Sunday, June 21, 2009

Tidak Salah Pilih

Oleh Izwan Mohamad

KETIKA senarai nama peserta Mentor musim ketiga dipaparkan beberapa minggu lalu, ramai terkejut dan tidak menyangka Mas Idayu memilih Hanifah Md Hanafiah, 22, sebagai protege.
Berbeza dengan rancangan realiti televisyen lain yang lebih mengutamakan pakej dan bakat, anak didik pilihan ratu dangdut ini hanya bersandarkan suara semata-mata.
Sebagai bekas pemain bola sepak, anak jati Kerinchi, Kuala Lumpur ini langsung tidak terfikir akan terpilih dalam mana-mana mana-mana program realiti berikutan sering gagal menempatkan diri. Alasannya, jejaka yang lebih dikenali sebagai Black ini tidak memiliki rupa paras menawan dan tidak `mesra' televisyen.
"Saya tidak pernah rasa pilihan saya salah apabila memilih Black sebagai protege sebaliknya saban hari keyakinan saya terhadapnya kian bertambah. Sebelum memilih Black saya ada 12 peserta akhir tetapi hanya dia yang menambat hati saya.
"Hati saya was-was ketika menguji bakat peserta lain tetapi dengan Black saya yakin dia pilihan yang tepat," kata Mas yang ditemui di studionya di Ulu Klang baru-baru ini.
Tambah Mas, Black berkebolehan menyanyikan pelbagai genre lagu selain berkeyakinan ketika berhadapan dengannya yang mencari penyanyi versatil sebagai pelapis.
"Saya sendiri bermula dengan lagu asli, jazz dan pop sebelum menandatangani kontrak bersama Warner Music yang inginkan saya tampil dengan irama dangdut yang sememangnya laku ketika itu.
"Saya telan saja jolokan penyanyi dangdut yang selalu dipandang rendah masyarakat. Saya tidak mahu Black menerima nasib sama seperti saya, sebab itulah saya mahu dia menjadi versatil," kata Mas.
Konsert penyingkiran pertama bagi kumpulan B malam ini memberi tekanan kepada Mas dan Black meskipun sebelum ini mereka menerima undian tinggi berdasarkan persembahannya yang menghiburkan.
"Saya jarang gugup apabila membuat persembahan tetapi setiap kali Black naik ke atas pentas saya akan rasa sangat takut. Mungkin kerana saya bertanggungjawab menentukan hala tuju dan masa depan Black," kata Mas.
Black turut meluahkan perasaan sama apabila ditanya mengenai penerimaan masyarakat terhadap pemilihannya sebagai protege Mas Idayu. Anak muda ini juga tidak kisah Mas menggunakan rotan sepanjang pembelajaran kerana ia membantu membentuk disiplinnya.
"Saya terkejut kak Mas memilih saya. Ketika itu saya tertanya-tanya bolehkah rakyat Malaysia menerima kehadiran saya yang serba kekurangan ini. Sebelum ini duduk sebelah rakan-rakan mentor yang lainpun saya malu kerana mereka berkulit cerah malah hendak letak tangan atas meja pun saya segan.
"Kak Mas tidak pernah jemu mengajar dan berusaha mengubah penampilan saya, termasuk membawa saya ke spa, salun dan melakukan rawatan wajah supaya nampak lebih bagus sehingga ramai rakan perasan perubahan saya," kata Black yang sebelum ini membantu ibu bapanya menjual ikan.
Ternyata Black menjalani perubahan ketara apabila tampil lebih segak sekali gus membuktikan tiada yang mustahil jika ada kemahuan.
Bercakap mengenai perjalanan jejaka ini sebagai peserta Mentor yang bersiaran setiap Ahad menerusi saluran TV3, Mas yakin Black mampu pergi jauh walaupun berdepan cabaran sengit daripada peserta lain.
"Bagi kami markah yang tinggi bukan keutamaan sebaliknya lebih mengambil kira kualiti persembahan. Anak didik Lah iaitu Fira misalnya, dia mempunyai kelebihan yang masih tersembunyi dan boleh menjadi pencabar Black," kata Black.
Malam ini Black, Fira dan protege Adibah Noor iaitu Thye akan berentap untuk mara ke peringkat seterusnya selepas menyaksikan protege Jaclyn Victor, Kumpulan Evo tersingkir minggu lepas.

