Wednesday, July 15, 2009

Jabat Sulung

Salam seluruh alam kupanjangkan kepada semua...



Kini aku kembali. Memang aku ingin kembali. Sudah lama aku berhasrat kembali. Namun kepayahan hati untuk berkata 'mula' membuatkan si celaka bernama Malas meliputi seluruh nadi rajinku. Namun, aku rasa semakin teruja untuk kembali, bukan kerana publisiti, bukan kerana aku mahu mengejar populariti. Mungkin suatu ketika dahulu (ketika zaman ingin menjadi hero, mungkin!) aku menulis kerana orang lain. Untuk orang itu dan ini, untuk si polan itu dan si polan ini, dan akhirnya aku sendiri sering berperang dengan rasa duka dan benci. Memperjuangkan sesuatu yang entah menambah keuntungan sesiapa, walaupun tahu risiko dicalar tetap juga mahu melakukannya. Dan kali ini, mungkin dalam usia yang meniti 'kayu-kayu yang semakin reput', aku semakin berisi (bukan setakat tubuh ya!) dan jari-jemariku juga semakin laju dan tidak sepatah-sepatah lagi mencari aksara yang bertaburan ini.

Dalam menjangkau usia sebegini, kadangkala aku merasakan aku tidak lagi perlu sendiri. Namun bagaimana hendak lebih daripada seorang jika aku sering sahaja menafikan bahawa suatu hari pasti ada dia yang mengisi ruang hati ini. Siapa dia itulah yang selalu menjadi musuh dalam persoalan yang sering meniti dalam setiap sel otak yang pastinya berselirat jika dipandang dengan mata kasar, apatah lagi jika ditenung secara halus. Ada jalan yang paling mudah sebenarnya, pandang ke dalam mata pasti hati berkata sesuatu. Ada atau tiada sahaja jawapannya.

Baiklah, cukup rasanya dengan bunga-bunga kata yang tak berapa nak berkembang macam bunga ros merah yang memang aku cukup suka. Biarlah orang kata berduri dan sebagainya, aku memang suka kerana aku juga seperti itu. Kalau takut tertusuk duri, jangan dekat kalau tak berani.

Boleh tak jika pengenalan ini sampai di sini sahaja?

Mengada-ngada sungguh aku ni kan...

Sunday, July 12, 2009

Jantung Ainina Dibedah

Oleh Izwan Mohamad

PELAKON wanita berwajah ayu yang sering membawakan watak sopan dan penuh budi pekerti ini pasti tidak dapat dilupakan peminat drama tempatan satu ketika dulu.
Ia sesuai dengan penampilannya yang cukup anggun sebagai wanita Melayu beradab.
Lebih daripada itu, anak kepada pelakon Allahyarham Ahmad B ini mengambil keputusan untuk tampil dengan imej bertudung awal 2002 selepas berniat sembuh daripada penyakit misteri pada 1999.
Namun, siapa sangka Ainina Ahmad B, 40, yang juga isteri kepada bekas vokalis kumpulan Mega, Rahmat Tohak, kini menderita sakit jantung sehingga memerlukannya menjalani pembedahan kecemasan Jumaat lalu di Institut Jantung Negara (IJN).
Ainina yang kurang muncul menerusi kaca televisyen kerana lebih menumpukan kepada kerja alih suara di belakang tabir, dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh kira-kira tiga minggu lalu selepas mengadu cepat penat dan kurang sihat.
Ibu kepada seorang anak, Nur Arieana Rahmat, 7, ini menjalani pemeriksaan di hospital itu sebelum dirujuk kepada IJN selepas hampir lima tahun mengalami masalah cepat penat dan sering tidak sedap badan.
Sejurus mengetahui berita penyakit terbabit, Selebriti segera menghubungi Rahmat untuk bertemu Ainina. Hasrat itu bagaimanapun tidak kesampaian apabila keadaan Ainina semakin kritikal dan tidak dibenarkan melawat selain ahli keluarga.
Rahmat memaklumkan jantung isterinya terkena jangkitan kuman sebelum diberi rawatan menggunakan antibiotik, namun jangkitan itu sudah merebak, menyebabkan injap jantungnya rosak dan terpaksa menjalani pembedahan segera memandangkan itu rawatan terbaik buatnya.
"Menurut pakar, injap jantung Ainina terpaksa digantikan dengan injap palsu dan dia harus bergantung kepada ubat selepas ini.
"Insya-Allah, keadaannya akan pulih seperti biasa selepas menjalani pembedahan," kata Rahmat sehari sebelum operasi pembedahan itu berlangsung.
Katanya, keadaan menjadi lebih parah kerana penyakit Ainina lambat dirujuk kepada pakar lantaran lewat dikesan, menyebabkannya merebak sehingga memerlukan pembedahan.
Rahmat turut memberitahu, keadaan Ainina stabil walaupun berat badannya mula susut sejak dimasukkan ke hospital.
Menyentuh kos perubatan yang mungkin menelan belanja besar, Rahmat bersyukur kerana beberapa persatuan sudi menghulurkan sumbangan, namun dia masih menunggu laporan daripada IJN.
"Saya ada menghubungi kenalan rapat dalam industri dan mereka memberitahu, persatuan mempunyai dana bagi membantu menampung kos perubatan.
"Cuma, saya harus menunggu laporan penuh daripada IJN mengenai jumlah kos yang dikenakan sebelum membuat permohonan dana itu," kata Rahmat yang terharu dengan keprihatinan pelbagai pihak yang memberi sokongan moral terhadapnya dan isteri.
Dia juga berharap masyarakat, khususnya peminat dan rakan yang mengenali Ainina, berdoa semoga kesihatan isterinya kembali sedia kala dan dapat meneruskan kehidupan seperti biasa.

