Sunday, June 14, 2009

Sepah Lebih Berhati-hati

Oleh Izwan Mohamad

SIAPA tidak mengenali tiga anak muda yang berjaya mencuri hati peminat dunia lawak tempatan apabila memenangi pertandingan Raja Lawak musim ketiga ini.
Ramai juga tahu mereka yang berasal dari Kulai, Johor melangkah ke konti radio apabila diberi kepercayaan mengendalikan radio nombor satu negara, Era.
Ternyata rezeki Mamat, Jep dan Shuib semakin murah kerana mula masuk mengendalikan slot mereka setiap Sabtu dari jam 8 pagi hingga 12 tengah hari, selain diberi kepercayaan mengendalikan Riuh Pagi Era menggantikan Aznil Nawawi dan Din Beramboi yang bercuti baru-baru ini.
"Ini memang satu tugasan besar bagi kami yang masih kerdil dalam dunia seni tanah air, apatah lagi mengendalikan radio paling popular negara.
"Lebih mengharukan, kami diberi kepercayaan daripada orang kuat Era, Nazri Noran, menggantikan Pak Nil dan Din Beramboi yang lebih berpengalaman dan hebat," kata Jep.
Namun, mereka tidak sekali-kali melepaskan peluang yang diamanahkan, sebaliknya cuba memberi yang terbaik setiap kali ke udara dengan bantuan penerbit, Mohd Azizan Mohd Yusof.
Tidak sekali-kali dibayangi mana-mana penyampai sedia ada, mereka cuba mengendalikan slot dengan pengisian yang dibincangkan bertiga setiap kali sebelum ke konti, khususnya pemilihan topik.
"Agak sukar juga pada mulanya memandangkan kami selalunya berlawak di atas pentas dan berdepan penonton, berbeza dengan pengendalian di radio yang tidak memungkinkan kami mengenali siapa pendengar yang mengikuti rancangan kami.
"Namun kami semakin yakin apabila sambutan pendengar sungguh luar biasa kerana jumlah pemanggil semakin hari semakin meningkat setiap kali ke udara," kata Mamat.
Dalam pada itu, mereka mengakui sukar mengawal dialog setiap kali ke udara untuk memastikan tiada pertindihan dalam percakapan, namun dengan perancangan yang dilakukan dengan lebih teliti, masalah itu dapat ditangani.
"Kami sering bertanya rakan setugas yang lebih senior iaitu penyampai Era yang lebih arif kerana hanya dengan cara itu kami dapat membiasakan diri menyusun setiap patah kata supaya tidak menyentuh sensitiviti sehingga menyinggung mana-mana pihak," kata Jep.
Menyentuh pembabitan Sepah dalam bidang lakonan, ternyata mereka semakin dicari penerbit apabila banyak menerima tawaran berlakon, khususnya drama bersiri dan telefilem berunsur komedi.
Terbaru, mereka bakal muncul dalam drama bersiri Tok Ketua Kampung Batang Buruk yang turut menampilkan pelawak senior seperti Zaibo, Bob Kuman, Amir Raja Lawak, Ruminah Sidek, S Azli dan Ngasrizal Ngasri.
Selain itu, peminat kumpulan ini dapat melihat jenaka mereka pada Aidilfitri nanti dalam telefilem Lemang Si Bujang Sepah, selain siri Lawaking yang menampilkan bekas peserta Raja Lawak yang lain.
"Apabila menerima tawaran demi tawaran, kami semakin bersemangat untuk terus aktif dalam dunia seni kerana dengan cara ini kami lebih terdedah kepada pelbagai genre seni.
"Sekarang kami membuktikan pelawak bukan saja mampu membuat orang ketawa, malah lebih daripada itu," kata Shuib.
Menyentuh soal pelawak yang sering dikaitkan dengan kurang berdisiplin memandangkan beberapa pelawak sebelum ini sering 'lepas laku' di khalayak, Sepah mengakui bukan mudah mengawal sikap kerana sifat mereka yang sebelum ini gemar berlawak tidak kira tempat dan masa.
"Memang sukar sebenarnya mengawal diri daripada menimbulkan kekecohan di khalayak, apatah lagi sebelum ini kami memang selalu 'menceriakan suasana' tidak kira masa, termasuk di tempat kerja lama.
"Namun apabila dikenali ramai seperti sekarang, kami lebih berhati-hati kerana bukan semua mengenali kami secara peribadi," kata Mamat.

No comments:

Post a Comment