilakukan jika 3R untuk lelaki benar-benar hendak direalisasikan, dan kami mengharapkan sokongan orang ramai,” kata Rafidah.
Buat masa sekarang, 3R menampilkan beberapa personaliti lelaki sebagai pelakon jemputan dalam beberapa segmen seperti Fizo Omar dan Naz Habibur Rahman.
Menyentuh mengenai kehidupan ketiga-tiga pengacara ini, ternyata bukan mudah bagi mereka membahagikan masa bersama 3R memandangkan mereka mempunyai tugasan masing-masing seperti Tini yang juga penyampai radio Hot FM dan Celina yang kini aktif menguruskan perniagaannya.
Namun, atas dasar cinta kepada 3R, ternyata mereka sanggup berkorban demi memastikan program ini terus hidup dan dapat memberikan informasi berguna kepada golongan remaja dan wanita muda.
“Saya lebih mudah untuk memberikan komitmen kepada 3R memandangkan saya memang bekerja sepenuh masa menulis skrip di Red Communication, jadi saya tidak kisah bekerja lebih sedikit untuk memastikan segalanya berjalan lancar,” kata Rafidah.
Lain pula dengan Tini yang terpaksa berkejar-kejar ke set penggambaran, malah adakalanya dia terpaksa berulang alik dari lokasi ke konti radio memandangkan dia tidak boleh mengabaikan tanggung jawab sebagai penyampai radio.
“Saya berterima kasih kepada pihak pengurusan Hot FM yang sentiasa memberi sokongan kerana secara tidak langsung saya membawa nama stesen ke mana saja, syukur kerana setakat ini saya mampu membahagikan masa tanpa mengabaikan komitmen saya dengan kedua-dua pihak,” ujar Tini yang pernah meninggalkan 3R buat sementara untuk menyambung pelajaran.
Celina juga tidak terlepas daripada masalah membahagikan masa lantaran sibuk dengan dunia perniagaan yang sering memerlukannya berurusan dengan pelanggan, sehingga adakalanya dia terpaksa menjalankan aktiviti perniagaannya di lokasi pada celah-celah waktu rehat.
“Pada mulanya memang susah untuk membahagikan masa, jadi saya cuba menyusun waktu kerja dengan baik agar saya berasa selesa dan boleh memberi fokus dalam setiap perkara yang saya jalani,” ujar Celina.

Profil

Nama: Kartini Kamalul Ariffin
Pengacara 3R: Sejak 2004
Lahir: 24 Mac 1978
Status: Berkahwin
Pendidikan: Ijazah Sarjana Kewartawanan Televisyen, United Kingdom dan Ijazah Sarjana Muda Perakaunan Berkomputer, University of East Anglia, Norwich
Kerjaya: Hos 3R dan Penyampai Radio Hot FM

Nama: Rafidah Abdullah
Pengacara: Sejak 2000
Lahir: 2 Februari 1976
Status: Bujang
Pendidikan: Kepujian dalam Sarjana Penulisan Skrip, Goldsmith College, London.
Kerjaya: Penulis skrip

Nama: Celina Khor
Hos 3R: Sejak 2004
Lahir: 29 Disember 1979
Status: Bujang
Pendidikan: Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Kimia, Universiti Malaysia Sabah
Kerjaya: Ahli Perniagaan

Friday, July 17, 2009

Alergi

Salam sekelian alam...

Aku menyambung semula penulisanku yang terhenti di hasienda ini. Namun, aku rasa aku perlu juga berkongsi apa yang aku lalui saban hari. Kalau tak, macam tak seronok pula. Dua hari lepas aku diserang alergi yang agak membimbangkan, tetapi aku 'kan memang tak suka nak panik sampai nak ke klinik. Selagi aku boleh bertahan, aku bertahan sajalah. Alergi ni berpunca daripada udang galah yang aku makan. Sebenarnya aku bukan tak boleh makan udang galah, tetapi aku kena berhati-hati sebab kadangkala ada udang galah yang sumbernya mungkin ada bahan yang aku tak berapa nak tahan. Yelah, kadang-kadang ada sungai yang tahap kandungan bahan kimianya berbeza. Sesetengah orang mungkin boleh bertahan, macam aku pula ada yang aku tak boleh tahan. Namun selagi namanya udang galah, mana boleh tahan 'kan? (Cuba kira berapa jumlah perkataan 'tahan' yang aku gunakan, nasib baik tak masukkan Gunung Tahan sekali!)

Seperti biasa, aku memasak di rumah. Menunya - Gulai Lemak Cili Api Udang Galah. aku tercari-cari juga daun limau purut sekitar kedai berdekatan rumah aku di Desa Petaling ni, tapi tak jumpa. Sebenarnya daun limau tu untuk tambah wangi saja, kalau tak ada pun tak apa. Yang penting, bahan asasnya seperti santan kelapa, cili api dan kunyit hidup. Nasib baiklah bahan-bahan ni memang sentiasa ada dalam peti sejuk. Maklumlah, tukang masak kalau tak ada benda-benda ni tak boleh hidup 'kan. Aku pun pergi ke kedai untuk beli kelapa parut. Aku tak suka sangat buat gulai lemak guna santan kotak atau susu cair. Lain rasanya nanti.

Untuk buat gulai lemak ni memerlukan kesabaran jugak. Sebabnya, kena sentiasa kacau santan di atas api yang sederhana sampailah menggelegak. Kalau orang Pahang, dia panggil proses ini 'timbuk'. Aku ingat sebab aku pernah kena marah dengan emak sebab aku silap dengar. Masa tu nak buat gulai lemak juga, apabila emak suruh 'timbuk', aku ingatkan emak suruh 'tumbuk', jadi aku pun tumbuk lagi kunyit dengan cili api walaupun rupa-rupanya bahan-bahan untuk menggulai tu memang sudah ada dalam periuk bersama-sama santan tu. Bangang juga aku masa tu, maklumlah masa tu masih sekolah lagi. Tetapi syukur sebab aku selalu ke dapur, banyak benda yang aku boleh masak. Terutamanya, masakan Pahang dan Negeri Sembilan sebab emak orang Pahang dan ayah orang Negeri sembilan. Tetapi banyak juga masakan negeri lain yang aku pandai buat sebab emak memang suka memasak, seperti Laksam, Singgang, Nasi Dagang (Kelantan), Laksa Asam (Utara) dan Asam Pedas (Melaka).