Misi Baru O-Two

Oleh Izwan Mohamad

MESKIPUN industri muzik tempatan kian meriah dengan kemunculan banyak band baru, kebangkitan band sedia ada juga diharap dapat memantapkan lagi perjuangan muzik Malaysia.
Menyedari saingan kian sengit, kumpulan O-Two yang pernah muncul dengan album sulung, Radio Tanah Melayu pada 2005 tidak mengambil mudah setiap langkah yang diambil, sebaliknya cuba menggunakan pendekatan baru dalam mempromosi muzik yang dibawa.
Selepas tiga tahun menyepi, mereka giat mengumpul bahan dan mencari arah tuju sesuai supaya muncul dengan nafas segar, sekali gus diterima ramai.
Dianggotai Haniff Khan Mohd @ Mohammed Khan atau Anep, 29, sebagai pemain dram dan Azlan Ahmad (Alan), 25, pemain gitar dan vokalis, kumpulan yang dulunya disertai empat orang kini dilengkapkan dengan kehadiran One atau nama sebenarnya Wan Mohd Khairol Zaimie Wan Azizan, 20, sebagai pemain bass.
Lebih menarik, kehadiran mereka kali ini bukan `kosong' tetapi dengan misi baru mempromosi dua produk sekali gus, iaitu muzik menerusi permainan secara on-line di Internet.
Malah, April lalu mereka turut dilantik sebagai duta permainan on-line popular berbahasa Melayu, Jin Online, yang diperkenalkan iG-Interactive Sdn Bhd (iGi), sebuah syarikat tempatan yang giat mengusahakan permainan on-line yang sebelum ini dimonopoli produk dari Jepun dan Amerika Syarikat.
"Usahasama kami dengan iGi sebenarnya bermula dengan pembabitan Alan yang juga pemain permainan ini sehingga menemukan kami dengan pengurusan Jin Online.
"Idea timbul apabila kami berasakan kerjasama ini membantu antara satu sama lain. Mereka yang berminat dengan permainan ini dapat mendengar lagu kami yang dihantar secara percuma kepada peminat," kata Anep selaku ketua kumpulan ini.
Kerjasama ini menjanjikan tiga inisiatif, termasuk pelan pemasaran bersama yang menggabungkan muzik dan permainan on-line, sekali gus menjadikannya kolaborasi pertama seumpamanya di Malaysia.
iGi melancarkan cakera padat versi dua dalam satu, menggabungkan sistem instalasi permainan dan album mini terbaru O-Two yang diberi judul Utusan Rasmi, boleh didapati secara percuma dengan berkunjung ke laman sesawang rasmi Jin Online.
"Dalam album mini ini, kami menampilkan lagu terbaru seperti Naluri Perintis Cinta, Doa, Bidadari Dari Syurga, Orbit Merentasi Masa dan lagu hit Mr Koma," kata Alan yang memikul tanggung jawab vokalis menggantikan Izan.
Selain itu, mereka muncul dengan single terbaru, Sesat, yang menampilkan nyanyian pemain gitar handal, CD Naz yang pernah popular dengan kumpulan Silkhannaz sebelum menyertai Metalasia sebagai vokalis.
Eksekutif Pemasaran iGi, Nor Azizul Abdullah, berkata berdasarkan pemerhatian graf jumlah pemain penyertaan O-Two dalam Jin Online membantu peningkatan jumlah pemain permainan ini.
"Kami menyedari Alan mempunyai pengaruh besar dalam Jin Online, jadi kerjasama ini sangat bagus kerana O-Two memahami permainan yang kami sediakan.
"Kami juga giat bekerjasama dengan pereka permainan on-line dari China iaitu TQ Digital Entertainment untuk mencipta watak O-Two" kata Azizul.
Selain itu, mereka berusaha merealisasikan impian O-Two mengadakan konsert Julai depan, selain bertanggungjawab melancarkan klip video Mr Koma yang berkonsep animasi menggabungkan dunia maya dan Jin Online.

