Sunday, June 7, 2009

Pesawat Terbang Tinggi

Oleh Izwan Mohamad

KEBANGKITAN band tempatan mula dirasakan dengan munculnya lagu mereka menerusi radio dan menjadi siulan ramai.
Ternyata produk berkualiti menjadi pilihan pendengar, sekali gus menidakkan pendapat bahawa stesen radio tempatan menganaktirikan karya tempatan dan lebih berminat memainkan lagu luar saja.
Pesawat, sebuah lagi band yang menuju kejayaan dan berazam mengembalikan kegemilangan industri muzik tempatan dengan rencah dan ramuan tersendiri.
Dianggotai Jipie sebagai vokalis yang juga pemain gitar dan keyboard, Mann (bass), Kudux (dram dan vokal latar) serta Camel (gitar), band yang mengambil nama Pesawat sebagai inspirasi membawa pendengar ke satu destinasi lebih jauh ini membuktikan cakap mereka bukan kosong.
Dengan pengalaman beberapa tahun bermain muzik, kini mereka mengembangkan lagi sayap ke negara jiran, termasuk Indonesia yang selama ini dikatakan sukar membuka pintu kepada muzik Malaysia.
Tambah lagi, dengan kerjasama saluran antarabangsa Channel V, mereka dibawa untuk mempromosi lagu mereka seperti Mirage, Rasional Emosional dan Excuse Me ke negara itu setelah muncul dengan klip video berkonsep penerbangan.
Lebih manis dengan kerjasama Penerbangan Malaysia (MAS) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), pelancaran klip video Mirage disempurnakan dalam pesawat MAS Boeing 777 baru-baru ini.
"Kami bersyukur kerana masyarakat mula nampak hasil kerja kami dan terima kasih kepada Channel V yang memberi peluang kepada kami memperluaskan lagi peluang untuk kami pergi lebih jauh," kata Jipie.
Menyentuh pembikinan klip video yang turut menampilkan pelakon Harun Salim Bachik sebagai pelakon undangan, kumpulan ini mengakui ramai memberi bantuan dan tenaga kerja bagi memastikan produk ini benar-benar berkualiti.
Kebanyakan pelakon dan tenaga produksi adalah kenalan mereka, membuatkan kos penerbitannya lebih rendah dan semangat bantu-membantu sesama mereka menjadikankan klip video ini lebih bermakna.
"Seronok bekerja dengan rakan, sekali gus membuktikan hasil kerja anak tempatan boleh bersaing dengan produk luar.
"Buktinya, apabila kami menemui pihak Channel V, mereka berminat dan sedia bekerjasama dengan kami sehingga pelancaran muzik video ini dilakukan sebegini rupa," kata Kudux.
Jika sebelum ini mereka hanya berbekalkan tiga lagu, Pesawat merancang merakam dua lagi lagu dalam jangka masa terdekat, selain menerbitkan beberapa buah lagi selepas itu bagi menghasilkan album penuh.
"Walaupun syarat bertanding di Anugerah Industri Muzik dilonggarkan dengan hanya memerlukan lima lagu untuk layak, kami rasa lebih baik kami buat lebih sedikit untuk album ini bagi insentif kepada peminat mendapatkannya.
"Kami mementingkan kepuasan pendengar dan banyak yang kami boleh kongsi dengan mereka menerusi ciptaan kami," kata Mann.
Gembira dengan kerjasama stesen radio yang lebih banyak memainkan lagu tempatan, ternyata tidak timbul soal kuota yang diwar-warkan sebelum ini kerana anak muda ini yakin hanya produk berkualiti terpilih untuk ditempatkan dalam senarai pilihan lagu.
Mereka juga tidak bersetuju dengan isu kuota itu memandangkan kemasukan lagu dari luar sebenarnya memberi saingan sihat kepada penggiat muzik tempatan jika diambil daripada sudut lebih positif.
"Mengapa kita perlu meminta simpati dalam negara sendiri, sedangkan kewujudan stesen radio tempatan memang dibangunkan untuk industri muzik kita.
"Malah, jika perkara persaingan itu tidak berlaku, pasti penggiat muzik kita masih duduk selesa dan tidak berbuat sesuatu untuk melahirkan muzik lebih baik," kata Camel.
Pesawat juga dijangka menjalin usaha sama dengan beberapa band Indonesia seperti Nidji dan Malique De Essential bagi mengukuhkan muzik Melayu kedua-dua negara.

No comments:

Post a Comment