Belimbing Buluh

Kalau nak buat masak lemak campur udang macam ni, lebih sedap kalau ada belimbing buluh. Tahu tak apa belimbing buluh? Belimbing ni memang sedap kalau dicampur dalam gulai, terutamanya gulai lemak sebab akan memberikan rasa masam. Kalau di Pahang, ada yang gunakannya sebagai bahan asas untuk buat Sambal Hitam. Sambal ini sebenarnya sambal ikan bilis, tetapi disebabkan warnanya bertukar hitam kerana getah belimbing ini, dapatlah namanya Sambal Hitam. Nak buat Sambal Hitam, bahan asasnya ikan bilis, cili api dan belimbing buluh. Tetapi belimbing ni kena rebus sampai airnya kering, dan kemudiannya barulah ditumbuk dan digoreng dengan ikan bilis yang ditumbuk tidak terlalu lumat.

Oh ye, inilah menu yang membuatkan aku alergi, tetapi kalau mak mertua (jika ada haha!) lalu depan pun buat tak tahu saja.



Gulai Lemak Cili Api Udang Galah
(dari dapur Juan)

Thursday, July 16, 2009

'A' Yang Tidak Pernah Padam

Salam sekelian alam...

Aku menyambung penulisanku di hasienda yang baru tercipta. Entah kenapa aku hendak menulis lagi, mungkin kerana mereka yang cintakan penulisan mahu meneruskan pembacaan, atau mereka yang kembali kutemui juga pantas menulis, atau kerana aku rasa ini jalan terbaik untuk aku meluahkan yang terpendam dalam diri selama ini. sesungguhnya aku tidak mahu berselindung lagi, kerana diri aku adalah diri aku. Aku tidak mahu takut, atau dipanggil pengecut, atau terpaksa mendiamkan diri memakan diri hanya kerana gentar dipandang serong. Tolol sungguh rasanya kerana hidup dengan mulut si pemerhati yang tidak pernah puas dengan keperibadianku. Sekarang, aku ingin menjadi seperti keinginanku, dan berilah aku peluang untuk berbicara. Ingat, tiada kitab di dunia mengatakan cinta itu berdosa. Yang berdosa adalah perbuatan yang melampaui batasan. Itu sahaja. Dosa yang kulakukan adalah antara aku dengan Yang Maha Esa, bukan kamu.

A nombor satu

Aku mengenalinya ketika aku mula-mula berpindah dari Kolej Pantai ke Kolej Tasik yang kini dikenali dengan nama Kolej Tenggol. UiTM Dungun memang terkenal dengan kecantikan alam semulajadi yang mendamaikan, tidak sesal aku meninggalkan hiruk pikuk kebisingan Bandaraya Shah Alam yang menjadi tapak pertama aku sebagai mahasiswa. Malah, di Sura Hujung itulah tempat aku mengenali budaya Pantai Timur yang terkenal dengan makanan lazat, suasana damai dan angin pantai yang kadangkala membuatkan aku sering diserang asma kerana udaranya bercampur dengan air laut. Kadangkala pada tengah malam aku sering kali terkejut dengan bunyi hempasan ombak kuat, namun dek kerana masih sendiri aku sering sahaja bertemankan bantal dalam ketakutan.

Berbalik kepada dia. Renungan tajamnya masih kuingati sehingga ke hari ini. Mungkin dia benci orang sepertiku, apatah lagi buat pertama kalinya orang yang berani menonjolkan diri sendiri sepertiku dianggap berlebih-lebihan dari segi penampilan membuatkan rasa kurang senang kepada penduduk asal Kolej Tenggol. Apa boleh buat, Kolej Pantai yang sememangnya menyeronokkan telah ditutup untuk siswa dan ditukar hak kepada siswi. Nak tak nak, harung sahaja keputusan pengurusan kampus.

Aku kenalinya dengan panggilan yang agak pelik -P. Kelakar juga bunyinya, namun orangnya tidak kelakar ya. Serius, panas baran, sukakan motosikal, dan pendiam. Ramai rakan-rakanku jatuh hati dengannya, namun aku tidak pernah terfikir yang dia akan menjadi sejarah besar dalam kehidupanku. Aku masih ingat komunikasi antara kami yang pertama, hanya kerana dia ingin meminjam motosikalku yang dibelikan emak dan ayah untuk memudahkan kubergerak ke mana sahaja. Agak rempit kalau orang membayangkan bagaimana agaknya aku menunggang JET itu (memang nombor pendaftarannya JET!). Katanya, minyak motosikalnya habis, dan dia perlu ke bandar untuk membelinya. Aku yang sememangnya sukar mengata tidak, hanya mengangguk dan menyerahkan kunci kepadanya. Kata-kataku hanyalah, "Awak, road-tax ada bawah seat tau!"

Beberapa minggu selepas itu, aku terdengar khabar yang dia kemalangan. Motosikalnya terbabas betul-betul di hadapan bangunan HEA, di selekoh yang memang berpasir dan membahayakan. Bukan sekali dua pelajar tergolek di situ, namun pihak pengurusan ketika itu hanya tahu berkata 'dia orang memang suka bawa laju'. Kebetulan seorang budak satu program denganku tetapi berlainan semester tinggal sebilik dengannya di Tasik A123. Aku yang agak Joyah ketika itu suka benar mengambil tahu hal orang, walaupun hakikat sebenarnya aku hendak melihat keadaannya. Aku pergi ke biliknya sambil menyediakan dialog yang sesuai agar tidak nampak 'gatal'.

"Polis (gelaran kepada si kawan), kau ada buku bla bla bla...?" pembuka bicaraku.
"Buku tu? Nantilah aku cari. Budak kelas kau takde ke?" jawab si Polis. Mataku tertancap ke arah orang yang sedang menahan kesakitan.
"Eh, kenapa ni?" tanyaku bodoh. Pada hal terang-terang darah mengalir di sana sini.
"Aku eksiden depan HEA tadi..." Mukanya berkerut menahan sakit.
"Laa ye ke... Tak pergi klinik? Cucilah luka tu..." kononnya aku nak buat baik. Memang pun sebenarnya aku baik, tetapi kalau diikutkan pantas sahaja aku berlari balik ke bilik mengambil kapas dan antiseptik, tetapi aku masih sedar yang aku 'bukan gatal'.

Cerita itu berlalu begitu sahaja, sehinggalah pada suatu hari kedua-dua rakan sebilikku tiada di kampus kerana pergi ke KL untuk menyiapkan tugasan Operasi Restoran. Aku tinggal seorang, dan tiada siapa pula yang kelihatan walaupun ketika itu aras tempat kutinggal adalah aras yang dipenuhi rakan sejenisku. Jenis yang bagaimana? Hah, jenis yang selalu dianggap tidak sempurna walaupun keputusan peperiksaan kami antara yang paling sempurna!

Jam menunjukkan pukul 7.30 malam, waktu Maghrib masuk beberapa puluh minit sebelum itu dan aku baru sahaja pulang dari Dewan Makan. Perut kenyang, sambil menghisap rokok aku duduk di tepi pintu memerhatikan orang lalu lalang. Bosan betul! Tiba-tiba P lalu di hadapan bilikku. Pantas kumenegur.