Sunday, June 14, 2009

Sekadar Usik-usik

Oleh Izwan Mohamad

BUKAN mudah menjadi orang popular dan cantik. Mata pemerhati seni sering memandang setiap gerak-geri, lalu pilihan terbaik adalah berhati-hati. Dalam pada itupun, cabaran tetap mendatang.
Seperti yang dilalui mereka yang terdahulu, pastinya ada harga yang perlu dibayar apabila menjadi perhatian masyarakat, tidak kiralah soal kerjaya mahupun peribadi.
Pelakon Wanita Harapan Festival Filem Malaysia Ke-21, Lisa Surihani Mohamed mengakui tidak dapat lari daripada dilanda gosip, khususnya berkenaan hubungannya dengan pelakon tampan, Farid Kamil.
Pertama kali digandingkan dengan jejaka itu dalam filem I'm Not Single yang menampilkan mereka sebagai pasangan suami isteri yang jodohnya diatur keluarga, gadis berusia 23 tahun ini sekali lagi berpasangan dengan Farid dalam filem terbaru arahan Sharad Sharan, Legenda Budak Setan.
Walaupun acap kali menafikan dakwaan kemesraan antara mereka lebih daripada kawan biasa, keakraban mereka sering kali disalah erti ramai pihak sehingga gadis ini membiarkan saja cakap-cakap orang kerana lali dengan perkara itu.
"Saya menganggap gosip ini sekadar usik-usik dan tidak perlu difikirkan secara serius memandangkan kami berkawan baik, apatah lagi kami bekerjasama dalam beberapa filem.
"Setakat ini, saya langsung tidak pernah mengiyakan yang hubungan kami lebih daripada sekadar sahabat," kata Lisa.
Menurutnya, dia yang baru dalam menjalani kehidupan sebagai anak seni masih dalam proses memahami perjalanan sebagai selebriti yang tentunya penuh dugaan, khususnya yang membabitkan kehidupan peribadinya.
Walaupun terpaksa akur dengan tuntutan itu, dia tidak menganggap bebanan itu terlalu berat untuk ditanggungnya walaupun masih mentah.
"Jika ada yang menganggap cerita hubungan saya dengan Farid adalah tujuan komersial dan mahu melariskan filem, itu salah sama sekali.
"Bukan niat saya rapat dengan Farid hanya kerana menumpang nama sesiapa, tetapi saya ikhlas berkawan," kata graduan undang-undang Help University College dan Aberystwyth University, Wales, United Kingdom ini.
Bagaimanapun, dia tidak mahu dianggap memberi jawapan klise jika ditanya seandainya bertemu jodoh dengan jejaka itu, sebaliknya lebih senang jika perkara kerjaya lebih diutamakan berbanding hubungan cinta.
"Dia (Farid) banyak mengajar saya selok-belok lakonan dan saya menghormatinya kerana dia berpengalaman selain berkelulusan dalam bidang ini," katanya.
Menyentuh mengenai kerjaya seninya, dalam diam Lisa sebenarnya mengimpikan untuk kembali ke dunia pengacaraan seperti yang pernah dilakukannya sebelum bergelar aktres, malah jika diberi peluang dia ingin sekali mengendalikan program televisyen sendiri.
Dia yang bakal muncul dalam filem Rempit V3, Kapoww dan Cyber-X: Ancaman Penggodaan selain Jangan Pandang Belakang Congkak yang sedang ditayang di pawagam ini pernah mengendalikan rancangan seperti Whoa di ntv7, Down Memory Lane (RTM) serta Xfresh TV (Astro TVIQ).
"Saya rindu dengan pengacaraan kerana sejak di United Kingdom lagi saya mula mengacara, malah dek kerana lama meninggalkannya saya rasa teknik pengacaraan mula `berkarat'," kata Lisa yang mula dikenali menerusi rancangan Cergas dan Ayah Kami.

Gentar Gaya Shiqin

Oleh Izwan Mohamad

MENJEJAK kaki ke industri perfileman sememangnya menjadi impian anak muda, khususnya yang berkeyakinan memiliki bakat tersendiri.
Walaupun terpaksa bersaing, bijak mencari peluang selain memiliki keazaman untuk `cari makan' dalam dunia seni menjadi kriteria penting.
Begitu juga dengan gadis berusia 18 tahun ini yang terpilih membintangi filem terbaru terbitan Astro Shaw, Legenda Anak Setan yang turut membariskan Farid Kamil, Lisa Surihani, Fazura dan Que Haidar.
Membawa watak utama di samping nama besar sememangnya mengujakan, namun tidak dinafikan peluang itu turut menuntut gaya lakonan terbaik daripada pendatang baru, Nur Ashiqin Mohd Kamal (Shiqin).
"Tidak dinafikan saya gentar berlakon bersama pelakon senior yang berpengalaman.
"Namun mereka tidak membenarkan saya rasa terasing, sebaliknya banyak mengajar saya teknik lakonan yang betul dan tidak mementingkan diri," kata gadis kacukan Melayu-Pakistan itu sewaktu ditemui di Langkawi, Kedah yang turut menjadi lokasi penggambaran filem arahan Sharad Sharan itu.
Menurutnya, pengalaman bekerjasama dengan pelakon dan pengarah terkenal memberi sinar baru bagi bintang baru sepertinya yang memerlukan bimbingan bagi memastikan lakonannya tidak kaku.
Malah, keserasian diperoleh sewaktu melakonkan watak Emilia, bekas kekasih Kasyah yang juga isteri Azmi membuatkan dia lebih yakin dan memahami setiap gerak laku Lisa Surihani yang membawakan watak Ayu iaitu watak Emilia sebelum berubah rupa.
"Sharad berbincang dengan saya mengenai apa yang dikehendaki menerusi watak Emilia yang saya lakonkan, jadi saya tiada masalah apabila turun ke lokasi," katanya.
"Saya turut mendalami watak Emilia dengan membaca novel popular ini walaupun saya belum dilahirkan ketika novel ini diterbitkan," kata bekas penuntut Sekolah Menengah Convent Bukit Nanas, Kuala Lumpur ini.
Bercerita mengenai pembabitannya dalam bidang lakonan, peluang diterimanya setelah menjalani uji bakat filem Uncle Hussein yang turut dibintangi Zizan Raja Lawak dan Julia Ziegler selepas peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia, sekali gus menjadi filem pertamanya.
Kemudian ada rakan menyarankan mencuba uji bakat Legenda Budak Setan tanpa menyangka dia ditawarkan watak besar dalam filem ini. "Saya juga tidak menyangka peluang ini diberi kepada saya memandangkan saya masih baru dan bertatih dalam lakonan.
"Oleh itu saya kini bekerja sambil belajar dan terus berusaha memantapkan teknik lakonan supaya diterima ramai," katanya.
Menyentuh watak Emilia yang dilakonkan dalam filem ini, Shiqin mengakui mengalami kesukaran, apatah lagi dia terpaksa membawa watak wanita berkahwin yang didera suami walaupun usianya masih muda.
Hanya selepas sesi membaca skrip, dia mula yakin dan memahami setiap gerak geri dan ekspresi yang mesti ditunjukkan supaya tidak lari seperti digambarkan Ahadiat yang juga bertindak sebagai penulis skrip.
"Bayangkan, saya tidak pernah berkahwin, apatah lagi melahirkan anak, tetapi saya terpaksa melakonkan watak sedemikian supaya nampak hidup dan tidak lari daripada cerita asal," katanya.