Himpun Di Jirat Cina

Ulasan Izwan Mohamad

APA kelainannya? Itu yang terdetik dalam hati apabila filem seram terbitan Primeworks Studios Sdn Bhd dengan usahasama Lineclear Motion Pictures Sdn Bhd dipertontonkan kepada pihak media.
Ketika rasa jengkel menular kerana sering disogokkan dengan filem seram yang kurang memberi impak, perasaan takut menonton filem ini mula terasa kerana produksi nampak bersungguh-sungguh untuk membuat penonton tidak duduk diam.
Sembilan jalan cerita digabungkan dalam sebuah cerita, pasti ada menganggap jangka masa naratif yang begitu singkat sukar menarik perhatian, apatah lagi filem seram seperti ini selalunya mengambil masa lama untuk sampai ke destinasi.
Dalam filem ini, semua cerita seramnya cepat berlalu, namun elemen kejutan diberi bagaikan sempurna bagi mereka yang terbabit dalam pembikinan filem ini tanpa mengambil kira kesan lain lebih penting seperti suntingan dan kesinambungan.
Filem ini mengisahkan Burn (Norman), penerbit yang ingin menghasilkan filem seram tetapi menghadapi masalah mendapatkan skrip, lalu bercadang mengiklankan menerusi akhbar mengenai perjumpaan dengan individu yang boleh berkongsi cerita seram berdasarkan pengalaman atau kisah pernah didengari.
Cerita yang terpilih bakal mendapat imbuhan dan perjumpaan itu diadakan di sebuah tempat strategik iaitu jirat Cina.
Pada malam ditetapkan, Burn ke lokasi ditetapkan bersama-sama sembilan peserta yang sedia berkongsi cerita dengannya dan dirakam menerusi kamera digital video sebagai bahan rujukan.
Cerita dimulakan dengan cerita Burn mengenai pengalaman ngerinya ketika mula-mula menjejakkan kaki ke menara gading dan diteruskan dengan pencerita kedua sehingga yang terakhir.
Selepas selesai, dia berpuas hati dengan koleksi cerita diperoleh, namun keesokan hari pembantu peribadinya memaklumkan mengenai sambutan iklan disiarkan dalam akhbar dan ramai berminat untuk berkongsi kisah mereka.
Sesuatu di luar dugaan apabila tarikh perjumpaan sebenar berbeza seperti dijanjikan, siapa sebenarnya bersama-sama Burn?
Seperti kebanyakan filem seram Melayu sebelum ini, elemen jeritan bagaikan satu kewajipan dan filem ini turut tidak terkecuali, mungkin perbuatan itu membuatkan penonton berasa lebih takut dan merasai setiap detik yang digarap supaya nampak seram.
Malah, kesan bunyi turut memainkan peranan, walaupun ada kalanya penonton dapat merasai debaran walaupun dengan mata terpejam, kadangkala tidak seiring dengan visual yang berbeza paras keseramannya.
Ada sedikit kelemahan, khususnya bahagian suntingan dan kesinambungan yang dilakukan tanpa berhati-hati, namun tidak menyebabkan berlaku kecacatan pada jalan cerita yang sememangnya mempunyai idea bernas.
Pujian harus diberi kepada beberapa pelakon yang berjaya membawa watak penting seperti Burn ketika muda yang dimainkan oleh Pekin kerana permainan wajahnya berjaya meyakinkan penonton yang dia benar-benar berdepan rasa takut.
Filem yang menelan kos RM 1.3 juta, termasuk promosi ini ternyata mempunyai daya tarikan kuat kerana menampilkan sembilan kisah dalam sebuah filem, termasuk kisah benar yang sinonim dengan masyarakat umum, selain barisan pelakon ternama menjadi satu daripada daya tarikan.