"P, mu tak pernah nak borak dengan aku, meh la lepak sini. Aku boring ni, Bobby dengan Jamal tak ada pegi KL!" Aku tak tahu apa yang menggerakkan hati aku nak panggil dia. Dia terkejut juga, tetapi segera berpaling.
"Kejap kejap, aku nak ambik rokok kat bilik dulu." Rupa-rupanya dia pun baru balik dari Dewan Makan, tetapi aku tak perasan sebab ramai.

Aku ingatkan dia tak kembali, tetapi dia memang berpegang pada janji. Berbuallah kami berdua, bermula dengan cerita pelajaran, berkisar pula dengan latar belakang, sampailah ke zaman sekolah, tiba pula berkenaan masalah keluarga, tersentuh pula bab hati dan perasaan. Daripada duduk berjauhan, tiba-tiba bertukar ke sebelah, kemudian dia berbaring sambil aku membelai rambutnya yang memang dikenali sebagai budak-lelaki-berambut-paling-panjang-UiTM Dungun itu. Rambutnya lembut, lurus dan cantik. Dalam hati, 'aku pun kalah!'

Dengan pintu yang terbuka, lalu-lalanglah rakan-rakan 'sejenis' dan tidak sejenis sambil menjeling, mengerling dan menyorot tajam. Ada yang bermulut puaka, keluarlah segala macam 'ehem-ehem', 'aiyohhhh' dan 'gituuuuuu' daripada mulut mereka yang tidak ada insuran. Yang nyata, kami hanya berbual, tetapi kemesraan itu sangat pantas kerana masing-masing mempunyai cerita dan kami seolah-olah banyak persamaan. Tidak hairanlah dalam sesi selama tiga jam itu, kata ganti nama kami bertukar daripada kau-aku menjadi awak-saya!

10.30 malam, aku tergerak hati hendak menelefon emak. Ketika itu belum ada telefon bimbit. Pertengahan tahun 2000, ketika itu penggunaan telefon bimbit sekadar aksesori dan bukan keperluan. Kosnya mahal, dan talian yang ada di kampus hanyalah Celcom yang sebagai pelanggan prabayar memerlukan kita untuk membayar RM50 untuk Access dan RM50 untuk masa berbual. Seratus sebulan, cukup banyak untuk kami ketika itu. Aku turun ke bawah mendapatkan telefon awam, dan nombor didail. Adikku menjawab, dan memberitahu emak dimasukkan ke wad kerana digigit lipan. Lipan? Hatiku mula tidak keruan. Setelah berbincang, aku mengambil cuti lalu pulang ke Pahang keesokan harinya.

Sampai di rumah, rupa-rupanya emak sudah dibenarkan keluar dari wad. Aku gembira sebab dapat bercuti bersama keluarga, dan emak sudah boleh berjalan. Ketika aku sampai petang itu pun emak sedang menyiang ikan di singki dapur, jadi aku tidak perlu risau lagi. Cuma ada sesuatu yang mengganggu fikiran - P. Aku tiba-tiba tidak boleh melupakannya walau sedetik. Puas aku buang, sebab aku tak pernah ada perasaan terhadapnya. Tambah lagi Bobby memang menyukainya, takkan aku hendak potong 'line' pula. Mandi, makan, menonton TV, berbual, pusing ronda kampung - otak tetap memikirkan P. Apakah ini? 'Bencinta' betul ketika itu.

Dua hari kemudian, aku tiba semula di kampus. Aku berjalan kaki menuju ke kolej. Masuk ke pintu utama dan memanjat tangga ke tingkat satu. Tiba di persimpangan Y yang membezakan sayap kiri dan kanan Tasik A, aku ternampak Bobby yang seolah-olah sedang menunggu. Aku buat biasa sahaja, kecoh-kecoh macam baru balik dari percutian ke Bangkok. Dia segera mendapatkan aku. Aku tersengih sahaja. Maklumlah, aku memang rapat dengan dia kerana sudah kenal lama.

"Kau buat apa dengan P hari tu?" belum sempat sampai ke bilik soalan itu sudah dilontar.
"Kenapa?" Memang aku nak tanya kenapa sebab aku tak buat apa-apa!
"Dia sibuk cari kau semalam. Sentap aku!" kata Bobby. Aku hairan. Buang tabiat ker?
"Cari aku buat apa? 'Kan aku balik rumah, mak aku masuk wad," kataku.
"Yelah, dia sibuk tanya aku, Eija mana Eija, aku cakaplah kaubalik kampung!' kata Bobby. Aku diam lalu masuk ke bilik. Malas nak menjawab.

Bobby pula sambung membebel, kononnya ramai penyampai berita kononnya aku 'dating' dengan P dan sebagainya. Sampaikan Bobby bertanya sama ada aku 'apa-apakan' P atau tidak. Aku kata tidak, sebab memang tak buat apa-apa. Hebat betul rasa cemburu Bobby, sampai benda dalam kain yang tak ada pun jadi ada dalam otaknya. Aku mengambil tuala lalu pergi mandi. Seronok mandi di Tasik A sebab tandas dan bilik airnya bersih. Apa tidaknya, golongan tidak sempurna seperti kami rajin cuci bilik air sendiri, bukan mengharapkan Mak Ngah (tukang cuci) sahaja. Iklan sekejap, Mak Ngah punya nasi dagang memang sedap!

Selesai mandi, aku bersiap dan terus menuju ke Tasik A123 dari bilikku Tasik A118. Dekat sahaja 'kan? Aku beri salam walaupun pintu biliknya terbuka. Aku nampak dia duduk di meja belajar sambil di hadapannya ada buku subjek Costing. Maklumlah, pelajar perakaunan. Ada satu kalkulator di hadapannya selain kertas kajang A4 berlorek dengan nombor-nombor yang tidak tersusun. Dia terkejut nampak aku, dan aku hanya berkata 'Hai'.

"Awak pergi mana? Puas cari awak semalam," katanya. Puas cari aku? Erm...
"Balik kampung, mak saya masuk wad, Dia kena gigit lipan," itu sahaja jawapanku. "Kenapa awak cari saya?"
"Err..." dia mencari alasan. "Entah, sebab saya tak nampak awak kot?" itu jawapannya. Boleh masuk akalkah? Aku memandangnya dengan rasa pelik.
"Erm... Okey lah, awak tengah study 'kan? Saya balik dululah."
"Eh nanti!" dia menutup buku. "Boraklah dengan saya. Saya bosan ni. Otak pun dah tepu," senang sahaja dia melupakan apa yang baru sahaja dibuat tadi. Kerana aku? Haha...

