Sunday, May 10, 2009

Ujian Sudah Bermula

Oleh Izwan Mohamad

SELEPAS dua musim Mentor menemui penonton bermula tahun 2005, program realiti ini sekali lagi menyajikan pembukaan dengan gaya baru dan tersendiri.
Masih terlalu awal untuk mencongak siapa bakal dijulang juara baru walaupun penonton mula menilai bakat peserta berdasarkan persembahan sulung dalam konsert pengenalan Ahad lalu.
Malam ini, semua protege yang mendapat tunjuk ajar daripada enam mentor iaitu Jaclyn Victor, Mas Idayu, Lah Ahmad, Adibah Nor, Ajai dan Awie bakal berentap untuk mara ke peringkat seterusnya.
Mereka memiliki kriteria tersendiri daripada segi bakat, vokal dan pakej. Peserta kali ini - pasangan duo, Khairul Najmuddin Abu Samah dan Halhusani Razmi iaitu protege Jaclyn, Tahiruddin Sain (Adibah), Hanifah Md Hanafiah (Mas Idayu), Camellus De'lelli Anam (Ajai), Suriana Abdul Wahab (Awie) dan Hunanis Zafira Huzaini (Lah).
Menurut Penerbit dan Pengarah Mentor 3, Mohamad Sufian Isa, pihaknya teruja dengan penganjuran Mentor musim ini yang menyaksikan bagaimana protege 'diajar' oleh mentor profesional.
"Musim ini menyaksikan hasil kreativiti dan persembahan protege bimbingan artis terkenal yang datang daripada pelbagai genre muzik seperti Awie (rock), Mas Idayu (dangdut) dan Jac (pop). Di sini kita dapat saksikan gabungan kreativiti mentor dan protege," katanya.
Musim ini juga memperkenalkan format pemarkahan baru iaitu markah diberi kepada tiga bahagian iaitu 50 peratus daripada juri profesional, 30 peratus SMS dan 20 peratus daripada juri awam (pelajar muzik, wartawan dan golongan semi-profesional).
Setiap protege diberi peluang melakukan persembahan tiga kali mengikut kumpulan masing-masing pada konsert yang diadakan secara berselang antara kumpulan A dan B.
Markah daripada ketiga-tiga persembahan itu digabungkan bagi menentukan dua peserta yang mendapat markah tertinggi daripada setiap kumpulan untuk ke peringkat separuh akhir.
Peringkat separuh akhir pula menyaksikan dua protege daripada setiap kumpulan digabung semula untuk berentap dan seorang protege disingkir setiap minggu bagi mencari dua peserta ke peringkat akhir.
Jaclyn turut teruja apabila menerima pelawaan TV3 sebagai mentor musim ini sehingga mengambil risiko menggabungkan dua peserta menjadi duo yang ingin dikenali sebagai Evo.
"Kedua-dua protege saya memiliki kekuatan vokal dan keunikan berbeza hinggakan saya susah untuk memilih seorang antara mereka sebagai anak didik, jadi saya mengambil keputusan menggabungkan mereka walaupun bebanan itu lebih berat berbanding peserta solo.
"Soal kalah atau menang bukan perkara pokok, sebaliknya kita cuba mencipta produk baru dalam bidang seni suara yang mempunyai versatiliti dan berbeza dengan penyanyi sedia ada," kata Juara Malaysia Idol musim pertama ini.
Bagi Awie yang 'menghalau' calon lelaki kerana inginkan protege wanita, anak didiknya, Keena memiliki keistimewaannya tersendiri kerana memiliki aura bintang rock.
"Kita kekurangan penyanyi rock wanita, apatah lagi hanya tinggal Ella yang mempertahankan irama kesukaan ramai ini, sekali gus membuktikan kita ketandusan penyanyi sepertinya.
"Saya tidak memasang strategi, apatah lagi memikirkan soal kemenangan, cuma saya menggunakan pendekatan tersendiri supaya protege lebih yakin dengan kemampuan saya dan kalau boleh biar penonton juga dapat belajar sesuatu daripada apa yang dipaparkan," kata Awie.
Mentor 3 juga memiliki kelainan tersendiri apabila Mas Idayu mengambil risiko dengan memilih bekas pemain bola sepak sebagai protege, dianggap 'berbeza' berbanding peserta program realiti yang sering mengetengahkan individu yang lengkap dengan pakej rupa bagi memancing undian.
"Saya akui protege saya tidak kacak, tetapi Black (Hanafiah) mempunyai bakat nyanyian mengatasi fizikalnya kerana mempunyai 'range' vokal seperti penyanyi wanita.
"Saya tidak teragak-agak memilihnya memandangkan bakatnya besar walaupun kurang berkeyakinan akibat terlalu rendah diri dengan kekurangannya", kata Mas Idayu yang berpengalaman 17 tahun dalam bidang seni suara.
Bekas anggota kumpulan VE, Lah turut yakin dengan protegenya, Fira, yang memiliki keupayaan vokal seperti penyanyi era 1980-an seperti Shima, Francisca Peters dan Zaiton Sameon.
"Kekuatan vokal yang Fira miliki berbeza dengan kebanyakan penyanyi sedia ada memandangkan versatilitinya dalam menyanyikan lagu pelbagai genre, selain memiliki 'range' vokal agak besar.
"Dia turut menunjukkan minat untuk belajar kerana sering bertanya, tetapi saya tidak akan memanjakannya untuk dia lebih berdikari," kata Lah.
Ada satu tarikan lain dalam mentor musim ini apabila turut menampilkan abang kepada bintang realiti, Stacy iaitu Camellus De'lelli Anam (Chaq) yang pernah sekumpulan dengan adiknya dalam Gangstarz, Evoke.
"Pada mulanya, kami juga tidak perasan protege kami abang kepada Stacy hinggalah ternampak persamaan pada namanya.
"Kami memilihnya bukan kerana dia abang kepada Stacy, sebaliknya keupayaannya menari dan menyanyi dengan bagus," kata Liza Ilias yang juga pengurus kepada Ajai.
Adibah Nor pula 'terpikat' dengan keupayaan protegenya, Tahiruddin Sain atau Thye yang juga bekas artis budaya Selangor.
Mentor 3 juga memperkenalkan pelakon Ellie Suriaty Omar sebagai penasihat motivasi selain Azmeer dan Sazlan untuk juri vokal dan tarian.
Selain konsert mingguan, Jurnal Protege ditayangkan pada setiap Ahad jam 5.30 hingga 6 petang, menyorot persediaan serta aktiviti protege bersama mentor dan diari harian protege yang ditayangkan setiap Isnin hingga Jumaat jam 7.28 malam.

No comments:

Post a Comment