Data

FILEM: Skrip 7707
ARAHAN: Profesor Madya A Razak Mohaideen
LAKONAN: Norman Abdul Halim, Fouziah Gous, Emi Riza, Que Haidar , Jehan Miskin, Norman Hakim, Abby Abadi, Pekin, Heriyanto Hassan, Almy Nadia, Ruminah Sidek, Maimunah Ahmad, Kenchana Dewi, M Rajoli, Maimon Abd Mutalib, Hafiz Nafiah dan Ainul Aishah
GENRE: Seram
TAYANGAN: 16 Julai 2009

Pekin Pasrah

Oleh Izwan Mohamad

SEDIKIT masa dulu cerita mengenai hubungan jejaka berkulit cerah ini dengan pelakon meningkat naik, Ayu Raudhah, bukanlah rahsia, sekalipun jarang dimainkan pihak media.
Malah, pernah juga muncul cerita kurang enak berkaitan hubungan terjalin itu sehingga ada yang mula memberi pandangan negatif terhadap kedua-duanya, walaupun hanya mereka yang tahu kesahihan cerita berkenaan.
Bagaimanapun, hubungan terjalin beberapa tahun itu kini menjadi persoalan apabila Ayu dikatakan rapat dan dalam proses mengenali hati budi pemain bola sepak Negeri Sembilan, Zakuan Adha Abdul Radzak yang juga adik ipar pelakon terkenal, Rita Rudaini.
Peluang bertemu Pekin baru-baru ini selepas tayangan media filem Skrip 7707 merungkai status hubungan cintanya, walaupun jelas terpampang rasa serba salah apabila diajukan pertanyaan mengenai perkara itu.
Anak jati Kota Bharu, Kelantan ini yang mengambil keputusan aktif semula di layar perak selepas beberapa tahun ada di belakang tabir untuk mempelajari selok-belok industri perfileman akhirnya bersuara dengan tenang.
"Pekin akui kami bukan lagi pasangan kekasih dan kali terakhir berhubung pun sebulan lalu. Pekin tahu hubungan Ayu dan Zakuan, Pekin tidak kisah. Apa yang berlaku sudah ditakdirkan. Bohonglah kalau tidak sedih kerana kami sudah lama berkawan tapi sebagai manusia, Pekin harus akur dengan ketentuan. Mungkin sudah tertulis tiada jodoh antara kami," katanya.
Jelas, anak muda ini boleh menerima kenyataan, malah dia kini juga dalam proses mengenali hati budi seseorang yang baru dikenalinya.
Bangkit daripada kesedihan itu, Pekin atau nama sebenarnya Mohd Iznan @ Pekin Ibrahim yang memulakan langkah sebagai anak seni seawal usia 15 tahun berazam melupakan seketika soal peribadi dengan menumpukan sepenuh perhatian terhadap kerjaya. Soal jodoh biarlah waktu menentukan.
"Sudah berbelas tahun Pekin bergiat sebagai pelakon. Awal pembabitan, Pekin terlalu muda dan tidak tahu kemampuan sebenar. Berlakon pun mengikut kehendak skrip dan bukan daripada jiwa Pekin.
"Sampai masanya mencari kelainan, malah ini adalah saat paling sesuai untuk Pekin kembali aktif. Bukan kerana tiada tawaran, tetapi dua tahun lalu Pekin mempelajari selok-belok belakang tabir selain bergiat dengan pembikinan filem pendek," kata anak bongsu daripada enam beradik ini.
Selepas dapat apa yang dicari, dia yang membintangi filem terbaru arahan Profesor Madya A Razak Mohaideen, Skrip 7707 bersedia memanfaat segala ilmu diperoleh sepanjang `bertapa' ke medan sebenar.
"Untuk menjadi pelakon yang bagus, kita perlu ada ilmu di dada. Barulah lakonan dan penceritaan lebih mudah disampaikan kepada penonton," katanya yang gemar filem romantik dan penuh falsafah.
Menyentuh soal populariti yang kian menurun berikutan kurang publisiti di akhbar dan majalah, Pekin mengaku meraih perhatian peminatnya menerusi laman blog dan Facebook.
Dia yakin masih diterima berikutan ramai bertanya ke mana dia menghilang selama ini. Perhatian diberi pengikut setia menjadi pemangkin semangat untuk terus melakar nama dalam industri.
"Semangat itu datang semula setiap kali ada bertanya perkembangan terkini. Ia secara tidak langsung menyuntik keyakinan Pekin untuk meneruskan cita-cita muncul sebagai pelakon gred A.
"Terus-terang Pekin sebenarnya pemalu. Kekok bila ada media mahu merakam gambar sehingga ada yang berkecil hati bila Pekin menolak permintaan mereka.
"Kalau boleh, biar publisiti yang diberi berkaitan dengan karier dan bukan berkisar kisah peribadi atau gosip," katanya.
Bagi merapatkan lagi hubungan dengan peminat, Pekin berkongsi perkembangan terkininya menerusi laman pekinibrahim.blogspot.com.
"Di blog ini Pekin mendapatkan komen orang ramai mengenai diri ini, malah Pekin suka menulis apa saja yang terbuku di hati. Lega sedikit rasanya bila diluahkan," katanya yang pernah membintangi filem Pendekar The Movie, Bicara Hati dan Cinta Terakhir.