Keesokannya aku ada kelas masakan di Hotel Sri Molek, Sura Gate. Kelas malam memang memenatkan, tetapi itu adalah kelas yang ditunggu-tunggu setiap minggu kerana kami menyediakan makanan untuk pelanggan. Antara menu hari itu adalah Club Sandwiches, yang murah harganya. RM2-RM3 sahaja harganya ketika itu, dan aku teringat pada P yang mungkin kelaparan pada waktu malam. Agaknya dalam hati sudah ada sesuatu, tetapi aku tidak yakin, Apa salahnya mencuba 'kan?

Setelah pulang, aku segera mandi (yang tak pernah aku buat selama ini, selalunya aku akan berjalan ke sana ke mari membuat kecoh dan berjalan dari bilik ke bilik) dan bersiap-siap. Lalu aku ke bilik Tasik A123 membawa 'supik' berisi Club Sandwiches. Aku beri salam, dan dia seperti biasa, tidak berbaju dan memakai Boxer, sedang membuat latihan di meja belajar. Aku membuka supik (plastik) dan meletakkan bekas makanan polisterin berisi makanan itu di hadapannya. Dia tidak segera mengambilnya, tetapi tersenyum padaku. Seperti faham apa maksudnya, aku membuka ikatan getah lalu membuka bekas itu. Terhidang di hadapan makanan kegemarannya (aku pun baru tahu selepas itu) seraya matanya bersinar-sinar walaupun aku tahu dia sebenarnya lapar!

Tanpa dirancang, tiba-tiba aku pantas mengambil sepotong Club Sandwich dan kusuap ke mulutnya. Aku beritahunya, biar aku suapkan sebab nanti tangannya kotor dan terkena buku. Tanpa bantahan, dia dengan rela membuka mulut dan mengunyah perlahan-lahan sambil tersenyum. Manja sungguh dia ketika itu. Dalam hati ketika itu, macam dunia aku yang punya. Nasib baik rakan sebiliknya tidak ada, kalau tidak pasti mereka ternampak punggungku (yang slim ketika itu!) mengembang. Siapa sangka, itu antara detik romantik kami yang pertama.

Hubungan kami berjalan seperti biasa. Namun aku terpaksa berdepan dengan kemarahan Bobby yang semakin hari semakin dingin denganku. Ada sahaja yang membuatkan aku terasa hati, lalu kubiarkan sahaja. Aku faham dia menyukai P, tetapi P bukan dia yang punya dan tiada sebarang deklarasi antara mereka berdua. Malah, P menyatakan yang dia menganggap Bobby kawan dan tidak lebih daripada itu. Apabila diajukan mengenai hubungan aku dengannya, jawapan yang aku dapat hanyalah sekuntum senyuman. Geram betul!

31 Ogos 2000. Kami bakal bercuti seminggu untuk cuti pertengahan semester. Hari terakhir kami di kampus sebelum pulang ke kampung masing-masing. Semua sudah balik, tinggal beberapa orang sahaja. Aku berat hati hendak meninggalkan kampus kerana P pun belum balik lagi menaiki JBR1041 kepunyaannya ke Kampung Gong, Bukit Kenak, Besut. Aku hanya mendiamkan diri sahaja di dalam bilik, seorang diri. Sebak sebenarnya disebabkan aku sudah terbiasa bersamanya saban hari. Aku terus diam di bilik sehinggalah dia tiba-tiba masuk ke bilikku. Dia sudah siap berpakaian, tanda hendak meneruskan perjalanan. Aku memandangnya sambil tersenyum. Pada hal bila-bila masa sahaja genangan air mata ini bakal tertumpah.

Dia mengambil tempat di sebelahku yang duduk di birai katil. Aku hanya diam, dan sebenarnya terdiam. Jika berkata-kata, nescaya pecahlah empangan tubir kelopak mataku. Aku berbaring, dan tanganku memeluknya dari belakang kerana dia masih duduk membelakangiku. Rasa sukar sekali melepaskannya pergi. Dia meleraikan pelukanku, lantas bangun. Aku tersentak. Berkecai juga hatiku ketika itu. Apa salahku? Rupa-rupanya dia merapatkan pintu balik, dan kemudiannya berbaring di sebelahku. Dia melompat ke sebelah dinding, dan kedua-dua kami memandang ke atas. Yang kelihatan hanyalah papan katil sebelah atas yang digunakan oleh Bobby. Masih diam.

"Awak kata nak balik dah?" Aku mula membuka mulut. Berani sedikit kerana dia di sebelahku.
"Sekejap lagilah. Lagipun sempat lagi nak sampai sebelum malam," jawabnya.
"Saya pun balik sekejap lagi," kataku. Aku menghela nafas, berat dan payah sekali.

Masing-masing melayan perasaan. Telapak tangan kami mula bersatu. Genggaman semakin erat kerana sukarnya perpisahan itu. padahal hanya seminggu, namun entah apa antara kami sebenarnya. Kami tidak meluahkan hati lagi, itu sebabnya!

"Awak..." dia bersuara. Ada sesuatu yang tersekat pada kerongkongnya.
"Ya awak..." jawabku lemah. Sebenarnya sebak.
"Awak ingat tak kenapa saya cari awak hari tu? Masa mak awak masuk wad tu?" tanya dia.
"Haah, yang Bobby cakap setiap jam itu sahaja soalan awak pada dia sampai dia naik bosan!" kataku. Dia senyum apabila kumemandangnya.
"Sebenarnya, saya rasa kehilangan. Saya rasa kosong bila awak tak ada..." sayu sahaja suaranya. My God, apa ni?
"Err... Saya pun sebenarnya terfikir fasal awak. Masa kat rumah, saya rasa macam ada benda tak kena," jawabku terus terang. Aku memang tak suka berselindung.
"Rasa macam hilang sesuatu, 'kan?"
"Ha'ah, macam ada benda tak cukup pulak," kataku. Genggaman tangan semakin kemas.
"Sebenarnya, pada mulanya saya berniat nak betulkan hidup awak, sebab awak baik sangat..." katanya. "Tetapi, baru saya sedar yang awak baik sebab diri awak memang macam ni. Saya selesa sangat dengan awak. Tak pernah saya rasa macam ni..." luahnya. Aku rasa macam nak menjerit kegembiraan, tetapi bawak-bawak bersabar Eija!
"Saya pun rasa macam tu, saya rasa hidup saya sekarang lengkap sebab awak ada. Selama ni saya selalu rasa yang saya ni tak ada sesiapa. Kenapa saya mula rasa sayang dekat awak?" aku beranikan diri berkata begitu.
"Sayang aje? Kenapa saya rasa lebih daripada itu?" Nescaya kalau ada yang melihat air muka aku ketika itu, pasti ada yang hendak lempang!
"Sebenarnya saya rasa apa yang awak rasa, tapi saya takut nak cakap. Nanti awak marah..." kataku. Aku sebenarnya ikhlas, tetapi aku kena jaga juga maruahku. Takut juga dianggap melampau.
"Nak marah buat apa, yang penting kita berdua yang lalui perkara ni. Eija, saya benar-benar cintakan awak!"