Sepah Lebih Berhati-hati

Oleh Izwan Mohamad

SIAPA tidak mengenali tiga anak muda yang berjaya mencuri hati peminat dunia lawak tempatan apabila memenangi pertandingan Raja Lawak musim ketiga ini.
Ramai juga tahu mereka yang berasal dari Kulai, Johor melangkah ke konti radio apabila diberi kepercayaan mengendalikan radio nombor satu negara, Era.
Ternyata rezeki Mamat, Jep dan Shuib semakin murah kerana mula masuk mengendalikan slot mereka setiap Sabtu dari jam 8 pagi hingga 12 tengah hari, selain diberi kepercayaan mengendalikan Riuh Pagi Era menggantikan Aznil Nawawi dan Din Beramboi yang bercuti baru-baru ini.
"Ini memang satu tugasan besar bagi kami yang masih kerdil dalam dunia seni tanah air, apatah lagi mengendalikan radio paling popular negara.
"Lebih mengharukan, kami diberi kepercayaan daripada orang kuat Era, Nazri Noran, menggantikan Pak Nil dan Din Beramboi yang lebih berpengalaman dan hebat," kata Jep.
Namun, mereka tidak sekali-kali melepaskan peluang yang diamanahkan, sebaliknya cuba memberi yang terbaik setiap kali ke udara dengan bantuan penerbit, Mohd Azizan Mohd Yusof.
Tidak sekali-kali dibayangi mana-mana penyampai sedia ada, mereka cuba mengendalikan slot dengan pengisian yang dibincangkan bertiga setiap kali sebelum ke konti, khususnya pemilihan topik.
"Agak sukar juga pada mulanya memandangkan kami selalunya berlawak di atas pentas dan berdepan penonton, berbeza dengan pengendalian di radio yang tidak memungkinkan kami mengenali siapa pendengar yang mengikuti rancangan kami.
"Namun kami semakin yakin apabila sambutan pendengar sungguh luar biasa kerana jumlah pemanggil semakin hari semakin meningkat setiap kali ke udara," kata Mamat.
Dalam pada itu, mereka mengakui sukar mengawal dialog setiap kali ke udara untuk memastikan tiada pertindihan dalam percakapan, namun dengan perancangan yang dilakukan dengan lebih teliti, masalah itu dapat ditangani.
"Kami sering bertanya rakan setugas yang lebih senior iaitu penyampai Era yang lebih arif kerana hanya dengan cara itu kami dapat membiasakan diri menyusun setiap patah kata supaya tidak menyentuh sensitiviti sehingga menyinggung mana-mana pihak," kata Jep.
Menyentuh pembabitan Sepah dalam bidang lakonan, ternyata mereka semakin dicari penerbit apabila banyak menerima tawaran berlakon, khususnya drama bersiri dan telefilem berunsur komedi.
Terbaru, mereka bakal muncul dalam drama bersiri Tok Ketua Kampung Batang Buruk yang turut menampilkan pelawak senior seperti Zaibo, Bob Kuman, Amir Raja Lawak, Ruminah Sidek, S Azli dan Ngasrizal Ngasri.
Selain itu, peminat kumpulan ini dapat melihat jenaka mereka pada Aidilfitri nanti dalam telefilem Lemang Si Bujang Sepah, selain siri Lawaking yang menampilkan bekas peserta Raja Lawak yang lain.
"Apabila menerima tawaran demi tawaran, kami semakin bersemangat untuk terus aktif dalam dunia seni kerana dengan cara ini kami lebih terdedah kepada pelbagai genre seni.
"Sekarang kami membuktikan pelawak bukan saja mampu membuat orang ketawa, malah lebih daripada itu," kata Shuib.
Menyentuh soal pelawak yang sering dikaitkan dengan kurang berdisiplin memandangkan beberapa pelawak sebelum ini sering 'lepas laku' di khalayak, Sepah mengakui bukan mudah mengawal sikap kerana sifat mereka yang sebelum ini gemar berlawak tidak kira tempat dan masa.
"Memang sukar sebenarnya mengawal diri daripada menimbulkan kekecohan di khalayak, apatah lagi sebelum ini kami memang selalu 'menceriakan suasana' tidak kira masa, termasuk di tempat kerja lama.
"Namun apabila dikenali ramai seperti sekarang, kami lebih berhati-hati kerana bukan semua mengenali kami secara peribadi," kata Mamat.