Geram Difitnah

Oleh Izwan Mohamad

LUMRAH hidup anak seni pasti tidak sunyi dengan fitnah dan tohmahan. Pun begitu, ia tidak harus dipandang mudah kerana sedikit sebanyak memberi kesan kepada kerjaya sehingga ada yang terpaksa menahan malu, walhal mereka tidak bersalah sama sekali.
Jika dulu, pelbagai kes saman menyaman sesama artis berlaku berikutan timbul kenyataan tidak benar daripada satu pihak, kini artis diancam gejala fitnah menerusi laman forum di Internet yang semakin berleluasa tanpa sekatan.
Antara artis yang menjadi buah mulut pengguna forum adalah pelakon, Amyza Aznan yang dikaitkan dengan pelbagai perkara negatif sehingga tuduhan tidak berasas itu nampak benar.
Malah, menerusi laman blognya di amyzaaznan.blogspot.com, ibu kepada dua anak itu terpaksa membalas kenyataan fitnah di laman forum terbabit bagi mengelak salah faham.
"Sudah lama saya bersabar dengan kerenah pengguna satu laman forum gosip popular yang semakin melampau. Hal itu bukan berlaku kepada saya saja, tetapi membabitkan ramai lagi selebriti.
"Ada yang terang-terangan membuat kenyataan berbaur fitnah dan saya pelik bagaimana mereka berani berbuat demikian tanpa berasa takut meskipun tiada bukti sahih," katanya.
Menurut Amyza, kes fitnah terbaru terhadapnya membabitkan seorang pelakon lelaki yang bergandingan dengannya sebagai pelakon jemputan dalam program Anak Wayang, Erry Putra, yang juga teman rapatnya.
Katanya, dia dituduh orang tertentu dalam laman forum itu kononnya mempermain-mainkan Erry dengan pelbagai tujuan, termasuk mensabotaj pelakon lelaki yang menempa nama menerusi beberapa drama bersiri itu.
"Saya yang memberi cadangan kepada pihak produksi supaya menjemput Erry sebagai pasangan lakon dalam rancangan itu, kenapa pula saya dituduh ada niat tidak baik terhadapnya?
"Sebelum ini saya pernah dituduh bergaduh dengan Lis Dawati ketika program Sehati Berdansa musim kedua berlangsung, tetapi saya diamkan diri saja. Kali ini saya tidak boleh bersabar lagi dan berasa sangat geram," katanya.
Amyza yang padat dengan undangan program Macam Macam Aznil, Kelab Pop dan AC selain sibuk menjalani penggambaran telefilem sempena Aidilfitri nanti, Bedak Sejuk Nombor Satu, juga hairan pihak berwajib seolah-olah memandang enteng gejala fitnah yang semakin berleluasa di Internet.
Dia juga kurang bersetuju dengan sikap pengendali laman forum itu yang lepas tangan dengan mengatakan tidak akan bertanggungjawab dengan pendapat pengguna forum.
"Saya difahamkan, wakil pengendali mengawal setiap kenyataan dikeluarkan, tetapi mereka membesar-besarkan cerita sehingga fitnah itu nampak benar pada mata pengguna forum.
"Bahasa yang mereka guna kasar, jijik dan memualkan, malah ada yang tergamak menggunakan perkataan lucah. Malangnya, tiada tindakan diambil," katanya yang 14 tahun berkecimpung dalam bidang lakonan.
Mengulas lanjut isu itu, Amyza berpendapat, sampai masanya artis yang pernah menjadi mangsa fitnah Internet bergabung tenaga menyelesaikan permasalahan yang semakin menjadi-jadi itu.
Bahkan, dia berasakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia sewajarnya menyiasat pergerakan laman forum supaya tidak menyalahi undang-undang, khususnya akta berkaitan.
"Saya berharap dapat diselesaikan segera supaya golongan artis seperti kami dapat menjalani kehidupan lebih aman, malah kerjaya kami tidak tergugat hanya kerana laman forum yang tidak ubah seperti medan mengumpat," kata Amyza.

