Sunday, May 17, 2009

Peluang Terbuka

Oleh Izwan Mohamad

BUKAN mudah memahat nama dalam industri hiburan tanah air, apatah lagi jika tidak mengetahui saluran betul mengejar impian sebagai model, pelakon, pengacara atau penyanyi.
Selain bakat semula jadi yang menjadi senjata utama bergelar anak seni, kini bagaikan menjadi arah aliran rupa dan fizikal menarik menjadi kriteria utama sebagai tarikan dan tiket menuju populariti.
Bagaimanapun, lima jejaka yang dicungkil bakat mereka menerusi Pencarian Kacak Bergaya yang berlangsung di Saloma Bistro, Kuala Lumpur, minggu lalu, merasakan hanya bakat yang boleh membawa mereka lebih jauh dalam bidang yang mereka pilih.
Juaranya, Syed Khairul Syed Abdullah, yang ingin dikenali sebagai Roy Daniel, 28, berazam menggunakan tapak yang disediakan sepenuhnya dan tidak mempersiakan bakat dimilikinya.
Berpengalaman sembilan tahun dalam dunia peragaan, dia yang pernah muncul sebagai pelakon pembantu dalam siri Jangan Main Belakang dan telefilem Cinta Untuk Nabila mahu menggunakan usia mudanya dengan mencuba semua cabang seni.
"Saya tahu saya berbakat dalam peragaan dan lakonan, jadi saya berharap kemenangan ini memberi saya ruang lebih luas," kata Roy yang bertugas sebagai pembantu peribadi.
Kegembiraan Roy turut dikongsi pemenang kedua pertandingan tajaan produk tradisional Jamu Mak Dara itu, Mohd Khairi Mansor, 24, yang mengakui pernah didekati penerbit drama, namun atas sebab tiada pengalaman, dia menolak.
"Saya tidak pernah berlakon, jadi saya perlu belajar selain memikirkan watak sesuai memandangkan saya hanya berpengalaman dalam tarian tradisional dan aktif dalam kesenian semasa di universiti dulu," katanya yang juga penganalisis perniagaan berasal dari Kluang, Johor.
Berbeza pula pemenang ketiga, Hairul Azreen Idris yang pernah muncul dalam pelbagai drama bersiri popular seperti Puaka Niyang Rapik, Rona Roni Makaroni, Cinta Khilaf, Ponti Anak Remaja dan Merah Puteh.
Diperkenalkan oleh pelakon Fauzi Nawawi, dia bermula sebagai pelakon lagak ngeri dalam Bio-Nik sebelum menerima banyak tawaran, khususnya dalam aksi lasak, memandangkan dia pernah mewakili negara dan menyertai Sukan Malaysia (Sukma) dalam seni mempertahankan diri, taekwondo.
"Impian saya ingin menjadi pelakon aksi memandangkan Malaysia masih tiada ikon seperti itu.
"Jika di Hong Kong ada Jackie Chan dan di Thailand pula ada Tony Jaa, saya ingin menjadi seperti mereka di Malaysia," katanya.
Bagi finalis bertubuh sasa yang berasal dari Temerloh, Pahang, Mazlan Mokhtar, 27, peluangnya menyertai pertandingan sebegini membuka jalannya untuk memperkenalkan dirinya sebagai pelakon memandangkan dia aktif dalam pementasan teater.
"Sudah lama saya berhasrat mengembangkan bakat tetapi belum berjumpa ruang yang sesuai hinggalah saya menyertai pertandingan ini.
"Saya sudah bersedia untuk aktif dalam bidang ini, dan filem pertama saya Momok The Movie akan ditayangkan pada Oktober nanti," kata ahli bina badan yang pernah menjuarai Mr Pahang 2006 selain naib juara Mr Wonderful Pahang 2007.
Seorang lagi finalis yang aktif dalam sukan bina badan, Nur Iz Hirzi Izhar, 22, ingin menggunakan peluang sebaik mungkin dengan menyertai pertandingan yang julung kali diadakan itu.
Anak kelahiran Perlis yang dikenali sebagai Jie ini mengakui tidak mempertaruhkan rupa semata-mata, sebaliknya ingin menguji bakat semula jadi kerana tidak pernah diberi peluang.
"Saya harap selepas ini lebih banyak peluang memandangkan saya masih baru dan kurang berpengalaman dalam selok-belok bidang seni.
"Masyarakat sekarang tidak menilai melalui rupa dan fizikal, sebaliknya mereka lebih bijak menilai," kata pereka grafik ini.

No comments:

Post a Comment