Sunday, June 7, 2009

Sarimah, Amir Pisah

Oleh Izwan Mohamad

PERKAHWINAN bagaikan bahtera yang dikemudi pasangan hati, tidak kira sama ada ikatan itu tercipta melalui cinta antara kedua-duanya atau aturan keluarga, atas nama perkahwinan juga terciptalah komitmen antara satu sama lain.
Namun, dalam pelayaran itu ada pasangan tidak mampu meneruskan pelayaran kerana karam di pertengahan jalan.
Begitu juga dengan nasib pelakon dan pengacara terkenal, Sarimah Ibrahim, 31, yang terpaksa akur dengan ketentuan Ilahi bahawa jodohnya dengan suami tercinta tidak dapat dipertahankan sehingga menuju persimpangan berbeza.
Disember 2008 menjadi titik noktah kepada hubungan wanita berdarah Melayu-Irish ini dengan jejaka Australia, Amir Andrew Abdullah, 38, selepas tiga tahun mendirikan rumah tangga walaupun beberapa bulan sebelum itu berpisah sementara.
"Saya dan Amir berpisah sementara sebelum mengambil jalan bercerai penghujung tahun lalu untuk menimbulkan rasa rindu, sekali gus memperbaiki hubungan kami.
"Namun jodoh kami hanya sampai di situ dan kami terpaksa berpisah," kata anak kelahiran Dublin, Ireland ini yang menafikan wujud orang ketiga dalam hubungan mereka.
Menurut Sarimah, dia seboleh-bolehnya tidak mahu menghebahkan cerita rumah tangganya kepada khalayak, apatah lagi pasti ada yang menuding jari menyalahkan seorang daripada mereka menjadi punca kepada perceraian itu.
Malah, mereka mengambil keputusan itu atas dasar tiada lagi keserasian antara mereka dan memikirkan itu jalan terbaik supaya tidak terus dibelenggu perbezaan cara hidup yang mereka lalui.
"Memang perit apabila terpaksa menerima hakikat kami tidak lagi bersama, namun saya yakin ada hikmah di sebalik peristiwa ini.
"Kami sama-sama berusaha menyelamatkan hubungan ini, namun ternyata jodoh kami tidak panjang dan saya akur dengan ketentuan Tuhan," kata Sarimah.
Menjawab persoalan mengapa dia tidak memberitahu orang ramai mengenai perceraian itu, apatah lagi bekas suaminya turut kelihatan ketika Sarimah mengendalikan Konsert Akhir Akademi Fantasia 7 baru-baru ini, Sarimah mengakui masih berhubung dengan Amir dan berkawan dengannya.
Menurutnya, hubungan persahabatan selama sembilan tahun yang terjalin menyebabkan kedua-dua pihak merasakan tidak perlu bermasam muka, apatah lagi memutuskan tali silaturahim.
"Kami saling mengenali dan memahami hati budi, termasuk apa yang kami suka atau tidak, sebab itu kami berkahwin.
"Cuma jodoh kami sebagai suami isteri yang tidak panjang, jadi usah menganggap yang bukan-bukan mengenai perceraian kami kerana setiap orang mengimpikan kebahagiaan," kata anak sulung empat beradik ini.
Walaupun bersedih dengan kejadian menimpa rumah tangganya, ternyata wanita ini bukan calang-calang, apatah lagi dia mengendalikan pelbagai program televisyen selepas perceraiannya, termasuk rancangan Katanya... dan 50 episod Diari AF7, selain 10 episod Diari INT yang memerlukan komitmen tinggi.
Tiada siapa menyangka ketika itu dia bertarung dengan perasaan dukacita, malah sentiasa tersenyum mengendalikan setiap program yang menampilkannya sebagai pengacara, termasuk aksi `gila-gila' yang ditampilkan.
Malah dalam tempoh itu, Sarimah yang pernah membintangi filem Seiras Hati, Maka Diciptanya Perempuan, Puteri Impian 2, Janji Diana, MX3 dan Gerak Khas 3 langsung tidak menunjukkan ciri-ciri bersedih atau terbelenggu dalam kemurungan berbanding wanita senasib dengannya, apatah lagi terpaksa memikul gelaran janda.
"Saya kuat kerana ada teman rapat sudi berkongsi masalah, malah merekalah meniupkan semangat supaya saya terus berjuang dalam dunia seni.
"Begitu juga rakan media yang terus memberi sokongan sepanjang 13 tahun saya menapak sebagai anak seni, jadi saya harapkan sokongan sama walaupun terpaksa melalui jalan sukar ini.
"Saya juga berharap peminat dan masyarakat memberi ruang kepada saya selain tidak menyalahkan saya dan Amir atas perpisahan ini," kata Sarimah.
Sarimah dan Amir diijabkabulkan di Masjid Dublin, Ireland, pada 13 Mei 2006.

