Sunday, July 12, 2009

Geram Difitnah

Oleh Izwan Mohamad

LUMRAH hidup anak seni pasti tidak sunyi dengan fitnah dan tohmahan. Pun begitu, ia tidak harus dipandang mudah kerana sedikit sebanyak memberi kesan kepada kerjaya sehingga ada yang terpaksa menahan malu, walhal mereka tidak bersalah sama sekali.
Jika dulu, pelbagai kes saman menyaman sesama artis berlaku berikutan timbul kenyataan tidak benar daripada satu pihak, kini artis diancam gejala fitnah menerusi laman forum di Internet yang semakin berleluasa tanpa sekatan.
Antara artis yang menjadi buah mulut pengguna forum adalah pelakon, Amyza Aznan yang dikaitkan dengan pelbagai perkara negatif sehingga tuduhan tidak berasas itu nampak benar.
Malah, menerusi laman blognya di amyzaaznan.blogspot.com, ibu kepada dua anak itu terpaksa membalas kenyataan fitnah di laman forum terbabit bagi mengelak salah faham.
"Sudah lama saya bersabar dengan kerenah pengguna satu laman forum gosip popular yang semakin melampau. Hal itu bukan berlaku kepada saya saja, tetapi membabitkan ramai lagi selebriti.
"Ada yang terang-terangan membuat kenyataan berbaur fitnah dan saya pelik bagaimana mereka berani berbuat demikian tanpa berasa takut meskipun tiada bukti sahih," katanya.
Menurut Amyza, kes fitnah terbaru terhadapnya membabitkan seorang pelakon lelaki yang bergandingan dengannya sebagai pelakon jemputan dalam program Anak Wayang, Erry Putra, yang juga teman rapatnya.
Katanya, dia dituduh orang tertentu dalam laman forum itu kononnya mempermain-mainkan Erry dengan pelbagai tujuan, termasuk mensabotaj pelakon lelaki yang menempa nama menerusi beberapa drama bersiri itu.
"Saya yang memberi cadangan kepada pihak produksi supaya menjemput Erry sebagai pasangan lakon dalam rancangan itu, kenapa pula saya dituduh ada niat tidak baik terhadapnya?
"Sebelum ini saya pernah dituduh bergaduh dengan Lis Dawati ketika program Sehati Berdansa musim kedua berlangsung, tetapi saya diamkan diri saja. Kali ini saya tidak boleh bersabar lagi dan berasa sangat geram," katanya.
Amyza yang padat dengan undangan program Macam Macam Aznil, Kelab Pop dan AC selain sibuk menjalani penggambaran telefilem sempena Aidilfitri nanti, Bedak Sejuk Nombor Satu, juga hairan pihak berwajib seolah-olah memandang enteng gejala fitnah yang semakin berleluasa di Internet.
Dia juga kurang bersetuju dengan sikap pengendali laman forum itu yang lepas tangan dengan mengatakan tidak akan bertanggungjawab dengan pendapat pengguna forum.
"Saya difahamkan, wakil pengendali mengawal setiap kenyataan dikeluarkan, tetapi mereka membesar-besarkan cerita sehingga fitnah itu nampak benar pada mata pengguna forum.
"Bahasa yang mereka guna kasar, jijik dan memualkan, malah ada yang tergamak menggunakan perkataan lucah. Malangnya, tiada tindakan diambil," katanya yang 14 tahun berkecimpung dalam bidang lakonan.
Mengulas lanjut isu itu, Amyza berpendapat, sampai masanya artis yang pernah menjadi mangsa fitnah Internet bergabung tenaga menyelesaikan permasalahan yang semakin menjadi-jadi itu.
Bahkan, dia berasakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia sewajarnya menyiasat pergerakan laman forum supaya tidak menyalahi undang-undang, khususnya akta berkaitan.
"Saya berharap dapat diselesaikan segera supaya golongan artis seperti kami dapat menjalani kehidupan lebih aman, malah kerjaya kami tidak tergugat hanya kerana laman forum yang tidak ubah seperti medan mengumpat," kata Amyza.

No comments:

Post a Comment