Shila Tak Jemu

Oleh Izwan Mohamad

MENJADI anak kepada seseorang yang terkenal bukan satu tiket kejayaan dalam bidang seni, apatah lagi dari usia muda pelbagai cabaran perlu diharungi supaya cita-cita dapat digapai tanpa menumpang nama sesiapa.
Begitulah pegangan Shila Hamzah atau Shila, 19, yang tidak jemu-jemu berusaha bagi merealisasikan harapan dan impiannya sejak kecil.
Bermula dengan album kanak-kanak seawal belasan usia, dia yang dulu dikenali sebagai Shila Tekno dan diikuti Sha-hila menerusi album kedua ketika berusia 14 tahun, kini Shila, anak pelakon dan penyanyi ND Lala, mampu berdiri sendiri tanpa menumpang nama bapanya yang popular pertengahan 1980-an hingga 1990-an.
Memenangi tempat naib juara program realiti One In A Million musim kedua, rezeki gadis berasal dari Kuala Lumpur itu semakin mencurah-curah, malah dikenali ramai.
Selain mendapat kepercayaan beberapa syarikat sebagai duta produk, gadis comel itu mendapat perhatian saluran antarabangsa, Disney Channel, sebagai pengacara dan jurucakap dalam rancangan terbitan mereka, Hannah Montana.
"Syukur kerana Shila mula mendapat perhatian ramai. Tidak dinafikan tanpa bantuan papa, tentu sukar mendapat kejayaan seperti hari ini.
"Malah, kini Shila bukan saja bergelar penyanyi, tetapi turut mengikut jejak langkah papa bergelar peniaga menerusi perniagaan e-dagang," katanya.
Menurutnya, dia menyertai perniagaan itu apabila usianya mencecah 18 tahun Ogos lalu dan sehingga kini ia mula membuahkan hasil kerana dia tidak perlu lagi bergantung kepada ibu bapanya.
Pada usia 19 tahun, dia bebas berbelanja menggunakan wang hasil usahanya dalam perniagaan dengan bantuan bapanya yang juga kini bergelar jutawan selepas memulakan perniagaan sama beberapa tahun lalu.
"Kalau diikutkan, memang Shila tiada masa menyertai perniagaan seperti itu tetapi selepas melihat hasilnya, Shila semakin berkobar-kobar meneruskannya walaupun sibuk dengan rakaman album yang dijangka ada di pasaran hujung bulan ini atau selewat-lewatnya bulan depan," katanya.
Hari ini, Shila ada di MITC, Ayer Keroh, Melaka untuk Mini Showcase Keusahawanan Selebriti yang dirasmikan oleh Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam.
"Sesiapa yang berminat menyertai majlis ini boleh menghubungi 012-3909074 untuk mendapatkan kad jemputan secara percuma. Bagaimanapun, ia terhad, siapa cepat dia dapat," katanya.
Bercerita mengenai album, Shila bebas menentukan arah tuju muzik yang dikehendakinya, tetapi dia sama sekali tidak mengenepikan pandangan bapanya serta Penerbit Eksekutif Monkeybone, Ahmad Izham Omar.
Dalam album yang turut menampilkan Audi Mok sebagai komposer, Shila mengaku banyak pembaharuan ditampilkan, malah dia tidak sabar-sabar menanti reaksi peminat terhadap lagu dendangannya.
"Terus terang Shila sangat teruja, maklumlah sudah lama tidak muncul dengan album baru. Shila berharap sangat peminat suka album itu.
"Shila juga ingin memaklumkan akan membuat persembahan dalam anugerah Shout Awards bersama Nikki yang bakal ditayangkan menerusi 8TV, selain sibuk dengan rakaman sebagai pengacara dengan papa untuk rancangan Aidilfitri di RTM.
"Lebih membanggakan, hanya Shila dan Nikki artis wanita yang membuat persembahan pada hari itu," katanya yang popular dengan single Rentak Optimis.