Karisma Ammar

Oleh Izwan Mohamad

MUNGKIN ramai pernah terlihat jejaka bertubuh sasa ini dalam beberapa drama bersiri tempatan, apatah lagi gambarnya bersama pelakon wanita, Puteri Sarah, tersebar luas menerusi Internet sedikit masa dulu.
Aksi panas itu ternyata menjadi buah mulut orang sehingga ada yang memandang rendah, namun itu semua kisah pahit yang terpaksa ditelan pemuda berusia 22 tahun yang berasal dari Johor Bahru ini.
Ammar Alfian Aziz Mohd Zaki, nama baru dalam persada seni hiburan tanah air, bagaimanapun mengakui kesilapannya dan menganggap itu adalah satu proses pembelajaran dalam kehidupan.
"Saya akui kesilapan saya, tetapi sampai bila saya hendak hidup dalam keadaan rasa bersalah dan tidak bangkit untuk lebih maju.
"Perkara itupun sudah selesai, jadi saya sekarang lebih fokus kepada kerjaya sebagai pelakon dan model," katanya.
Mengakui hubungannya dengan Sarah masih utuh, dia yang juga bekas finalis Hero Remaja 2007/2008 menafikan menumpang populariti kekasihnya, walaupun gadis itu terlebih dulu menempa nama.
"Sebelum mengenali Sarah, saya bergerak aktif dalam dunia peragaan di dalam dan luar negara.
"Saya menyertai bidang lakonan pun atas usaha saya dan tidak timbul soal saya menumpang populariti sesiapa.
"Lagipun sejak awal saya berpesan kepada Sarah, saya tidak mahu menggunakan namanya untuk mendapat peluang berlakon, apatah lagi memintanya mencari tawaran untuk saya," katanya.
Jejaka berketinggian 185 sentimeter ini mula berlakon menerusi siri Elite pada 2007, diikuti Kasih Mia sebagai pelakon pembantu dan akhirnya memegang watak utama dalam Ponti Anak Remaja di samping Liyana Jasmay dan Lisa Surihani.
Sebelum itu, anak bongsu tiga beradik ini pernah muncul dalam iklan Maxis selain Nokia untuk pasaran Vietnam dan Indonesia, serta Marlboro untuk pasaran Afrika.
Mula aktif dalam dunia peragawan sejak berusia 16 tahun, anak muda yang sanggup ke Singapura mencari peluang peragaan ini pernah menjadi model penghias kotak seluar dalam jenama Renoma dan kontraknya masih kekal sehingga tahun ini.
Terbaru, peragawan yang pernah menyertai acara MIFA 2008 dan beraksi di Milan, Paris, Jepun dan Hong Kong ini menjalani penggambaran drama bersiri Dimensions yang bakal ditayangkan di United Kingdom di samping Jehan Miskin.
"Saya memberi idea watak saya sendiri sebagai `mat rempit' dalam drama ini untuk menghidupkan jalan cerita, jadi saya tiada banyak masalah dalam lakonan kerana saya perlu bertutur dalam bahasa Melayu.
"Namun saya masih berkomunikasi dalam bahasa Inggeris ketika di belakang kamera kerana penerbit dan pengarah memang berasal dari sana.
"Bekerja dengan produksi luar juga menuntut kesabaran tinggi kerana mereka sangat cerewet dalam penggambaran demi hasil terbaik," katanya.
Walaupun ketinggalan dalam bidang lakonan berbanding rakannya sewaktu menyertai Hero Remaja iaitu Kamal Adli dan Fizow Omar, keupayaannya sebagai pelakon dapat dilihat mampu melangkah lebih jauh.
Kini tawaran semakin mencurah dan terbaru, Ammar ditawarkan produksi Radius One untuk tampil dalam drama bercorak tarian berjudul Tari Tirana yang memulakan penggambaran Jun ini.
Namun jauh di sudut hatinya, ada hajat ingin dicapai memandangkan seorang pelakon perlu menetapkan hala tuju bagi meningkatkan semangatnya dalam bidang yang baru diceburinya ini.
"Saya teringin berlakon bersama Hans Isaac kerana dia aktor hebat dan mempunyai karisma tersendiri," katanya.