Dan air mata yang bertakung sejak tadi terburai juga, bukan kerana sedih tetapi terharu!

Bersambung :)









Wednesday, July 15, 2009

Jabat Sulung

Salam seluruh alam kupanjangkan kepada semua...



Kini aku kembali. Memang aku ingin kembali. Sudah lama aku berhasrat kembali. Namun kepayahan hati untuk berkata 'mula' membuatkan si celaka bernama Malas meliputi seluruh nadi rajinku. Namun, aku rasa semakin teruja untuk kembali, bukan kerana publisiti, bukan kerana aku mahu mengejar populariti. Mungkin suatu ketika dahulu (ketika zaman ingin menjadi hero, mungkin!) aku menulis kerana orang lain. Untuk orang itu dan ini, untuk si polan itu dan si polan ini, dan akhirnya aku sendiri sering berperang dengan rasa duka dan benci. Memperjuangkan sesuatu yang entah menambah keuntungan sesiapa, walaupun tahu risiko dicalar tetap juga mahu melakukannya. Dan kali ini, mungkin dalam usia yang meniti 'kayu-kayu yang semakin reput', aku semakin berisi (bukan setakat tubuh ya!) dan jari-jemariku juga semakin laju dan tidak sepatah-sepatah lagi mencari aksara yang bertaburan ini.

Dalam menjangkau usia sebegini, kadangkala aku merasakan aku tidak lagi perlu sendiri. Namun bagaimana hendak lebih daripada seorang jika aku sering sahaja menafikan bahawa suatu hari pasti ada dia yang mengisi ruang hati ini. Siapa dia itulah yang selalu menjadi musuh dalam persoalan yang sering meniti dalam setiap sel otak yang pastinya berselirat jika dipandang dengan mata kasar, apatah lagi jika ditenung secara halus. Ada jalan yang paling mudah sebenarnya, pandang ke dalam mata pasti hati berkata sesuatu. Ada atau tiada sahaja jawapannya.

Baiklah, cukup rasanya dengan bunga-bunga kata yang tak berapa nak berkembang macam bunga ros merah yang memang aku cukup suka. Biarlah orang kata berduri dan sebagainya, aku memang suka kerana aku juga seperti itu. Kalau takut tertusuk duri, jangan dekat kalau tak berani.

Boleh tak jika pengenalan ini sampai di sini sahaja?

Mengada-ngada sungguh aku ni kan...

Sunday, July 12, 2009

Jantung Ainina Dibedah

Oleh Izwan Mohamad

PELAKON wanita berwajah ayu yang sering membawakan watak sopan dan penuh budi pekerti ini pasti tidak dapat dilupakan peminat drama tempatan satu ketika dulu.
Ia sesuai dengan penampilannya yang cukup anggun sebagai wanita Melayu beradab.
Lebih daripada itu, anak kepada pelakon Allahyarham Ahmad B ini mengambil keputusan untuk tampil dengan imej bertudung awal 2002 selepas berniat sembuh daripada penyakit misteri pada 1999.
Namun, siapa sangka Ainina Ahmad B, 40, yang juga isteri kepada bekas vokalis kumpulan Mega, Rahmat Tohak, kini menderita sakit jantung sehingga memerlukannya menjalani pembedahan kecemasan Jumaat lalu di Institut Jantung Negara (IJN).
Ainina yang kurang muncul menerusi kaca televisyen kerana lebih menumpukan kepada kerja alih suara di belakang tabir, dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh kira-kira tiga minggu lalu selepas mengadu cepat penat dan kurang sihat.
Ibu kepada seorang anak, Nur Arieana Rahmat, 7, ini menjalani pemeriksaan di hospital itu sebelum dirujuk kepada IJN selepas hampir lima tahun mengalami masalah cepat penat dan sering tidak sedap badan.
Sejurus mengetahui berita penyakit terbabit, Selebriti segera menghubungi Rahmat untuk bertemu Ainina. Hasrat itu bagaimanapun tidak kesampaian apabila keadaan Ainina semakin kritikal dan tidak dibenarkan melawat selain ahli keluarga.
Rahmat memaklumkan jantung isterinya terkena jangkitan kuman sebelum diberi rawatan menggunakan antibiotik, namun jangkitan itu sudah merebak, menyebabkan injap jantungnya rosak dan terpaksa menjalani pembedahan segera memandangkan itu rawatan terbaik buatnya.
"Menurut pakar, injap jantung Ainina terpaksa digantikan dengan injap palsu dan dia harus bergantung kepada ubat selepas ini.
"Insya-Allah, keadaannya akan pulih seperti biasa selepas menjalani pembedahan," kata Rahmat sehari sebelum operasi pembedahan itu berlangsung.
Katanya, keadaan menjadi lebih parah kerana penyakit Ainina lambat dirujuk kepada pakar lantaran lewat dikesan, menyebabkannya merebak sehingga memerlukan pembedahan.
Rahmat turut memberitahu, keadaan Ainina stabil walaupun berat badannya mula susut sejak dimasukkan ke hospital.
Menyentuh kos perubatan yang mungkin menelan belanja besar, Rahmat bersyukur kerana beberapa persatuan sudi menghulurkan sumbangan, namun dia masih menunggu laporan daripada IJN.
"Saya ada menghubungi kenalan rapat dalam industri dan mereka memberitahu, persatuan mempunyai dana bagi membantu menampung kos perubatan.
"Cuma, saya harus menunggu laporan penuh daripada IJN mengenai jumlah kos yang dikenakan sebelum membuat permohonan dana itu," kata Rahmat yang terharu dengan keprihatinan pelbagai pihak yang memberi sokongan moral terhadapnya dan isteri.
Dia juga berharap masyarakat, khususnya peminat dan rakan yang mengenali Ainina, berdoa semoga kesihatan isterinya kembali sedia kala dan dapat meneruskan kehidupan seperti biasa.

