Sunday, May 24, 2009

Pelawak Bagai Novelis

Oleh Izwan Mohamad

MASIH ingatkah anda dengan pelakon dan pelawak yang popular sekitar 1980-an dengan siri kanak-kanak Cumi dan Ciki, menggunakan boneka sebagai watak utama?
Kemahiran sebagai `ventriloquist' atau penghibur yang berkebolehan mengeluarkan pelbagai suara tanpa menggerakkan bibir itulah yang membuka rezeki kepada Wazata Zain atau nama sebenarnya Mohd Wazata Mohd Zin, yang menimba pengalaman sebagai penghibur sedemikian daripada Profesor Hyes Sydney, di George Street, Australia pada 1980.
Kursus diikutinya itu atas tajaan biasiswa Colombo Plan yang diberi kepada pelajar pelbagai negara, sekali gus menyebabkan Wazata berkebolehan menutur tujuh suara berbeza tanpa menggerakkan bibir.
Bekas guru sebuah sekolah di Klang, Selangor, ini turut popular dalam program Ahmad Daud Show bersama-sama Lim Goh Poh dan Ayappan sebelum muncul dalam sitkom berbentuk satira, Hang Setia.
Bekas pegawai di Kementerian Pendidikan yang pernah aktif menulis skrip ini juga pernah membintangi filem Perawan Malam pada 1988 sebelum berhenti berlakon dan menjadi ventriloquist selepas pulang daripada mengerjakan haji pada 1990.
Kini berusia 70 tahun, Wazata kembali ke layar perak menerusi filem terbaru arahan Ahmad Idham, Syurga Cinta setelah `bersara' hampir 19 tahun.
Memegang watak orang alim dalam filem itu, Pengerusi Biro Agama dan Dakwah, Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) ini mengakui dia kekok berlakon.
"Mujur saya perlu menjadi diri sendiri dalam filem ini, yang mana saya tidak perlu disolek dan membawa watak yang bersesuaian dengan usia saya.
"Idham juga sabar menjalankan kerja mengarah," kata Wazata.
Menurutnya, tawaran berlakon diterima apabila penerbit, David Teo dan Ahmad Idham sering melihatnya membaca doa dalam setiap majlis yang dianjur Seniman, sebelum dihubungi mereka untuk memegang watak di samping pelakon utama, Awal Ashaari, Heliza AF5 dan Hadziq.
Bapa kepada tujuh anak selain memiliki 13 cucu ini ternyata sihat, mengakui masih memandu kereta sendiri selain mengusahakan sebuah stesen minyak di Rawang, Selangor bersama anaknya.
Katanya, keadaannya masih kuat kerana mengamalkan minum air suam setiap kali sebelum tidur dan sebelum solat Subuh setiap hari, dan diamalkannya selama 35 tahun sehingga sekarang.
Sebagai orang lama, Wazata turut melontarkan pendapat mengenai perkembangan sihat dunia lawak tempatan, khususnya selepas muncul program mengetengahkan golongan itu seperti Raja Lawak Astro.
Menurutnya, perkembangan persembahan berbentuk jenaka kini dipengaruhi perubahan global dan selera penonton kini yang menjurus kepada jenaka lebih intelektual.
"Pelawak sebenarnya bagai penulis novel, mereka perlu kreatif dan jenaka mereka perlu ada kualiti.
"Bukan senang buat orang ketawa, jadi saya gembira dengan kewujudan program seperti ini yang membimbing bakat baru sebagai pelapis pelawak," kata Wazata.
Apabila ditanya mengenai sesetengah pelawak yang mungkin melampaui batas serta tidak menjaga tutur kata apabila membuat persembahan di khalayak, Wazata berpendapat kesalahan itu tidak semestinya diletakkan atas bahu pelawak itu sepenuhnya.
"Pihak penganjur kadangkala terlupa untuk bertanya apa kandungan persembahan itu, bukan meminta skrip, sebaliknya memberi panduan sepatutnya memandangkan kebanyakan mereka masih muda.
"Usah lepaskan mereka seperti `kumbang', mereka mungkin `tersengat' orang jika tidak beritahu," katanya.
Menurutnya, pelawak veteran sepertinya dulu banyak mempelajari ilmu mengawal khalayak seperti psikologi penonton dan mengawal `drammatical pause'.
"Saya banyak membaca buku berkenaan teknik membuat persembahan jenaka yang ketika itu banyak ditemui di Perpustakaan British Council.
"Berlawak memerlukan perancangan, saya suka menonton persembahan bakat muda seperti kumpulan Sepah kerana mereka sering membuat perancangan sebelum membuat persembahan," katanya.
Menyentuh mengenai golongan pelawak yang sering berasa terhina kerana menjadi bahan tawa, dia berpendapat telahan itu salah kerana pelawak turut memberi sumbangan kepada industri hiburan, selain bertanggungjawab menyebar maklumat dalam humor.
"Pelawak juga adalah sasterawan, jadi berbanggalah," katanya.

No comments:

Post a Comment