Pesawat Terbang Tinggi

Oleh Izwan Mohamad

KEBANGKITAN band tempatan mula dirasakan dengan munculnya lagu mereka menerusi radio dan menjadi siulan ramai.
Ternyata produk berkualiti menjadi pilihan pendengar, sekali gus menidakkan pendapat bahawa stesen radio tempatan menganaktirikan karya tempatan dan lebih berminat memainkan lagu luar saja.
Pesawat, sebuah lagi band yang menuju kejayaan dan berazam mengembalikan kegemilangan industri muzik tempatan dengan rencah dan ramuan tersendiri.
Dianggotai Jipie sebagai vokalis yang juga pemain gitar dan keyboard, Mann (bass), Kudux (dram dan vokal latar) serta Camel (gitar), band yang mengambil nama Pesawat sebagai inspirasi membawa pendengar ke satu destinasi lebih jauh ini membuktikan cakap mereka bukan kosong.
Dengan pengalaman beberapa tahun bermain muzik, kini mereka mengembangkan lagi sayap ke negara jiran, termasuk Indonesia yang selama ini dikatakan sukar membuka pintu kepada muzik Malaysia.
Tambah lagi, dengan kerjasama saluran antarabangsa Channel V, mereka dibawa untuk mempromosi lagu mereka seperti Mirage, Rasional Emosional dan Excuse Me ke negara itu setelah muncul dengan klip video berkonsep penerbangan.
Lebih manis dengan kerjasama Penerbangan Malaysia (MAS) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), pelancaran klip video Mirage disempurnakan dalam pesawat MAS Boeing 777 baru-baru ini.
"Kami bersyukur kerana masyarakat mula nampak hasil kerja kami dan terima kasih kepada Channel V yang memberi peluang kepada kami memperluaskan lagi peluang untuk kami pergi lebih jauh," kata Jipie.
Menyentuh pembikinan klip video yang turut menampilkan pelakon Harun Salim Bachik sebagai pelakon undangan, kumpulan ini mengakui ramai memberi bantuan dan tenaga kerja bagi memastikan produk ini benar-benar berkualiti.
Kebanyakan pelakon dan tenaga produksi adalah kenalan mereka, membuatkan kos penerbitannya lebih rendah dan semangat bantu-membantu sesama mereka menjadikankan klip video ini lebih bermakna.
"Seronok bekerja dengan rakan, sekali gus membuktikan hasil kerja anak tempatan boleh bersaing dengan produk luar.
"Buktinya, apabila kami menemui pihak Channel V, mereka berminat dan sedia bekerjasama dengan kami sehingga pelancaran muzik video ini dilakukan sebegini rupa," kata Kudux.
Jika sebelum ini mereka hanya berbekalkan tiga lagu, Pesawat merancang merakam dua lagi lagu dalam jangka masa terdekat, selain menerbitkan beberapa buah lagi selepas itu bagi menghasilkan album penuh.
"Walaupun syarat bertanding di Anugerah Industri Muzik dilonggarkan dengan hanya memerlukan lima lagu untuk layak, kami rasa lebih baik kami buat lebih sedikit untuk album ini bagi insentif kepada peminat mendapatkannya.
"Kami mementingkan kepuasan pendengar dan banyak yang kami boleh kongsi dengan mereka menerusi ciptaan kami," kata Mann.
Gembira dengan kerjasama stesen radio yang lebih banyak memainkan lagu tempatan, ternyata tidak timbul soal kuota yang diwar-warkan sebelum ini kerana anak muda ini yakin hanya produk berkualiti terpilih untuk ditempatkan dalam senarai pilihan lagu.
Mereka juga tidak bersetuju dengan isu kuota itu memandangkan kemasukan lagu dari luar sebenarnya memberi saingan sihat kepada penggiat muzik tempatan jika diambil daripada sudut lebih positif.
"Mengapa kita perlu meminta simpati dalam negara sendiri, sedangkan kewujudan stesen radio tempatan memang dibangunkan untuk industri muzik kita.
"Malah, jika perkara persaingan itu tidak berlaku, pasti penggiat muzik kita masih duduk selesa dan tidak berbuat sesuatu untuk melahirkan muzik lebih baik," kata Camel.
Pesawat juga dijangka menjalin usaha sama dengan beberapa band Indonesia seperti Nidji dan Malique De Essential bagi mengukuhkan muzik Melayu kedua-dua negara.