Himpun Di Jirat Cina

Ulasan Izwan Mohamad

APA kelainannya? Itu yang terdetik dalam hati apabila filem seram terbitan Primeworks Studios Sdn Bhd dengan usahasama Lineclear Motion Pictures Sdn Bhd dipertontonkan kepada pihak media.
Ketika rasa jengkel menular kerana sering disogokkan dengan filem seram yang kurang memberi impak, perasaan takut menonton filem ini mula terasa kerana produksi nampak bersungguh-sungguh untuk membuat penonton tidak duduk diam.
Sembilan jalan cerita digabungkan dalam sebuah cerita, pasti ada menganggap jangka masa naratif yang begitu singkat sukar menarik perhatian, apatah lagi filem seram seperti ini selalunya mengambil masa lama untuk sampai ke destinasi.
Dalam filem ini, semua cerita seramnya cepat berlalu, namun elemen kejutan diberi bagaikan sempurna bagi mereka yang terbabit dalam pembikinan filem ini tanpa mengambil kira kesan lain lebih penting seperti suntingan dan kesinambungan.
Filem ini mengisahkan Burn (Norman), penerbit yang ingin menghasilkan filem seram tetapi menghadapi masalah mendapatkan skrip, lalu bercadang mengiklankan menerusi akhbar mengenai perjumpaan dengan individu yang boleh berkongsi cerita seram berdasarkan pengalaman atau kisah pernah didengari.
Cerita yang terpilih bakal mendapat imbuhan dan perjumpaan itu diadakan di sebuah tempat strategik iaitu jirat Cina.
Pada malam ditetapkan, Burn ke lokasi ditetapkan bersama-sama sembilan peserta yang sedia berkongsi cerita dengannya dan dirakam menerusi kamera digital video sebagai bahan rujukan.
Cerita dimulakan dengan cerita Burn mengenai pengalaman ngerinya ketika mula-mula menjejakkan kaki ke menara gading dan diteruskan dengan pencerita kedua sehingga yang terakhir.
Selepas selesai, dia berpuas hati dengan koleksi cerita diperoleh, namun keesokan hari pembantu peribadinya memaklumkan mengenai sambutan iklan disiarkan dalam akhbar dan ramai berminat untuk berkongsi kisah mereka.
Sesuatu di luar dugaan apabila tarikh perjumpaan sebenar berbeza seperti dijanjikan, siapa sebenarnya bersama-sama Burn?
Seperti kebanyakan filem seram Melayu sebelum ini, elemen jeritan bagaikan satu kewajipan dan filem ini turut tidak terkecuali, mungkin perbuatan itu membuatkan penonton berasa lebih takut dan merasai setiap detik yang digarap supaya nampak seram.
Malah, kesan bunyi turut memainkan peranan, walaupun ada kalanya penonton dapat merasai debaran walaupun dengan mata terpejam, kadangkala tidak seiring dengan visual yang berbeza paras keseramannya.
Ada sedikit kelemahan, khususnya bahagian suntingan dan kesinambungan yang dilakukan tanpa berhati-hati, namun tidak menyebabkan berlaku kecacatan pada jalan cerita yang sememangnya mempunyai idea bernas.
Pujian harus diberi kepada beberapa pelakon yang berjaya membawa watak penting seperti Burn ketika muda yang dimainkan oleh Pekin kerana permainan wajahnya berjaya meyakinkan penonton yang dia benar-benar berdepan rasa takut.
Filem yang menelan kos RM 1.3 juta, termasuk promosi ini ternyata mempunyai daya tarikan kuat kerana menampilkan sembilan kisah dalam sebuah filem, termasuk kisah benar yang sinonim dengan masyarakat umum, selain barisan pelakon ternama menjadi satu daripada daya tarikan.

Data

FILEM: Skrip 7707
ARAHAN: Profesor Madya A Razak Mohaideen
LAKONAN: Norman Abdul Halim, Fouziah Gous, Emi Riza, Que Haidar , Jehan Miskin, Norman Hakim, Abby Abadi, Pekin, Heriyanto Hassan, Almy Nadia, Ruminah Sidek, Maimunah Ahmad, Kenchana Dewi, M Rajoli, Maimon Abd Mutalib, Hafiz Nafiah dan Ainul Aishah
GENRE: Seram
TAYANGAN: 16 Julai 2009

Pekin Pasrah

Oleh Izwan Mohamad

SEDIKIT masa dulu cerita mengenai hubungan jejaka berkulit cerah ini dengan pelakon meningkat naik, Ayu Raudhah, bukanlah rahsia, sekalipun jarang dimainkan pihak media.
Malah, pernah juga muncul cerita kurang enak berkaitan hubungan terjalin itu sehingga ada yang mula memberi pandangan negatif terhadap kedua-duanya, walaupun hanya mereka yang tahu kesahihan cerita berkenaan.
Bagaimanapun, hubungan terjalin beberapa tahun itu kini menjadi persoalan apabila Ayu dikatakan rapat dan dalam proses mengenali hati budi pemain bola sepak Negeri Sembilan, Zakuan Adha Abdul Radzak yang juga adik ipar pelakon terkenal, Rita Rudaini.
Peluang bertemu Pekin baru-baru ini selepas tayangan media filem Skrip 7707 merungkai status hubungan cintanya, walaupun jelas terpampang rasa serba salah apabila diajukan pertanyaan mengenai perkara itu.
Anak jati Kota Bharu, Kelantan ini yang mengambil keputusan aktif semula di layar perak selepas beberapa tahun ada di belakang tabir untuk mempelajari selok-belok industri perfileman akhirnya bersuara dengan tenang.
"Pekin akui kami bukan lagi pasangan kekasih dan kali terakhir berhubung pun sebulan lalu. Pekin tahu hubungan Ayu dan Zakuan, Pekin tidak kisah. Apa yang berlaku sudah ditakdirkan. Bohonglah kalau tidak sedih kerana kami sudah lama berkawan tapi sebagai manusia, Pekin harus akur dengan ketentuan. Mungkin sudah tertulis tiada jodoh antara kami," katanya.
Jelas, anak muda ini boleh menerima kenyataan, malah dia kini juga dalam proses mengenali hati budi seseorang yang baru dikenalinya.
Bangkit daripada kesedihan itu, Pekin atau nama sebenarnya Mohd Iznan @ Pekin Ibrahim yang memulakan langkah sebagai anak seni seawal usia 15 tahun berazam melupakan seketika soal peribadi dengan menumpukan sepenuh perhatian terhadap kerjaya. Soal jodoh biarlah waktu menentukan.
"Sudah berbelas tahun Pekin bergiat sebagai pelakon. Awal pembabitan, Pekin terlalu muda dan tidak tahu kemampuan sebenar. Berlakon pun mengikut kehendak skrip dan bukan daripada jiwa Pekin.
"Sampai masanya mencari kelainan, malah ini adalah saat paling sesuai untuk Pekin kembali aktif. Bukan kerana tiada tawaran, tetapi dua tahun lalu Pekin mempelajari selok-belok belakang tabir selain bergiat dengan pembikinan filem pendek," kata anak bongsu daripada enam beradik ini.
Selepas dapat apa yang dicari, dia yang membintangi filem terbaru arahan Profesor Madya A Razak Mohaideen, Skrip 7707 bersedia memanfaat segala ilmu diperoleh sepanjang `bertapa' ke medan sebenar.
"Untuk menjadi pelakon yang bagus, kita perlu ada ilmu di dada. Barulah lakonan dan penceritaan lebih mudah disampaikan kepada penonton," katanya yang gemar filem romantik dan penuh falsafah.
Menyentuh soal populariti yang kian menurun berikutan kurang publisiti di akhbar dan majalah, Pekin mengaku meraih perhatian peminatnya menerusi laman blog dan Facebook.
Dia yakin masih diterima berikutan ramai bertanya ke mana dia menghilang selama ini. Perhatian diberi pengikut setia menjadi pemangkin semangat untuk terus melakar nama dalam industri.
"Semangat itu datang semula setiap kali ada bertanya perkembangan terkini. Ia secara tidak langsung menyuntik keyakinan Pekin untuk meneruskan cita-cita muncul sebagai pelakon gred A.
"Terus-terang Pekin sebenarnya pemalu. Kekok bila ada media mahu merakam gambar sehingga ada yang berkecil hati bila Pekin menolak permintaan mereka.
"Kalau boleh, biar publisiti yang diberi berkaitan dengan karier dan bukan berkisar kisah peribadi atau gosip," katanya.
Bagi merapatkan lagi hubungan dengan peminat, Pekin berkongsi perkembangan terkininya menerusi laman pekinibrahim.blogspot.com.
"Di blog ini Pekin mendapatkan komen orang ramai mengenai diri ini, malah Pekin suka menulis apa saja yang terbuku di hati. Lega sedikit rasanya bila diluahkan," katanya yang pernah membintangi filem Pendekar The Movie, Bicara Hati dan Cinta Terakhir.