Sunday, July 5, 2009

Showcase e-Dagang

Oleh Izwan Mohamad

DALAM kegawatan ekonomi global, dunia hiburan tanah air turut tidak terkecuali menerima tempias sehingga ramai penggiat seni tempatan berdepan masalah kewangan.
Malah, beberapa produksi dan syarikat rakaman, khususnya yang menjalankan operasi secara kecil-kecilan, terpaksa gulung tikar kerana kurang mendapat tawaran kerja penerbitan.
Namun, golongan terbabit boleh menarik nafas lega jika mereka ada pendapatan sokongan seperti menyertai cabang perniagaan, apatah lagi pelbagai peluang perniagaan dibuka untuk menampung kos kehidupan yang semakin meningkat.
Tidak dinafikan perniagaan, sama ada kecil atau besar, mesti memerlukan modal untuk dijadikan aset utama sebagai langkah pertama, tetapi itulah masalah yang sering membelenggu mereka yang mempunyai minat namun tiada modal.
Disebabkan itu, penyanyi dan pelakon yang kini bergelar jutawan, Amir Amzah atau lebih dikenali sebagai ND Lala, membuka ruang perniagaan, khususnya kepada rakan artis, supaya golongan ini tidak lagi dibelenggu kesusahan.
Beliau kini membuka peluang kepada selebriti yang berminat untuk bersama-sama menjalankan perniagaan e-dagang yang disertainya beberapa tahun lalu yang terbukti membuahkan kejayaan.
Atas kecemerlangannya, penghibur yang popular dengan lagu Diari YB sedikit masa dulu ini turut dilantik sebagai rakan niaga strategik oleh Tekun Nasional yang banyak membantu usahawan dalam memulakan perniagaan.
"Ini peluang terbaik untuk mereka yang berminat menjalankan perniagaan e-dagang kerana saya mahu rakan artis seperti saya mendapat pendapatan seperti mana saya peroleh hari ini.
"Malah, saya sedia membantu daripada segi pembiayaan modal mengikut terma dan syarat, selain bantuan latihan, kursus dan bimbingan," katanya.
Pada 12 Julai ini, ND Lala Networks menganjurkan Mini Showcase Keusahawanan Selebriti di Dewan MITC Ayer Keroh, Melaka yang akan dirasmikan oleh Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan diserikan dengan persembahan artis, termasuk Shila OIAM, Khai, Rosma dan Kopratasa.
Persembahan ini terbuka kepada semua, namun mereka yang berminat perlu mendapatkan kad jemputan yang akan diberi secara percuma dengan menghubungi talian 012-3909074. Namun ia terhad kepada 1,000 tempat.
Selain itu, ND Lala turut membuka peluang kepada 100 siswazah anak negeri Melaka untuk menyertai perniagaan e-dagang. Siswazah ini bakal ditemuduga untuk memastikan mereka benar-benar menunjukkan minat dan kesungguhan dalam menjadikan perniagaan ini sebagai punca pendapatan, sekali gus mengurangkan jumlah siswazah menganggur.
Majlis yang dibuka kepada orang ramai secara percuma itu juga bakal dimeriahkan dengan persembahan oleh artis yang menyertai program itu, selain sesi bual bersama selebriti yang kini mempunyai kedudukan kewangan stabil setelah menyertai program ini.
"Ini pertama kali saya menjelajah ke sebuah negeri secara beramai-ramai dengan selebriti yang menyertai perniagaan ini memandangkan sebelum ini saya lebih banyak bergerak secara solo mempromosi e-dagang.
"Setelah mendapat respons baik, saya rasa ini jalan terbaik untuk membawa mereka yang benar-benar ingin berjaya untuk berjumpa peminat, sekali gus mempelawa mereka bersama kami dalam menjalankan perniagaan yang terbukti membawa keuntungan kepada semua," katanya yang turut membuka cawangan ND Lala Group Centre di Taman Tasik Utama, Ayer Keroh.