Sharad Teliti Adaptasi

Oleh Izwan Mohamad

PEMINAT novel terlaris pertengahan 1980-an, Legenda Budak Setan, pasti teruja apabila melihat watak Kasyah diterjemahkan ke filem diiringi watak kekasih pujaannya, Ayu.
Selepas sekian lama kekurangan filem adaptasi daripada novel, kini Astro Shaw dengan kerjasama Nusantara Films dan Tarantella Pictures mengambil jalan bernas ke arah itu.
Dibintangi Farid Kamil yang membawa watak Kasyah, Lisa Surihani (Ayu) selain pendatang baru Shiqin Kamal yang membawa watak Ayu kedua iaitu Emilia.
Turut menjayakan ialah Que Haidar, Fazura, Raja Farah, Nubhan, Zoey dan Syed Nabil dan diarahkan Sharad Sharan, pengarah berpengalaman yang pernah mengarahkan filem Diva sebelum ini.
Legenda Budak Setan mengisahkan pelajar nakal yang sering membuli pelajar lain, namun dalam sifat nakal itu berjaya menyentuh hati seorang gadis bernama Ayu yang membuatkan Kasyah berubah lalu membibitkan percintaan.
Namun, perjalanan cinta mereka tidak semudah disangka apabila berlaku konflik mengaitkan keluarga sehingga Ayu terpaksa dinikahkan dengan orang lain dan mengalami masalah penderaan jiwa kerana suaminya panas baran.
Peminat novel trilogi ini pasti faham jalan cerita olahan penulisnya, Ahadiat Akasyah yang bertindak sebagai penulis skrip. Namun, bukan mudah memindahkan novel ke filem kerana selalunya novel diolah lebih teliti berbanding filem yang hanya mempunyai dua jam untuk menyampaikan keseluruhan cerita.
Ternyata, itulah cabaran yang terpaksa ditanggung seluruh warga kerja produksi, termasuk pengarah dan pelakon, yang rata-rata mengambil masa meneliti setiap watak melalui pembacaan novel itu.
Sewaktu ditemui di lokasi penggambaran di Pulau Langkawi baru-baru ini, Sharad mengakui filem ini satu cabaran besar baginya, apatah lagi berbeza dengan filem arahannya sebelum ini yang banyak mengetengahkan unsur muzikal.
"Kali ini, saya mendapat bantuan Ahadiat untuk memudahkan saya mengolah jalan cerita yang saya rasakan menarik untuk disampaikan menerusi filem, apatah lagi novel ini antara yang menjadi ikutan ramai.
"Memang sukar memasukkan semua elemen supaya tidak lari daripada jalan cerita asal, namun dengan kerjasama baik penulis lakon layar dan pelakon, saya dapat rasakan filem ini bakal mendapat sambutan," kata Sharad yang turut mendapat khidmat pengarah sinematografi dari Amerika Syarikat, Mike Muschamp.
Pendapat itu disokong kerja keras barisan pelakon kerana novel ini begitu rapat dengan penonton, khususnya generasi yang membesar dengan penulisan Ahadiat.
"Jika mengikut skrip semata-mata, sukar untuk saya menghidupkan watak Kasyah sehinggalah saya membaca novel ini kerana karektor Kasyah bukan mudah untuk dilakonkan.
"Ada beberapa babak daripada novel tidak dimasukkan ke dalam filem, namun babak penting yang menghidupkan jalan cerita dikekalkan supaya pembaca novel itu tidak terasa perbezaan di antara filem dan novel," kata Farid.
Menurut Farid, dia mengakui ada timbul rasa risau kerana harapan tinggi pasti diletakkan oleh pembaca novel itu, namun dia menegaskan filem tidak mampu menjadi seteliti novel yang begitu halus sentuhannya.
Lisa Surihani mengakui pengalaman berlakon dalam filem ini juga berbeza berbanding filem lakonannya terdahulu kerana banyak babak 'air mata' sehingga dia terpaksa membaca novel itu dan memahami karektor Ayu yang lemah lembut.
"Saya sentiasa meletakkan setiap watak yang diterima sebagai cabaran, walaupun ada pihak akan mengatakan novel lebih baik berbanding filem.
"Apa-apa filem yang diadaptasi daripada novel pasti tidak akan sesempurna tulisan asalnya, namun inilah cabaran yang saya dan pelakon lain hadapi," kata Lisa.
Pendatang baru, Shiqin Kamal turut menyuarakan kebimbangannya sebagai Emilia iaitu Ayu yang berubah rupa selepas kemalangan, tambah lagi dia masih baru dalam dunia lakonan.
"Karektor Emilia sinonim dengan Ayu kerana mereka orang sama, jadi saya mesti mendalami cara lakonan Lisa yang membawa watak Ayu.
"Mujur pelakon seperti Farid banyak berkongsi cara mendalami watak Emilia supaya tidak lari daripada Ayu," kata Shiqin mengenai filem yang dijangka ditayang pada hujung tahun ini.