Geram Difitnah

Oleh Izwan Mohamad

LUMRAH hidup anak seni pasti tidak sunyi dengan fitnah dan tohmahan. Pun begitu, ia tidak harus dipandang mudah kerana sedikit sebanyak memberi kesan kepada kerjaya sehingga ada yang terpaksa menahan malu, walhal mereka tidak bersalah sama sekali.
Jika dulu, pelbagai kes saman menyaman sesama artis berlaku berikutan timbul kenyataan tidak benar daripada satu pihak, kini artis diancam gejala fitnah menerusi laman forum di Internet yang semakin berleluasa tanpa sekatan.
Antara artis yang menjadi buah mulut pengguna forum adalah pelakon, Amyza Aznan yang dikaitkan dengan pelbagai perkara negatif sehingga tuduhan tidak berasas itu nampak benar.
Malah, menerusi laman blognya di amyzaaznan.blogspot.com, ibu kepada dua anak itu terpaksa membalas kenyataan fitnah di laman forum terbabit bagi mengelak salah faham.
"Sudah lama saya bersabar dengan kerenah pengguna satu laman forum gosip popular yang semakin melampau. Hal itu bukan berlaku kepada saya saja, tetapi membabitkan ramai lagi selebriti.
"Ada yang terang-terangan membuat kenyataan berbaur fitnah dan saya pelik bagaimana mereka berani berbuat demikian tanpa berasa takut meskipun tiada bukti sahih," katanya.
Menurut Amyza, kes fitnah terbaru terhadapnya membabitkan seorang pelakon lelaki yang bergandingan dengannya sebagai pelakon jemputan dalam program Anak Wayang, Erry Putra, yang juga teman rapatnya.
Katanya, dia dituduh orang tertentu dalam laman forum itu kononnya mempermain-mainkan Erry dengan pelbagai tujuan, termasuk mensabotaj pelakon lelaki yang menempa nama menerusi beberapa drama bersiri itu.
"Saya yang memberi cadangan kepada pihak produksi supaya menjemput Erry sebagai pasangan lakon dalam rancangan itu, kenapa pula saya dituduh ada niat tidak baik terhadapnya?
"Sebelum ini saya pernah dituduh bergaduh dengan Lis Dawati ketika program Sehati Berdansa musim kedua berlangsung, tetapi saya diamkan diri saja. Kali ini saya tidak boleh bersabar lagi dan berasa sangat geram," katanya.
Amyza yang padat dengan undangan program Macam Macam Aznil, Kelab Pop dan AC selain sibuk menjalani penggambaran telefilem sempena Aidilfitri nanti, Bedak Sejuk Nombor Satu, juga hairan pihak berwajib seolah-olah memandang enteng gejala fitnah yang semakin berleluasa di Internet.
Dia juga kurang bersetuju dengan sikap pengendali laman forum itu yang lepas tangan dengan mengatakan tidak akan bertanggungjawab dengan pendapat pengguna forum.
"Saya difahamkan, wakil pengendali mengawal setiap kenyataan dikeluarkan, tetapi mereka membesar-besarkan cerita sehingga fitnah itu nampak benar pada mata pengguna forum.
"Bahasa yang mereka guna kasar, jijik dan memualkan, malah ada yang tergamak menggunakan perkataan lucah. Malangnya, tiada tindakan diambil," katanya yang 14 tahun berkecimpung dalam bidang lakonan.
Mengulas lanjut isu itu, Amyza berpendapat, sampai masanya artis yang pernah menjadi mangsa fitnah Internet bergabung tenaga menyelesaikan permasalahan yang semakin menjadi-jadi itu.
Bahkan, dia berasakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia sewajarnya menyiasat pergerakan laman forum supaya tidak menyalahi undang-undang, khususnya akta berkaitan.
"Saya berharap dapat diselesaikan segera supaya golongan artis seperti kami dapat menjalani kehidupan lebih aman, malah kerjaya kami tidak tergugat hanya kerana laman forum yang tidak ubah seperti medan mengumpat," kata Amyza.

Shila Tak Jemu

Oleh Izwan Mohamad

MENJADI anak kepada seseorang yang terkenal bukan satu tiket kejayaan dalam bidang seni, apatah lagi dari usia muda pelbagai cabaran perlu diharungi supaya cita-cita dapat digapai tanpa menumpang nama sesiapa.
Begitulah pegangan Shila Hamzah atau Shila, 19, yang tidak jemu-jemu berusaha bagi merealisasikan harapan dan impiannya sejak kecil.
Bermula dengan album kanak-kanak seawal belasan usia, dia yang dulu dikenali sebagai Shila Tekno dan diikuti Sha-hila menerusi album kedua ketika berusia 14 tahun, kini Shila, anak pelakon dan penyanyi ND Lala, mampu berdiri sendiri tanpa menumpang nama bapanya yang popular pertengahan 1980-an hingga 1990-an.
Memenangi tempat naib juara program realiti One In A Million musim kedua, rezeki gadis berasal dari Kuala Lumpur itu semakin mencurah-curah, malah dikenali ramai.
Selain mendapat kepercayaan beberapa syarikat sebagai duta produk, gadis comel itu mendapat perhatian saluran antarabangsa, Disney Channel, sebagai pengacara dan jurucakap dalam rancangan terbitan mereka, Hannah Montana.
"Syukur kerana Shila mula mendapat perhatian ramai. Tidak dinafikan tanpa bantuan papa, tentu sukar mendapat kejayaan seperti hari ini.
"Malah, kini Shila bukan saja bergelar penyanyi, tetapi turut mengikut jejak langkah papa bergelar peniaga menerusi perniagaan e-dagang," katanya.
Menurutnya, dia menyertai perniagaan itu apabila usianya mencecah 18 tahun Ogos lalu dan sehingga kini ia mula membuahkan hasil kerana dia tidak perlu lagi bergantung kepada ibu bapanya.
Pada usia 19 tahun, dia bebas berbelanja menggunakan wang hasil usahanya dalam perniagaan dengan bantuan bapanya yang juga kini bergelar jutawan selepas memulakan perniagaan sama beberapa tahun lalu.
"Kalau diikutkan, memang Shila tiada masa menyertai perniagaan seperti itu tetapi selepas melihat hasilnya, Shila semakin berkobar-kobar meneruskannya walaupun sibuk dengan rakaman album yang dijangka ada di pasaran hujung bulan ini atau selewat-lewatnya bulan depan," katanya.
Hari ini, Shila ada di MITC, Ayer Keroh, Melaka untuk Mini Showcase Keusahawanan Selebriti yang dirasmikan oleh Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam.
"Sesiapa yang berminat menyertai majlis ini boleh menghubungi 012-3909074 untuk mendapatkan kad jemputan secara percuma. Bagaimanapun, ia terhad, siapa cepat dia dapat," katanya.
Bercerita mengenai album, Shila bebas menentukan arah tuju muzik yang dikehendakinya, tetapi dia sama sekali tidak mengenepikan pandangan bapanya serta Penerbit Eksekutif Monkeybone, Ahmad Izham Omar.
Dalam album yang turut menampilkan Audi Mok sebagai komposer, Shila mengaku banyak pembaharuan ditampilkan, malah dia tidak sabar-sabar menanti reaksi peminat terhadap lagu dendangannya.
"Terus terang Shila sangat teruja, maklumlah sudah lama tidak muncul dengan album baru. Shila berharap sangat peminat suka album itu.
"Shila juga ingin memaklumkan akan membuat persembahan dalam anugerah Shout Awards bersama Nikki yang bakal ditayangkan menerusi 8TV, selain sibuk dengan rakaman sebagai pengacara dengan papa untuk rancangan Aidilfitri di RTM.
"Lebih membanggakan, hanya Shila dan Nikki artis wanita yang membuat persembahan pada hari itu," katanya yang popular dengan single Rentak Optimis.

Sunday, July 5, 2009

Showcase e-Dagang

Oleh Izwan Mohamad

DALAM kegawatan ekonomi global, dunia hiburan tanah air turut tidak terkecuali menerima tempias sehingga ramai penggiat seni tempatan berdepan masalah kewangan.
Malah, beberapa produksi dan syarikat rakaman, khususnya yang menjalankan operasi secara kecil-kecilan, terpaksa gulung tikar kerana kurang mendapat tawaran kerja penerbitan.
Namun, golongan terbabit boleh menarik nafas lega jika mereka ada pendapatan sokongan seperti menyertai cabang perniagaan, apatah lagi pelbagai peluang perniagaan dibuka untuk menampung kos kehidupan yang semakin meningkat.
Tidak dinafikan perniagaan, sama ada kecil atau besar, mesti memerlukan modal untuk dijadikan aset utama sebagai langkah pertama, tetapi itulah masalah yang sering membelenggu mereka yang mempunyai minat namun tiada modal.
Disebabkan itu, penyanyi dan pelakon yang kini bergelar jutawan, Amir Amzah atau lebih dikenali sebagai ND Lala, membuka ruang perniagaan, khususnya kepada rakan artis, supaya golongan ini tidak lagi dibelenggu kesusahan.
Beliau kini membuka peluang kepada selebriti yang berminat untuk bersama-sama menjalankan perniagaan e-dagang yang disertainya beberapa tahun lalu yang terbukti membuahkan kejayaan.
Atas kecemerlangannya, penghibur yang popular dengan lagu Diari YB sedikit masa dulu ini turut dilantik sebagai rakan niaga strategik oleh Tekun Nasional yang banyak membantu usahawan dalam memulakan perniagaan.
"Ini peluang terbaik untuk mereka yang berminat menjalankan perniagaan e-dagang kerana saya mahu rakan artis seperti saya mendapat pendapatan seperti mana saya peroleh hari ini.
"Malah, saya sedia membantu daripada segi pembiayaan modal mengikut terma dan syarat, selain bantuan latihan, kursus dan bimbingan," katanya.
Pada 12 Julai ini, ND Lala Networks menganjurkan Mini Showcase Keusahawanan Selebriti di Dewan MITC Ayer Keroh, Melaka yang akan dirasmikan oleh Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan diserikan dengan persembahan artis, termasuk Shila OIAM, Khai, Rosma dan Kopratasa.
Persembahan ini terbuka kepada semua, namun mereka yang berminat perlu mendapatkan kad jemputan yang akan diberi secara percuma dengan menghubungi talian 012-3909074. Namun ia terhad kepada 1,000 tempat.
Selain itu, ND Lala turut membuka peluang kepada 100 siswazah anak negeri Melaka untuk menyertai perniagaan e-dagang. Siswazah ini bakal ditemuduga untuk memastikan mereka benar-benar menunjukkan minat dan kesungguhan dalam menjadikan perniagaan ini sebagai punca pendapatan, sekali gus mengurangkan jumlah siswazah menganggur.
Majlis yang dibuka kepada orang ramai secara percuma itu juga bakal dimeriahkan dengan persembahan oleh artis yang menyertai program itu, selain sesi bual bersama selebriti yang kini mempunyai kedudukan kewangan stabil setelah menyertai program ini.
"Ini pertama kali saya menjelajah ke sebuah negeri secara beramai-ramai dengan selebriti yang menyertai perniagaan ini memandangkan sebelum ini saya lebih banyak bergerak secara solo mempromosi e-dagang.
"Setelah mendapat respons baik, saya rasa ini jalan terbaik untuk membawa mereka yang benar-benar ingin berjaya untuk berjumpa peminat, sekali gus mempelawa mereka bersama kami dalam menjalankan perniagaan yang terbukti membawa keuntungan kepada semua," katanya yang turut membuka cawangan ND Lala Group Centre di Taman Tasik Utama, Ayer Keroh.